Selasa, 25 Oktober 2011

Gagasan 1Malaysia dan Islam

Konsep 1Malaysia sebagaimana yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara asasnya bermatlamatkan mewujudkan Negara Bangsa dan perpaduan Negara berasaskan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’, disamping kerajaan memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi kepada kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan warna kulit.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh YAB Perdana Menteri yang mendefinisikan konsep 1Malaysia sebagai “kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One people. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”.

Penyatuan seluruh rakyat yang berbilang agama dan kaum di bawah bumbung satu negara, sebenarnya bukan sesuatu yang asing dalam tradisi Islam kerana sejak dahulu lagi usaha ini telah dilakukan dengan jayanya oleh Rasulullah s.a.w di Madinah. Melalui Sahifah Madinah yang menjadi perlembagaan negara Madinah, rakyat beragama Islam dan bukan Islam disatukan menjadi satu masyarakat yang kesemuanya diiktiraf sebagai rakyat Madinah yang berdaulat.

Selain penyatuan rakyat pelbagai kaum di bawah satu naungan dilakukan sendiri oleh Rasulullah s.a.w, tindakan ini disamping itu selaras dengan kaedah yang diterima pakai dalam Fiqh Islam iaitu kedudukan sesuatu wasilah itu bergantung kepada matlamat yang dituju.

Justeru, penyatuan seluruh rakyat merupakan wasilah kepada keamanan dan kemakmuran Negara yang juga merupakan tuntutan Islam, maka dengan sendirinya wasilah kepada kemakmuran dan keamanan Negara ini iaitu penyatuan rakyat pelbagai kaum juga sebahagaian daripada tuntutan Islam.

Penyatuan rakyat pelbagai kaum bermaksud mengikat mereka dengan matlamat bersama dan saling bekerjasama demi kepentingan rakyat secara keseluruhan di atas nama rakyat Malaysia. Penyatuan dalam erti kata ini tidak akan meleburkan identiti keagamaan dan kebangsaan sesuatu kaum, kerana disamping semua rakyat diikat dengan matlamat dan kepentingan bersama tanpa meleburkan identiti semua kaum, usaha penyatuan ini juga bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan kebebasan beragama dan kebebasan mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing.

Meletakkan semua rakyat berbilang kaum dan agama pada satu kedudukan iaitu rakyat Malaysia, adalah sejajar dengan ciri-ciri insaniyyah (kemanusiaan) Islam yang antara lain, seperti yang dinyatakan oleh Qaradhawi dalam bukunya, al-Thaqafah al-’Arabiyyah al-Islamiyyah, bermaksud Islam menghormati manusia, memelihara kemuliaan dan hak-hak manusia.

Manusia secara jelasnya dimuliakan oleh Allah seperti yang ditegaskan oleh firman Allah yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam”. Menurut keterangan Qaradhawi, manusia dimuliakan di atas dasar mereka adalah manusia, tanpa melihat kepada keturunan, warna kulit, bahasa, tanahair, kedudukan dan agama. Prinsip kemuliaan manusia yang dipasakkan oleh ajaran Islam ini telah diterjemahkan sendiri oleh Nabi Muhamamd s.a.w yang telah bangun menghormati jenazah Yahudi yang diusung di hadapan Baginda s.a.w.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a beliau menceritakan, “ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w, lantas baginda s.a.w bangun dan berdiri [sebagai menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda, ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah jenazah seorang yahudi!”. Baginda menjawab, ”bukankah ia jiwa [yang bernyawa]?”(hadis riwayat Bukhari).

Bertitik tolak daripada prinsip kemuliaan manusia yang menjadi pegangan Islam, rakyat bukan Islam yang bernaung dalam negara Islam dijamin hak dan kebajikan mereka. Nabi s.a.w bersabda :

كُلُكُمْ رَاعٍ وُكُلُكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَتِهْ

Terjemahan : Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu dipertanggungjawabkan ke atas orang yang dipimpin.

Kebertanggungjawaban terhadap rakyat bukan Islam ini diterjemahkan dalam bentuk yang begitu jelas oleh para sahabat dan pemerintah Islam seterusnya seperti perjanjian yang ditulis oleh Khalid al-Walid r.a dengan penduduk Hirah di Iraq yang beragama Krisitan.

Perjanjian ini menyatakan “mana-mana orang tua yang tidak mampu bekerja, ditimpa apa jua penyakit atau jatuh miskin sehingga rakan seagamanya memberi sedekah kepadanya, aku gugurkan bayaran jizyah [daripada] nya dan akan ditanggung sara hidupnya serta tanggungannya daripada Baitul Mal orang Islam” .

Menurut Syaikh Qaradhawi dalam bukunya, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, perjanjian ini dilakukan oleh Khalid al-Walid r.a pada zaman Syaidina Abu Bakar r.a di hadapan sebilangan besar para sahabat tanpa ada di kalangan mereka yang membantah yang membawa pengertian bahawa ia merupakan satu tindakan yang diterima sebulat suara oleh para sahabat yang dinamakan sebagai ijma’.

Imam Abu Yusuf dalam kitab al-Kharaj merakamkan tindakan serupa dilakukan oleh Syaidina Umar r.a yang membawa seorang tua Yahudi yang meminta sedekah ke Baitul Mal dan memerintahkan diperuntukkan kepadanya dan orang yang sepertinya wang Baitul Mal yang mencukupi dan mampu mengubah keadaannya .

Berasaskan keterangan dan amalan Nabi s.a.w dan para sahabat berhubung layanan terhadap rakyat bukan Islam, para ulama telah merumuskan satu kaedah yang menerasi sebarang tindakan pemimpin Islam berkaitan rakyat bukan Islam, iaitu :
 
لَهُمْ مَا لَنَا وَعَلَيْهِمْ مَا عَلَيْنَا.

Terjemahan : Bagi mereka [warganegara bukan Islam] apa yang kita [warganegara Islam] miliki dan di atas [bahu] mereka apa yang di atas [bahu] kita

Prinsip ini bermaksud, dalam Negara Islam, rakyat bukan Islam memiliki hak sebagaimana hak yang dimiliki oleh rakyat beragama Islam dan mereka dibebankan dengan tangggungjawab sama seperti tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu rakyat bukan Islam.

Huraian di atas membawa kepada satu rumusan yang jelas iaitu usaha kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib membela semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama melalui gagasan 1Malaysia, bukan sahaja selaras dengan prinsip kemuliaan manusia yang ditegaskan oleh al-Quran dan prinsip layanan Negara Islam terhadap bukan Islam, tetapi juga dituntut oleh Islam.

Oleh : Shamsul Muda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan