Jumaat, 2 Oktober 2009

Takziah Kepada Keluarga Mangsa Bencana

Ahli dan Jawatankuasa Pemuda Umno Sg. Burung mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga dan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera. Sehingga ke hari ini, angka korban dilaporkan telah mencecah lebih 770 orang dan dijangka akan terus meningkat. Pihak berkuasa tempatan mempercayai ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Gempa bumi dengan kekuatan 7.6 skala Richter telah melanda Padang pada 30/09/2009, jam 05.15 ptg (06.15 ptg waktu Malaysia) dan berpusat 60 km ke barat daya Padang. Gegaran yang kuat itu telah meranapkan hampir 90% rumah dan premis perniagaan. Kerajaan Indonesia mengalu-alukan sebarang bantuan dari negara jiran namun memaklumkan segala usaha mengendalikan operasi menyelamat dibawah kuasa Indonesia.

Seramai 330 pelajar Malaysia yang berada di Padang dilaporkan selamat sungguhpun beberapa orang pelajar tercedera. Kerajaan Malaysia telah menghantar tiga pesawat tentera ke Padang untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi itu.

Akhbar-akhbar tempatan dan beberapa syarikat swasta telah melancarkan tabung bencana bagi membantu mangsa. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menderma kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank atau Tabung Bencana NSTP-Madia Prima.

Keduataan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan masih belum menerima laporan berhubung kecerderaan atau kematian rakyat Malaysia namun ahli keluarga boleh
menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bilik Operasi Kementerian Luar, Putrajaya : 03-8889 2746/03-8887 4570
Bilik Operasi Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta : 6221-522 4947/6221-522 4971

Ahli-ahli Pemuda Umno digalakkan menderma kepada tabung-tabung bencana yang dilancarkan sebagai tanda prihatin kita kepada penduduk Padang yang sedang diuji oleh Allah swt.

Sesungguhnya kita di negara ini tidak harus lupa bahawa ujian dari Allah swt berlaku bila-bila masa dikehendakiNya dan kepada sesiapa sahaja. Kita diwajibkan terus berpegang kepada tuntutan Islam dan meninggalkan segala yang diharamkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran di bumi Allah ini. Bermula dengan menegur diri sendiri kemudiannya ahli keluarga, rakan-rakan dan diikuti dengan jiran sekampung. Usaha ini merupakan ibadat yang dituntut dan kita melakukannya demi kepentingan sesama Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan