Jumaat, 30 Oktober 2009

Isu SELCAT: Adu Domba Pakatan Pembangkang

APA ITU SELCAT?


Selcat (Select Committee on Competency, Accountability and Transparency) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan yang dipengerusikan oleh Teng Chang Khim (DAP), Speaker DUN adalah bertujuan untuk mempastikan segala perbelanjaan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah berteraskan akauntabiliti.

Selcat boleh memanggil sesiapa jua untuk membuat penjelasan mengenai apa yang dianggap perlu. Ini bukanlah satu perkara baru tetapi dalam keadaan sekarang Selcat telah dianggap tidak menepati terma-terma Selcat apabila memaparkan penjelasan dalaman kepada media sehingga berlakunya tuding-menuding di antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat Selangor.


MENGAPA SELCAT MENJADI ALAT PEMBANGKANG?

Majoriti rakyat Selangor tidak berpuas hati tentang cara Selcat dikendalikan oleh pengerusinya, Y.B.Teng. Apa yang berlaku dalam Selcat baru-baru ini melibatkan siasatan berhubung wang peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Selangor) dari Januari hingga Mac 2008 dan 2009. Dalam hubungan ini Pegawai Daerah Klang, pegawai-pegawai daerah lain dan penjawat-penjawat awam berkaitan telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi mengenai penggunaan peruntukan tahunan berjumlah RM500 ribu dalam dua bulan pertama 2008 oleh ahli DUN Barisan Nasional (BN). Peruntukan ini adalah diagih-agihkan melalui pejabat-pejabat daerah.

Menurut laporan dari sumber-sumber tertentu, prosedur sesi soal jawab pegawai-pegawai Kerajaan bertentangan dengan perintah am di samping cara dijalankan adalah sangat keras sehingga mengaibkan mereka.


APAKAH REAKSI RAKYAT BERHUBUNG HAL INI?

Rakyat Selangor menganggap bahawa Pengerusi Selcat tidak berlaku profesional dan menuduh Pengerusi membuli pegawai-pegawai berkenaan. Beliau juga tidak bersetuju bahawa pihak media juga digunakan untuk mendedahkan sesuatu yang dianggap sebagai perkara dalaman.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid pula memperkecilkan kontroversi ini dan menganggapnya sebagai isu dalaman parti serta perlu diselesaikan oleh parti sendiri. Beliau seterusnya mengatakan terdapat salah faham antara Selcat, Exco dan Pegawai-pegawai Daerah.

Pemimpin-pemimpin PR di negeri-negeri lain kelihatan tidak mahu campur tangan dalam isu Selangor ini kerana mereka mempunyai masalah dalaman di negeri masing-masing terutamanya di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Dalam hal ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri masih belum dapat menyelesaikan desakan kaum India di Kampung Buah Pala.


APAKAH REAKSI UMNO?

Seperti dijangkakan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang mengadakan sidang mereka sejak minggu lalu hanyalah bertujuan memburukkan Umno tanpa berminat mencari kebenaran mahu pun kesalahan.

Sidang Selcat yang asalnya hanya bertujuan melihat sumbangan anak syarikat kerajaan negeri kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (BALKIS). Aneh sekali tidak pula dipantau keseluruhan kewangan PNSB tetapi diambil bahagian-bahagian tertentu sahaja dengan niat jahat memburukkan Umno.

Selcat dipanggil untuk menghalalkan tindakan Kerajaan pembangkang menyalahguna kuasanya menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri untuk kepentingan politik beliau di Bandar Tun Razak (Skandal lembu korban) dan tindakan beliau membuat tuntutan wang kerajaan negeri untuk ”tinted” kereta peribadinya.

Selcat patut menjaga integriti Dewan Undangan Negeri bukannya menjadi alat politik semata-mata sehinggakan pertanyaan yang dikemukakan berunsur memburukkan orang bukannya mencari kebenaran.

Sepatutnya Selcat selepas ini membuat pendengaran awam mengenai kes lembu korban Tan Sri Khalid dan isu kereta Lexus beliau? Bagaimana pula dengan isu YB Ronnie Liu yang terbabit menghalang polis dan MPSJ menjalankan undang-undang menutup pusat pelacuran?

Selcat pasti tidak berani mengadakan sesi tersebut tetapi apakah Selcat akan mendapat kebenaran pemimpin Kerajaan campurtangan yang lain? Jangan kerana mencari kuman di seberang laut, bangkai gajah di depan mata disembunyikan.


PERCAKARAN PAS DAN DAP BERTERUSAN, RAKYAT MERANA

Kelihatan bahawa anggota-anggota PR (PAS, PKR dan DAP) masih belum dapat menyelesaikan kes Selcat ini. Niat Tan Sri Khalid untuk mengatasi perkara ini masih menemui jalan buntu dan beliau belum lagi dapat membendung kegelisahan pegawai-pegawai kerajaan yang sentiasa bersikap profesional dalam menjalankan tugas.

Pengerusi Selcat pula berpegang kepada prinsip dan egonya dalam melaksanakan tugas yang sebenarnya mudah sahaja. Tetapi beliau sebagai Pengerusi telah melampaui batas apabila mendedahkan perkara dalaman kepada media. Cara beliau menjalankan sesi soal jawab terhadap saksi-saksi juga tidak disenangi dan menjadikan kemelut ini semakin sukar untuk diakhiri.

Di sini jelas bahawa pemimpin PR di Selangor masih tidak faham proses-proses dalam mentadbir negeri. Ahli-ahli Selcat juga tidak dapat membezakan apa itu prosedur dan apa itu substantif. Minda mereka adalah lebih mementingkan mencari publisiti murahan tanpa mengambil kira sensitiviti pegawai-pegawai kerajaan. PR perlu sedar bahawa mentadbir negeri bukanlah seperti mengendalikan sebuah syarikat perniagaan.

Apa yang dibuat oleh kerajaan PR ini hanya merosakkan imej dan menyulitkan pentadbiran negeri. Kurangkanlah cari penyakit tetapi memberi tumpuan kepada keperluan dan kebajikan rakyat. Ikutlah perjuangan BN iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.


KRONOLOGI TINDAKAN SONGSANG SELCAT

Pada Mac 2009 : Selcat bermula dengan pendengaran awam berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (BALKIS). Wartawan-wartawan yang membuat liputan bebas merakam sesi 2009 jawab antara ahli panel dan saksi-saksi yang dipanggil.

Pada Julai 2009 : Mantan Menteri Besar tidak hadir sebagai saksi kerana BALKIS tiada kena mengena dengan pentadbiran negeri. Speaker memanggil Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bincang kes mantan MB dan empat (4) lagi ADUN. Pada Julai 2009, DUN meluluskan hukuman gantung ke atas ke lima-lima ahli DUN.

Pada 8-14 Sept. 2009 : Selcat mengadakan pendengaran awamnya yang kedua berkaitan perbelanjaan wang peruntukkan ADUN-ADUN bagi tempoh Januari-Mac 2008 dan 2009. Sembilan (9) Pegawai Daerah di Selangor diarah hadir sebagai saksi. Mereka ini juga adalah Pengawal Kewangan Peringkat Daerah di Selangor.

Kiriman: 1Baiklah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan