Khamis, 25 Jun 2009

Ahli Parti Pembangkang Ganggu Persidangan Agung

Beberapa wakil Umno cawangan telah menyuarakan kebimbangan ekoran tindakan bekas ahli Umno yang masih menghadiri Persidangan Agung Umno peringkat cawangan dan cuba menimbul kekecohan semasa persidangan.
"Mereka sememangnya dahulu ahli Umno, tetapi telah menyokong pakatan pembangkang. Sehingga ke hari ini, mereka tidak membayar yuran keahlian tetapi mereka masih mahu hadir ke persidangan Umno cawangan. Ketika pemilihan parti yang lepas, mereka ini cuba bertanding,..nak jawatan. Apabila kalah mereka sengaja buat kacau dalam cawangan", kata wakil Wanita Umno cawangan Sg Burung.
Baru-baru ini setiap cawangan Umno diminta agar menyenaraikan nama ahli yang enggan membayar yuran keahlian sebanyak RM1.00 setahun. Proses pemutihan keahlian telah dibuat oleh semua cawangan dan kemudiannya diusulkan kepada Umno Bahagian untuk dikemaskini oleh Umno Pusat.
"Kami hairan bagaimana orang sebegini boleh ada dua keahlian. Mereka menjadi ahli Umno tetapi kemudiannya masuk pembangkang dan buat kerja untuk mereka. Mereka ini sebenarnya tak berpendirian,..macam lalang. Sebelah mana angin bertiup ke situ mereka sujud. Mereka sebenarnya hanya ambil kesempatan".
Ini adalah antara aduan yang disampaikan kepada Adun Pulau Betong, YB Tn Hj Farid Saad semasa sessi dialog bersama pemimpin di kampung Jalan Bahru. Semalam, YB Farid telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi JKKKP dan Ketua-ketua Wanita Umno cawangan bagi membincangkan permasalahan akar umbi.

Isnin, 22 Jun 2009

Bantulah Mereka - Bantulah Negara

Khusus untuk rakan-rakan seperjuangan,...

Hayatilah bersama,...kerana penjajahan yang sama akan terjadi di bumi tercinta ini. Bila kita merelakan diri dipergunakan dan bilamana kita membuta tuli bergurukan manusia yang mementingkan cita-cita sendiri. Maka maruah dan tanah air akan tergadai.

Kita telah mewarisi pusaka yang dibina dan dipertahankan oleh datuk nenek kita. Terlalu banyak keringat serta harta benda yang dikorbankan oleh mereka demi anak bangsa dan tanahair. Tidak dapat dinafikan bahawa datuk nenek kita tidak mahu melihat keturunan mereka merempat di tanahair sendiri.

Tetapi sungguh memalukan apabila ada segelintir anak bangsa kita lupa diri - lupa jasa mereka yang telah berkorban untuk kesenangan kita pada hari ini. Kononnya merekalah pejuang hak rakyat,..tetapi apa yang mereka perjuangkan adalah untuk diri sendiri dan untuk melunaskan dendam mereka. Mereka menghalalkan segalanya atas nama demokrasi; kerana mereka sendiri telah berkiblatkan negara barat. Akhirnya negara kita akan dijajah semula,.. ketika itulah anak cucu akan menyumpah dan mencerca di atas kubur kita sambil bertanya "..inikah yang kamu tinggalkan untuk kami?".

Wahai rakan-rakan,

Saudara kita di Palestine semakin ditindas dan dihapuskan oleh negara barat dan Yahudi. Mereka mengharapkan segala sokongan dan bantuan dari negara-negara Islam. Berdirilah bersama kerajaan kita yang mempertahankan kedaulatan negara Palestine. Menyumbanglah masa dan sedikit harta kita untuk perjuangan rakyat Palestine kerana sumbangan ini bukan untuk mereka sahaja tetapi untuk keinsafan diri kita jua. Terima kasih untuk semua.









Rabu, 10 Jun 2009

Persidangan Agung Pergerakan Pemuda Umno

Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Balik Pulau telah mula mengadakan Persidangan Agung 2009 bagi peringkat cawangan-cawangan dengan Pemuda Umno cawangan Kg Ginting dan Kg Perlis yang terawal bersidang iaitu pada 30/05/2009 yang lalu.

Sehingga ke hari ini beberapa cawangan lain turut berjaya mengadakan persidangan dan menerima kehadiran yang memberansangkan dari ahli-ahli berdaftar.

Pemuda Umno cawangan Sg Burung dijadualkan akan bersidang pada 21/06/2009 bertempat di perkarangan Bangunan Kemas Sg Burung pada jam 02.00 ptg.

Manakala Pemuda Umno cawangan Tlk Kumbar, Tlk Awak, Tmn Sg Ara dan Gertak Sanggul merupakan cawangan yang terakhir bersidang pada 28/06/2009 ini.

Ketua Pemuda Umno cawangan Sg Burung menyeru kesemua ahli Pemuda Umno menghadiri persidangan Agung kali ini sungguhpun tidak diadakan sebarang pemilihan sebaliknya disebabkan rasa kesedaran dan tanggungjawab memperkasakan parti.

"Pemuda Umno perlu banyak mendekati masyarakat dengan mengadakan pelbagai program disamping boleh mewujudkan hubungan yang baik diantara pemimpin dan grass-root. Tumpuan kita adalah kepada golongan muda yang perlu diterangkan sejarah perjuangan orang-orang tua dahulu,.." ujar beliau.

Sehubungan itu beliau mempelawa mana-mana cawangan Pemuda Umno di Bahagian Balik Pulau yang berminat mengadakan kerjasama program dengan cawangan Sg Burung boleh menghubungi beliau ataupun Sdr Ab Wahab Mat Darus dan Sdr Amiruddin.

Pemuda Umno Cawangan Buka Pusat IT

Pemuda Umno cawangan Sg Burung telah melancarkan Program Celik IT khusus untuk anak-anak kariah kampung Sg Burung. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Dr Hj Hilmi, Adun Telok Bahang merangkap Ketua Umno Bahagian Balik Pulau.

Menurut Ketua Pemuda Umno cawangan Sg Burung,
Sdr Roslan Sahib; beliau mempelawa semua anak-anak muda dan mereka yang berminat mengunjungi Pusat IT Pemuda Umno yang menawarkan perkhidmatan internet secara percuma.
Program Celik IT merupakan program Biro Pendidikan Pemuda cawangan dibawah seliaan Sdr Amiruddin dan mula beroperasi sejak bulan April 2009.
"Terdapat 10 unit komputer yang boleh digunakan dari jam 09.00 mlm - 11.30 mlm manakala mereka yang memiliki komputer riba masih boleh melayari internet sekiranya komputer yang sedia ada sedang digunakan", tambah beliau.

Sementara itu, Dato' Seri Dr Hj Hilmi menyeru penduduk kampung supaya mengenepikan fahaman politik sebaliknya bersama-sama berganding bahu membangunkan masyarakat. Menurut beliau, perbezaan fahaman politik telah menyebabkan orang Melayu berpecah dan menjadi lemah.

YB Dato' Seri Hj Hilmi yang turut diiringi oleh isterinya sempat meninjau kemudahan yang disediakan dan mengucapkan taniah kepada Pemuda Umno cawangan yang berusaha keras membangunkan pendidikan IT kepada penduduk kampung.
Majlis pada malam tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian, Sdr Aziaan dan Pengerusi Qariah Sg Burung.