Khamis, 25 Mac 2010

Pas dan PKR Kemaruk Jawatan

   Selepas berjaya menguasai negeri Pulau Pinang ahli-ahli Pas dan PKR mula menghalalkan budaya merampas jawatan di dalam pertubuhan atau persatuan NGO di setiap kampung. Berdasarkan maklumat yang diterima, sebilangan anggota JKKKN berusaha menguasai jawatankuasa organisasi masyarakat yang berkemampuan menjana pendapatan sendiri. Menurut pendedahan sumber dalaman, mereka mensasarkan organisasi seperti unit nelayan, kelompok pertanian dan pertubuhan lain yang berpayung di bawah agensi kerajaan negeri.
"Mereka akan pastikan ahli-ahli pertubuhan yang menyokong mereka hadir beramai-ramai ke mesyuarat tahunan pertubuhan bagi memastikan calon-calon pilihan mendapat undi yang banyak. Malahan terjadi tindakan pengerusi JKKKN dan Qariah berlumba merebut jawatan pengerusi pertubuhan sambil rakan-rakan separti bertanding untuk AJK," dedah sumber yang enggan dinamakan.
Menurut beliau lagi, strategi penyalahgunaan kuasa dan wang pertubuhan merupakan strategi awal yang digunapakai untuk menjatuhkan jawatankuasa lama.
"Kita boleh perhatikan tindakan mereka yang lebih berminat kepada laporan penyata kewangan dengan mengajukan pelbagai persoalan dan dakwaan untuk mengelirukan ahli-ahli," tambah beliau.
Beberapa responden yang ditemui turut mempersoalkan tindakan jawatankuasa JKKKN dan Qariah yang begitu kemaruk untuk memegang jawatan lain sungguhpun sudah memegang jawatan penting di dalam kampung. Menurut mereka ketika pentadbiran kerajaan BN dulu, individu ini sering menghentam jawatankuasa JKKK atau Qariah dengan tuduhan gila kuasa tetapi sekarang mereka pula berebut-rebut bertanding.
"Bukti mereka gila kuasa,.. lihat dalam jawatankuasa JKKKN atau Qariah pasti ada anak dan bapa yang menganggotainya. Jika mahu dilihat adil maka mereka boleh menolak perlantikan tersebut dengan mencadangkan individu lain. Masih ramai yang mempunyai pendidikan agama yang layak," komen seorang responden.
Sementara itu, beberapa penduduk kampung Sg. Burung kesal dengan tindakan jawatankuasa Qariah yang membenarkan penyalahgunaan mimbar masjid untuk menyampaikan khutbah politik. Penduduk kampung berpendapat sekiranya ada pertikaian berkaitan dasar kerajaan pusat maka gunakan saluran yang betul untuk dipersoalkan.
"Jika mereka  mendakwa rakyat tidak senang dengan dasar-dasar yang ada maka segera ajukan kepada wakil rakyat untuk dibahaskan. Apa gunanya ada Ahli Parlimen di dewan jika gagal membawa suara dan kehendak rakyat,..kenapa lontarkan semula persoalan itu kepada orang-ramai di masjid.
"Mereka telah dipilih untuk bekerja untuk orang-ramai maka wajarlah laksanakan tugas itu bukannya menyerah kembali kepada rakyat untuk selesaikan bagi pihak mereka", kata seorang penduduk.
"Yang paling lekeh ialah kegagalan JKKKN dan Qariah mengatur aktiviti di kampung. Mereka suka menumpang program pihak lain tetapi membuat laporan dan tuntutan atas nama mereka." tambah beliau lagi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan