Rabu, 1 Jun 2011

Rumah Ibu Tunggal Musnah Dalam Kebakaran

Pada 27hb. Mei lalu penduduk Sg. Burung dikejutkan dengan kejadian kebakaran sebuah rumah yang didiami oleh Pn Rohani Bahashim, ibu kepada Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Sg. Burung, Mohd Rahim Yahya.

Dalam kejadian kira-kira jam 06.40 pagi itu, rumah pusaka yang didiami Rohani bersama 7 ahli keluarganya musnah dipercayai akibat litar pintas. Mangsa yang tidak bekerja dan juga seorang ibu tunggal setelah kematian suaminya baru-baru ini.

Menurut Mohd Rahim, kejadian itu disedari oleh ibunya ketika beliau dan ahli keluarga yang lain sedang tidur tetapi dikejutkan oleh jeritan ibunya yang melihat peralatan rumah di bahagian serambi sedang terbakar lalu mereka berusaha memadamkan kebakaran itu tetapi gagal  kerana api cepat marak. Walaupun mereka sekeluarga sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi semua dokumen penting milik keluarga dalam sebuah bilik gagal diselamatkan. Turut musnah dalam kebakaran itu sebuah motosikal milik salah seorang abang beliau yang digunakan untuk menjaja aiskrim Walls.

Menurutnya, dia sekeluarga sedih dengan kejadian itu tetapi bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat. Namun begitu, dia lebih bimbangkan nasib keluarganya selepas ini kerana  mereka tidak dapat membina semula rumah di tapak yang sama disebabkan menumpang di tanah milik orang. Sebelum kejadian ini, pemilik tanah tersebut telah meminta keluarganya berpindah dan mereka terpaksa akur setelah tuan tanah bersetuju memberi sedikit pampasan serta jaminan dari JKKKN akan memberi tapak (tanah) TOL.

Adun Pulau Betong, YB Muhd Farid dan Adun Telok Bahang, YB Dato' Seri Hj Hilimi yang segera datang melawat mangsa melahirkan rasa simpati dan turut menyumbang bantuan kewangan kepada keluarga mangsa.  Ketika ditemui, kedua-dua pemimpin UMNO itu menyuara kebimbangan mengenai kekerapan berlaku kejadian kebakaran rumah di dalam kampung Sg. Burung. Kebakaran pada pagi hari itu merupakan kejadian yang keempat dalam tempoh empat tahun berturut-turut.

Berhubung bantuan membina rumah baru kepada keluarga mangsa Dato' Seri Hilmi dan Muhd Farid mahu JKKKN atau pemimpin PKR setempat segera menyediakan tapak rumah yang baru seperti yang dijanjikan sebelum ini. Menurut mereka, agensi PUZ atau ICU mempunyai dana untuk membina rumah baru tetapi jika pentadbiran sekarang gagal menyediakan tapak maka bantuan tidak dapat disalurkan dengan segera.
  





Tiada ulasan:

Catat Ulasan