Khamis, 26 November 2009

Pemuda Umno Sg Burung Sedia Untuk Gempur

"Saya dan rakan-rakan akan pastikan calon BN akan menang," itulah janji Naib Ketua Pemuda Umno Sg Burung, Sdr Abd Wahab Mat Darus ketika ditanya bagaimana persiapan sayap parti itu bagi menghadapi pilihanraya. Menurut beliau, sungguhpun PRU-13 masih jauh namun Pemuda cawangan telah mengatur strategi dan persiapan awal untuk mengekang taktik politik parti pembangkang.

Menurut Abd Wahab, Pemuda Umno Sg Burung tidak akan duduk diam dan hanya menunggu tarikh pilihanraya diumumkan sebaliknya telah merancang dan menjalankan pelbagai program untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno terutamanya sokongan dari golongan muda.
"Usaha kami mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak tetapi segala kelebihan yang kami ada akan digunakan untuk membantu parti," katanya.
Apabila ditanya tentang kegemaran pakatan  pembangkang menggunakan pilihanraya kecil (PRK) sebagai strategi politik untuk meraih populariti beliau berkata tindakan seumpama itu lebih menyusahkan rakyat dan merugikan wang rakyat.
"Buat apa nak jadi wakil rakyat jika tidak tahan dengan tekanan atau tidak mampu
menjalankan tugas?," soal beliau.
"Sekarang kita sedar kecenderungan parti lawan berulang kali mengheret rakyat terlibat dalam pilihanraya kecil. Jadi kita (Pemuda Umno) tidak akan tertumpu kepada pilihanraya umum sahaja kerana PRK boleh berlaku bila-bila masa dan di mana saja," katanya.
Semenjak PRU-12 lalu, sebanyak 9 PRK telah diadakan dengan negeri Pulau Pinang merupakan negeri terbanyak mengadakan pilihanraya. Keputusan meletak jawatan oleh wakil rakyat parti pembangkang merupakan penyebab terbanyak berlakunya PRK.
"Perkembangan politik di Parlimen Balik Pulau sentiasa dipantau oleh jawatankuasa Pemuda cawangan. Segala maklumat dan isu diperbincangkan agar kami dapat menjangkakan gerak langkah parti lawan," tambahnya lagi.
Menurut Abd Wahab, senario politik tempatan agak panas apabila semakin ramai penyokong pakatan pembangkang mengadu berlaku usaha 'mencantas' pemimpin tertentu di dalam PKR Balik Pulau. Malahan sumber terdekat PKR mendakwa telah berlaku gerak saraf untuk mengenepikan beberapa individu di dalam parti itu ekoran tercetusnya perebutan 'kerusi'. Menurut sumber itu lagi, ada individu yang akan disingkirkan kerana semakin tidak popular dan sudah tidak disukai oleh pucuk pimpinan tertinggi PKR.
Disamping itu beberapa individu turut mendedahkan bahawa wujud sentimen berpuak di dalam pimpinan PKR Balik Pulau sehingga memecah-belahkan cawangan-cawangan pemuda PKR kepada dua kem penyokong.
"Kami akan memantau krisis dalaman PKR dan jika isu ini semakin merugikan penduduk tempatan maka kami akan pastikan Pemuda Umno turun ke padang berkempen untuk kepentingan BN," ujar Abd Wahab.
"Pemuda Umno akan pastikan penduduk tidak akan lupa isu-isu yang telah melanda PKR atau PR dan biarlah pengundi sendiri menilainya. Yang pasti kami akan terus berkempen dari sekarang sehingga PRU-13," tambah beliau lagi.

1 ulasan: