Isnin, 21 Disember 2009

Trend Sistem Dua Parti di Malaysia: Satu Analisa Wacana Intelek Negara

Adakah senario politik negara kini memungkinkan wujudnya sistem dua parti?

Berdasarkan pada situasi etnik di negara kita, mustahil sistem dua parti akan wujud. Yang mungkin wujud ialah sistem dua gabungan iaitu dua ikatan yang terdiri daripada beberapa parti politik.
Gabungan yang sedia ada, yang memerintah di peringkat nasional, yang berakar umbi dalam politik dasawarsa lima puluhan, Barisan Nasional sedang menghadapi masalah-masalah tertentu berkaitan dengan parti-parti komponennya.
Dalam persoalan-persoalan yang berhubungkait dengan kaum juga, gabungan BN tercabar. Namun, BN masih mampu memerintah di peringkat nasional mahu pun di peringkat negeri.

Bolehkah Pakatan Rakyat disifatkan sebagai gabungan?
Lawan politiknya, Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh disifatkan sebagai gabungan. PR tidak didaftarkan sebagai gabungan, tidak memiliki perlembagaan yang sama, tidak menggunakan lambang yang sama, tidak berkongsi kepercayaan-kepercayaan politik, tidak mempunyai struktur kepimpinan yang didukung bersama dan dalam beberapa isu semasa, berbeza pandangan dan pendekatan sepertimana terbukti di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.
Faktor-faktor ini adalah antara faktor yang menghambat perwujudan kabinet bayangan PR di Parlimen. Itulah sebabnya, PR lebih tepat disifatkan sebagai suatu peraturan politik yang longgar dan anti-BN. Oleh kerana PR bukan gabungan, saya enggan membuat kesimpulan bahawa trend dua gabungan wujud kini.

Apakah ciri-ciri sistem dua parti itu?
Lazimnya sistem dua gabungan atau sistem dua parti di negara-negara lain berjaya kerana mereka sama-sama menyokong asas-asas identiti nasional, perlembagaan negara dan sistem pemerintahan. Di Britain umpamanya, parti Buruh dan parti Konservatif tidak bertelingkah tentang identiti negara atau sistem perundangan atau sifatnya sistem pemerintahan Britain. Tetapi, apakah PAS di negara kita dengan cita-citanya mendirikan negara Islam yang menegakkan syariah dan hudud, menerima sistem perundangan sivil yang terkandung dalam perlembagaan kita?
Apakah DAP selesa dengan hakikat sejarah bahawa negara ini berkembang dari negeri-negeri Melayu dan ciri-ciri keMelayuan ini adalah sebahagian daripada perlembagaan negara kita? Sudah tentu orientasi PAS dan DAP dalam persoalan-persoalan asas ini jauh berbeza dari UMNO yang menerajui BN. Jelas bahawa dalam persoalan-persoalan asas tentang identiti negara dan sifat pemerintahannya, PR dan BN belum membuktikan kemuafakatan. Tanpa kemuafakatan ini, adalah sukar untuk menjayakan sistem dua gabungan.

Mampukah sistem dua parti menjadi penyelesaian mutlak kepada segala masalah ?
Dalam konteks ini, kita juga harus memahami bahawa sistem dua gabungan atau sistem dua parti bukan penyelesaian mutlak kepada segala masalah yang mencabar sistem politik moden. Memang benar sistem dua gabungan pada keseluruhannya membawa kepada kestabilan politik dan perubahan sosial yang lebih teratur. Namun, pengkritik-pengkritiknya berhujah bahawa kerana wujud ciri-ciri persamaan antara dua parti atau dua gabungan ini. Lambat laun politik mereka mengundang pada politik statik, yang meminggirkan pelaku-pelaku lain yang mungkin ingin pada perubahan yang lebih mendalam. Ini berlaku di Amerika Syarikat, Britain, Australia, dan beberapa negara lain yang mengamalkan politik dua parti. Akibatnya, sistem dua parti juga mengalami perubahan sekarang dan pelaku ketiga muncul di negara-negara tertentu seperti Kanada dan Britain.


Apakah yang sepatutnya diutamakan oleh parti-parti politik kita?
Pada hemat saya, lebih penting daripada dua gabungan ialah pengamalan keadilan dan kesaksamaan pada semua lapisan dan dalam semua sektor masyarakat. Prinsip akauntabiliti harus dipraktikkan dengan ikhlas dan nilai-nilai urus tadbir yang baik harus ditegakkan. Penyalahgunaan kuasa harus dicegah dan rasuah harus dibenteraskan. Perbezaan pendapat harus dihormati dan kritikan dan teguran diterima sebagai suatu usaha yang membina untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam lain perkataan, semua golongan masyarakat khususnya BN dan PR harus memberi tumpuan kepada cabaran yang jauh lebih besar daripada perwujudan dua gabungan iaitu mengembangkan budaya politik yang lebih sihat dan memuliakan serta memartabatkan insan.

Petikan dari: Penjelasan Isu Semasa oleh Dr Chandra Muzaffar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan