Rabu, 14 November 2012

DEBAT SINAR: DEMONSTRASI DAN DEMOKRASI DARI SUDUT SAIFUDDIN-SALAHUDDIN

Setiap panel diminta membahaskan tajuk Demonstrasi Jalanan: Meruntuh atau Mengukuh Demokrasi mengikut pandangan masing-masing.
 
SALAHUDDIN: Saya bermula dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud, katakanlah wahai Muhammad, bawalah keteranganketerangan yang membawa kebenaran dan katakan jika kamu betul termasuk dalam kalangan orang-orang yang benar.
Ayat ini memiliki falsafah dan satu dimensi dakwah, politik yang kalau kita hujah dalam kerangka ilmu memberi keizinan dan ruang bahawa Nabi SAW tidak pernah menyekat kebebasan rakyat yang dipimpin sama ada orang Islam, Yahudi dan Nasrani untuk berhujah ketika itu untuk datang dan berhujah dan memberikan ruang untuk mereka berdiskusi dalam apa bentuk sekalipun.
Dalam kerangka ini, saya melihat bahawa dalam konteks negara kita sendiri, setelah saya meneliti beberapa artikel penting dan buku-buku yang dirujuk oleh para sarjana pada hari ini, sebagai contoh, politik kenegaraan Malaysia dan prinsip perlembagaan dan politik dalam negara kita.
Kita menyaksikan negara kita juga sarat dengan pengalaman bagaimana budaya bangsa kita sendiri telah memulakan politik jalanan.
Demonstrasi jalanan ini sebagai satu cara terbaik untuk memperjuangkan isu yang penting untuk mereka sampaikan kepada rakyat.
Mungkin saya bermula dengan penentangan Malayan Union oleh Datuk Onn Jaafar yang objektifnya saya tidak jelas untuk menuntut hak diambil, dirampas daripada Raja-Raja Melayu dan menjadi pencetus kepada gerakan kemerdekaan yang tidak boleh dinafikan rakyat di negara kita hatta siapa pun kita pada hari ini.
Ia bermula dengan demonstrasi jalanan, cuma, pada waktu itu British tidak menggunakan polis untuk menggunakan belantan dan gas. Perarakan Keranda 152, pejuang bahasa yang ingin memperjuangkan, memartabatkan bangsa Melayu hari ini termaktub dalam fasa 152 Perlembagaan Negara juga membuktikan ia bermula dengan demonstrasi jalanan secara aman untuk mengusung keranda itu.
Ia satu simbolik supaya rakyat dan kerajaan membuka mata memberi satu pengiktirafan terhadap bahasa Melayu dan hasilnya, ia termaktub dalam Perlembagaan Negara kita hari ini.
Untuk menyedarkan orangorang miskin di Baling pada 1970an, ada demonstrasi jalanan yang membangkitkan kesedaran oleh pelajar yang bukan hanya tunduk dan terikat pada buku dan jurnal, tetapi mahasiswa masa depan mesti menelaah gerak nadi rakyat, maka pada waktu itu diadakan demonstrasi jalanan dan paling tidak pun kita menyaksikan isu kemiskinan mengangkat mata kerajaan pemerintah pada waktu itu.
Jika kita teliti beberapa artikel dalam buku The Days That Change The World, 23 Ogos 1833. Ia mencipta sejarah baru, di mana berakhirnya sistem perhambaan di Britain, ia bermula dengan demonstrasi jalanan secara aman oleh orang kulit hitam.
Ia bermula dengan satu gerakan masyarakat sivil dan demonstrasi jalanan walaupun terpaksa mengorbankan masyarakat sivil pada waktu itu dan akhirnya ia menjadi rujukan negara Komanwel untuk mengangkat darjat termasuklah negara kita, Malaysia.
Penyatuan Jerman lahir dari demonstrasi jalanan yang amat mengagumkan walaupun mengorbankan, tetapi ia lahirkan demokrasi dan penyatuan Eropah pada hari ini.
Seminar 11 Februari 1990, sekali lagi dunia saksikan Nelson Mandela dikeluarkan dari penjara, maka ini menyaksikan apa yang saya sebut dalam kerangka itu merupakan demonstrasi jalanan selagi dianjurkan dengan niat baik, ia akan beri kesan sejarah yang murni pada dunia pada hari ini.
 
SAIFUDDIN: Pada saya perhimpunan dalam demokrasi memang ada tetapi perhimpunan dan demonstrasi banyak bentuknya, demonstrasi jalanan cuma satu daripada bentuk yang lain.
Dalam demokrasi juga ada yang dipanggil hak individu, hak untuk bersuara, tetapi dalam demokrasi juga ada hak komuniti, hak untuk ketenteraman awam, keselamatan, harta benda dan sebagainya, sebab itu dalam perlembagaan kita seimbangkan hak kedua-duanya dalam Artikel 10, tetapi dalam artikel sama juga memastikan hak komuniti itu terjaga sama, jadi ada keseimbangan yang begitu cantik sekali.
Saya mahu sebutkan tiga perkara, pertama sekali ialah demonstrasi jalanan tidak membantu mengukuhkan demokrasi. Ia mungkin sebahagian daripada demokrasi, bila kita kata mengukuhkan demokrasi, bererti demokrasi itu telah wujud.
Demonstrasi melawan Malayan Union ketika itu demokrasinya belum wujud, itu berbeza. Saya mahu sebut, ada banyak kaedah yang lebih aman dan sesuai untuk kukuhkan demokrasi yang telah wujud. Sebarang kerja baik yang kita lakukan, transformasi politik, namakanlah reformasi dan sebagainya, demokrasi yang wujud itu boleh dirosakkan dan terganggu akibat demonstrasi jalanan.
Mengapa kita mahu kukuhkan demokrasi? Ini kerana kita mahu wujudkan demokrasi yang kukuh dan progresif. Meluaskan dan meningkatkan penyertaan rakyat dalam struktur dan proses membuat keputusan. Ada bidang yang perlu diperkukuhkan, seperti politik, Parlimen, sistem pilihan raya dan memperbaiki kerangka antara kerajaan, masyarakat perniagaan dan masyarakat sivil.
Selain itu, untuk mencipta inovasi demokrasi dengan hanya membangunkan aliran pemikiran politik yang progresif.
Oleh itu debat ini perlu wahana demokrasi bukan hanya dengan menyenaraikan demonstrasi jalanan.
Mengapa kita tolak demonstrasi jalanan? Saya tidak tolak ia sebagai sebahagian daripada demokrasi, tetapi mengapa kita tolak ia dalam mengukuhkan demokrasi, sebabnya demonstrasi jalanan ini mengundang banyak risiko.
Pihak ketiga, peniaga, penduduk, masyarakat, peserta, penganjur, pengunjung, pihak berkuasa, wartawan pemerhati dan mungkin ada anasir lain yang mungkin ambil kesempatan mengetepikan orang lain. Orang itu pada mulanya ong kita tetapi akhirnya, disebabkan perangai kita, dia dah tak sokong kita.
Matlamat sebenar mungkin tidak dicapai, tetapi buah mulut orang selepas demonstrasi itu selesai ialah cerita seperti kekacauan, saman menyaman, kepung rumah orang dan sebagainya.
Sebab itu, ada banyak protes jalanan yang akhirnya jadi masalah, jadi keganasan. Banyak kes yang pernah berlaku. Saya dapatkan maklumat daripada semua sumber kerajaan, bukan kerajaan, saya lihat banyak video, tulisan dan sebagainya.
Saya tahu ramai mahasiswa, orang muda, golongan profesional, aktivis, masyarakat sivil dan kelas menengah menyertainya.
 
SAIFUDDIN: Saya mahu ajak kita berfikir bagaimana untuk mengukuhkan demokrasi. Ada dua perkara yang saya mahu tekankan, satu ialah berkaitan kebebasan media arus perdana, kita pun telah umumkan, untuk pilihan raya akan datang, kita akan lebih liberal.
Kemudian, kita ada media baru, media sosial, Facebook, Twitter dan sebagainya kemudian kita ada rundinganrundingan.
Kita sekarang berada pada fasa ketiga demokrasi yang disebut sebagai zaman pemantauan demokrasi disebut sebagai zaman pasca Parlimen, orang menyebut tentang participatory demokrasi yang memerlukan kita melakukan inovasi.
Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN faham perkara ini sebab itulah beliau nyatakan hari-hari di mana kerajaan melakukan segala-galanya telah berakhir.
Beliau juga mengiktiraf peranan sektor-sektor perniagaan masyarakat sivil khususnya orang muda dalam membuat keputusan, sebab itu masa beliau gubal GTP bukan dibuat dengan cara yang lama, tetapi menginovasi dengan meneliti beratus-ratus surat pembaca di akhbar, beratus-ratus SMS maklum balas diambil kira, hampir seribu orang terlibat di makmal Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Pokoknya, transformasi politik progresif yang melibatkan semua pihak tidak sampai perlu menggunakan demonstrasi jalanan.
Orang muda pada saya ialah yang paling mustahak dalam kita hendak mengukuhkan demokrasi dan kita faham orang muda ini ada tiga permintaan utama mereka, iaitu mahu suara mereka didengar, mahu peranan mereka diiktiraf serta mahu isu-isu mereka dirintangi dengan cara yang sesuai dengan mereka.
Kita dengar suara mereka dan adakan saluran serta platform untuk mereka, kita ada Majlis Perundingan Belia Negara sejak 1972, kita ada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan untuk mahasiswa, kita ada makmal di bawah Pemandu, kita ada Parlimen Mahasiswa, kita dah mulakan Parlimen Belia dan kalau kita nak bincang tentang road map masa depan, saya fikir kita boleh bincang, misalnya, wakil belia dalam pihak berkuasa tempatan , wakil belia dalam Dewan Negara, turunkan umur layak mengundi daripada 21 hingga 18 tahun, Ini semua perkara yang tidak perlu sampai kepada mengadakan demonstrasi jalanan.
 
SALAHUDDIN: Perlu diingat dalam perbicaraan dan perbahasan falsafah undang- undang, Artikel 10 Perlembagaan Negara yang dibaca sekali dengan Artikel 19 Hak Asasi Manusia, adalah artikel yang memberikan satu kebebasan.
Mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi tulen tidak mencabar hak ini.Senat di Amerika Syarikat tidak mencabar hak ini, tetapi apa yang penting dalam hak ini, the small prince mengambil alih.
Takkanlah Mahkamah Majistret yang minta kawal atau kepung Dataran Merdeka itu boleh melawan Artikel 10. Ini falsafah undang-undang yang mesti kita tegakkan. Apa pun atas nama demonstrasi jalanan ataupun protes, dunia mengiktiraf selagi ia aman, tenteram, tidak bersenjata, itu adalah hak universal, deklarasi sejagat yang mesti dipertahankan.
Betulkah kita telah mencapai satu sistem sempurna? Kita sedang menuju kepada sebuah negara demokrasi yang mungkin falsafahnya ialah autokrasi, demokrasi ataupun pasca demokrasi.
Kenapa saya berhujah begitu? Kalau cukup ruang tidak perlu kita berdemonstrasi. Kalau ruang itu cukup kita tidak perlu nyatakan protes ini secara jalanan ataupun apa yang dibimbangi sebentar tadi. Dari segi perbahasan ilmiah, saya ingin menegaskan bahawa demonstrasi jalanan dalam sebuah negara yang sempurna demokrasinya, ia mengukuhkan demokrasi.
Tetapi, bagi negara yang cuba menyembunyikan demokrasi, demonstrasi jalanan melahirkan demokrasi kerana itu sahaja yang ada pada rakyat yang ada keringat, gigi dan lidah yang turun ke jalan raya untuk mendapatkan hak mereka.
Jadi, inilah perbahasan yang saya rasa kita harus fikirkan dengan cermat kerana saya setuju tadi tentang kemusnahan harta awam, tetapi dalam ratusan demonstrasi yang diadakan secara aman, berakhir dengan aman, yang jadi huru-haranya ialah kerana ada gas. Cuba campakkan seekor ular di hadapan tuan-tuan dan puan-puan sekarang, apa akan jadi?
Kita adalah orang muda, pemimpin muda yang ada pada hari ini berfikir bagaimana kita harus berganjak dan memimpin rakyat terhadap apa yang dikatakan advance democracy, civilized democracy.
Bagaimana kita harus melihat protes jalanan itu untuk sebuah kerajaan memberikan peluang kepada rakyat untuk menampilkan hak mereka.
Bagi saya, negara mungkin mundur, negara mungkin membangun, tetapi pemimpinnya, mindanya jangan mundur.
Pemimpin jangan tidak bangun pemikirannya, pemimpin hari ini membangunkan negaranya ke arah demokrasi yang lebih baik pada masa akan datang.
Kalau ada kumpulan yang mahu nyatakan hasrat mereka, tetapi ruang demokrasi tidak cukup, pilihan raya kecil, pilihan raya umum, berapa masa, berapa saat yang diberikan kepada parti pembangkang?
Cuba rujuk kepada ciri negara yang mengamalkan demokrasi, parti pembangkang mesti diberikan masa yang cukup dalam mana-mana pilihan raya umum atau pilihan raya kecil di negara ini, itu barulah bermakna kita memiliki ruang yang cukup untuk berdemokrasi.
Tadi Salahuddin ada sebut tentang perarakan anti Malayan Union, apakah Umno yang berlatar belakangkan protes jalanan itu tidak berasa teruja atau nostalgia terhadap zaman itu?
 
SAIFUDDIN: Saya fikir nostalgia atau sentimen itu biarlah bertempat. Kita nak menuju ke masa depan, sebab itu yang kita nak bangunkan ialah negara kita dari seluruh aspek kehidupan rakyat.
Yang kita nak majukan ialah masa depan anak bangsa kita, anak-anak, cucu cicit kita. Justeru, kita harus pastikan beberapa sendi yang menyebabkan negara kita dah 50 tahun merdeka boleh aman dan maju, kekal keamanannya, ketenteramannya dan sebagainya.
Nampaknya demonstrasi demi demonstrasi, ia menjadi semacam budaya politik parti pembangkang. Apakah ini sudah bertukar menjadi budaya politik atau menjadi suatu pesta sekarang?
 
SALAHUDDIN: Dalam konteks positif dan proaktif pemikirannya, memang kita terus menegakkan falsafah keadilan itu. Semua pihak ada hak untuk menyalurkan suara. Umno pun sekarang ini mungkin belajar untuk menjadi pembangkang, mula buat demonstrasi.
Di Penang pada hari Umno buat demonstrasi, arak kepala lembu, itu demonstrasi. Untuk menjawab soalan Prof tadi, bagaimana pemimpin masa depan melihat dan mengurus kehendak rakyat. Kata seorang sarjana undang-undang, untuk menegakkan keadilan, menegakkan prinsip Perlembagaan negara kita, berikan hak demokrasi kepada hakim, kepada pemimpin dan instrumen demonstrasi disuburkan kepada rakyat.
Maka dengan itulah kita memberikan hak ini untuk mereka semua berdemonstrasi. Kerajaan Penang berikan ruang itu, Kerajaan Selangor berikan hak itu dan tak ada gas pemedih mata. Itu ruangnya.
Penghapusan speaker’s corner universiti menafikan hak pelajar kita bersuara dan profesor sendiri pada waktu mudanya aktif berdemonstrasi, menulis buku Mahasiswa Menggugat, beliau tak menjadi gangster, tapi menjadi profesor.
Jadi, bagi saya bagaimana pemimpin yang besar jiwanya mengurus perbezaan pandangan. The right to listen, itu mesti ditegakkan walaupun kadang kala berlaku tetapi ia ibarat asam garam dalam dunia demokrasi yang barat dan kita semua impikan demokrasi yang ada pada hari ini ialah hasil daripada suatu transformasi politik, iltizam kita yang serius.
Kata orang putih, Rome was not built in one day. Kita harus sabar, tekun dan kekal istiqamah dengan niat kita untuk menyuburkan demokrasi dalam negara kita.
 
Sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan