Sabtu, 12 Disember 2009

Peniaga Kesal Tindakan Penguatkuasa MPPP


Para peniaga di Pasar Awam Balik Pulau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan keterlaluan penguatkuasa MPPP ketika melakukan serbuan mengejut di pasar tersebut pagi 9 Disember lepas. Peniaga yang ditemui menceritakan bagaimana sekumpulan anggota penguatkuasa telah menyerbu kedai mereka dan merampas barangan jualan yang diletak di luar kedai kerana didakwa menganggu laluan orang ramai.
"Kami terpaksa meletak barang jualan di luar kerana ruang kedai yang dibina terlalu kecil berbanding sewa antara RM100-RM160 sebulan. Jika mereka boleh 'tutup mata' di Pasar Awam Air Itam dan Jalan Tujuh mengapa kami pula sering diganggu?", komen seorang peniaga buah yang hanya mahu dikenali sebagai Alex.
"Semua orang tahu setiap pagi di pekan Air Itam jalannya sesak kerana ada penjaja berniaga di pinggir jalan tapi tiada tindakan dari MPPP".
"Mereka tak peduli aduan kami tentang ruang untuk berniaga yang sempit tapi datang bertindak macam penyamun besar", tambahnya lagi.
Sementara itu seorang peniaga sayuran berkata, "Kami akur dengan tindakan penguatkuasa merampas barangan jualan tetapi cara mereka lakukan tak ubah seperti penyamun. Sudahlah barangan kami dirampas tetapi mengapa perlu segala meja dan peralatan lain hendak dimusnahkan?".
"Hendak tebus semula barangan pun kena hadapi macam-macam birokrasi yang menyusahkan. Kena berurusan di merata pejabat MPPP, itupun selepas kena 'bancuh' dengan pegawai MPPP baru boleh ambil semula barangan", komen beliau lagi. 

Seorang suri rumah yang ditemui turut kesal dengan tindakan penguatkuasa memecahkankan meja dan rak kayu milik peniaga. Beliau mempersoalkan bidang kuasa penguatkuasa MPPP sehingga berani bertindak sedemikian.
"Jika beginilah sikap penguatkuasa MPPP sekarang maka bernasib malanglah kami (rakyat). Kerajaan negeri dan PBT sepatutnya tunjuk teladan baik sebaliknya dah mula tunjuk belang", katanya.
"Pasar sini tak ada kemudahan stor jadi apa salahnya peniaga meletakkan troli mereka di dalam kedai yang kosong daripada terbiar di kaki lima kedai. Mungkin kerana tak bayar untuk simpan barang..sebab tulah trolipun mereka pecah-pecahkan", komen seorang pengunjung.
Hasil tinjauan mendapati pekerja kebersihan MPPP telah membuang sisa-sisa peralatan yang dimusnahkan dan hanya seorang peniaga sahaja yang masih menyimpan sisa rak sebagai bukti kekejaman penguatkuasa MPPP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan