Khamis, 2 Julai 2009

Kembali Hayati Perjuangan Umno

Ketua Pemuda Umno cawangan Sg Burung, Sdr Roslan Sahib menegaskan bahawa beliau lebih mengutamakan semangat kerjasama dan bertanggungjawab terhadap tugas bagi merealisasikan hasrat memantapkan kembali parti agar rakyat semakin yakin kepada kerajaan BN. Menurut beliau lagi, adalah menjadi kewajipan kepada setiap ahli dan pemimpin Pemuda Umno atau mana-mana pertubuhan yang menyokong BN saling mempercayai antara satu sama lain dan berani menghadapi tomahan parti lawan.

"Kita perlu kikis sikap mementingkan diri sendiri. Kita harus bertindak sepantas yang mungkin dan sedia menerima kritikan dari orang lain. Nasihat saya kepada rakan-rakan lain supaya jangan terlalu mengharapkan pujian atau imbuhan untuk diri sendiri", tambah beliau.
Sehubungan itu beliau menaruh harapan kepada ahli dan jawatankuasa Pemuda Umno cawangan serta orang-ramai untuk terus menegur dan membantu beliau memperkasakan Umno demi menjaga maruah orang Melayu.

Ditanya apakah tindakan Pemuda Umno bagi mengekang tindakan parti lawan yang semakin giat memanipulasikan isu-isu, Roslan menjawab:
"Pemuda Umno sedar kehadiran anasir-anasir luar yang menjelajah ke segenap ceruk kampung membawa pelbagai tomahan untuk mengelirukan rakyat. Ada penduduk yang datang mengadu kepada kami berkenaan tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu berkempen dengan menabur fitnah agar rakyat marahkan kerajaan dan Umno. Saya menyarankan kepada ahli Umno dan penyokong parti agar berhati-hati mendengar hujah-hujah agen parti lawan ini, mereka bercakap tanpa fakta,..semuanya berdasarkan andaian.

"Lebih dikesalkan lagi apabila ada ahli Umno sendiri menikam pemimipin mereka dari belakang. Saya tidak suka orang yang berpura-pura menyokong kepimpinan Umno tetapi mencerca mereka apabila bersama penyokong parti lawan. Apa yang mereka takutkan untuk pertahankan Umno?".

Mengulas lanjut, Roslan berkata, AJK Pemuda Umno telah mengarahkan ahlinya memantau aktiviti dan kempen parti lawan.
"Segala laporan yang diterima akan dirumus bersama untuk tindakan susulan. Penyampaian maklumat sebenar amatlah diutamakan. Dengan segala kemudahan yang ada kami akan merujuk segala maklumat bagi menangani fitnah mereka. Apa yang kami harapkan hanyalah penyatuan dikalangan orang Melayu. Kita boleh berpolitik tetapi dalam soal maruah bangsa kita tidak boleh bertolak ansur.

"Saya mungkin baru dalam politik tetapi saya telah melihat bagaimana pentas politik disalahgunakan untuk kepentingan lain sehingga membawa kepada perpecahan. Sehubungan itu saya dan rakan-rakan berusaha untuk membangunkan ekonomi penduduk setempat agar orang ramai sedar yang Umno tidak pernah meminggirkan mereka seperti yang didakwa oleh parti lawan".

"Kita tidak perlu terlalu mengharapkan pemimpin atau wakil rakyat untuk bekerja sendirian. Ini tanggungjawab kita bersama untuk membantu mereka (pemimpin). Barulah wujud kerjasama yang erat antara pemimpin dengan 'grass-root'. Kalau nak berpura-pura sokong (Umno) kerana nak habuan, nasihat saya hentikanlah hasrat ini", tambahnya.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, ahli Umno perlu kembali bersatu agar rakyat dapat melihat yang terbaik dari Umno. Langkah ini akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti justeru itu ahli Umno perlu ikhlas dan lebih mendekati orang ramai.

"Kita perlu buang sikap suka mengambil kesempatan di atas kesilapan orang lain. Semakin banyak kita mengata keburukan orang lain maka semakin banyak kelemahan sendiri kita dedahkan. Lambat laun ia akan makan diri sendiri, jadi berhati-hatilah", nasihat beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan