Jumaat, 16 September 2011

Antara revolusi dan Islah mana lebih utama?

Revolusi dalam istilah Arab disebut ‘tsaurah’. Kamus Dewan (edisi keempat, 2007) mendefinisikan ‘revolusi’ sebagai perubahan sesebuah kerajaan, sistem politik atau sistem sosial yang dilakukan secara radikal dan kekerasan. Revolusi juga bermaksud perubahan yang menyeluruh dan mendadak, terutama dari segi cara berfikir dan bertindak.

Satu lagi istilah yang banyak diguna pakai dalam mendefinisikan perubahan ialah ‘islah’ (pembaharuan). Menurut cendekiawan Mesir, Dr. Muhammad Imarah, kedua-dua istilah tersebut ada persamaan dan perbezaan. Persamaannya ialah kedua-duanya mahukan perubahan secara menyeluruh, mendasar serta mendalam. Yang membezakannya adalah dari segi kaedah atau uslub (pendekatan) untuk melakukan perubahan itu.

Pendekatan ‘tsaurah’ atau revolusi mahukan perubahan yang cepat dan radikal melalui cara kekerasan. Sebaliknya, ‘islah’ menekankan proses perubahan secara bertahap. Pendekatan islah lebih diberi perhatian dan diterima jumhur (majoriti) ulamak dalam melaksanakan perubahan masyarakat. Ini adalah disebabkan kaedah islah adalah uslub atau pendekatan yang digunakan oleh para rasul dalam misinya merubah masyarakat.

Para Rasul melaksanakan misi mereka dengan cara memperbaiki diri dan jiwa manusia. Cara ini bebas dari unsur kebencian dan kekerasan. Sebaliknya, revolusi mengandungi elemen kebencian, pemberontakan dan rusuhan yang lebih banyak menghancurkan daripada membina atau membangun. Kebanyakan ulamak sepakat mengutamakan perubahan secara damai dengan melakukan islah terhadap pemerintah yang korup dan zalim.

Misalnya, Imam Ahmad bin Hanbal menolak kaedah revolusi sebab beliau melihat ianya lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Iman mulia itu melihat revolusi adalah sesuatu yang batil kerana ia boleh berakhir dengan anarkisme dan pemimpin-pemimpinnya pula akan bertelagah sesama sendiri untuk berkuasa sehingga seolah-olah negara tidak lagi berkerajaan.

Justeru, ramai ulamak tersohor tidak mengizinkan penyingkiran seseorang pemimpin secara kekerasan walaupun pemimpin itu seorang yang fasik. Ibnu Taimiyyah menyebut, “Enam puluh tahun di bawah penguasa zalim adalah lebih baik daripada satu malam tanpa seorang pemerintah (keadaan anarkisme)”.

Iman al-Ghazali pula berpendapat sekiranya tindakan menyingkirkan penguasa yang zalim dan jahil itu secara kekerasan akan menimbulkan kekacauan yang tidak dapat diuruskan (anarki), maka pemimpin itu wajib dikekalkan dan wajib ditaati”.

Kebaikan dan keadilan pemerintah di negara ini lebih terserlah daripada kelemahan dan kezaliman yang dicanangkan oleh golongan-golongan tertentu.Memang kita tidak nafikan ada kelemahan di sana sini tetapi ia boleh diperbaiki. Hari ini, program transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan adalah menepati konsep ‘islah’ atau pembaharuan seperti yang dikehendaki Islam.

Demikian juga politik demokrasi masih berjalan dengan baik di mana semua parti politik di negara ini berpeluang untuk memenangi pilihan. Kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidaklah seburuk mana yang digambarkan pihak tertentu. Malah, SPR kini sedang giat melakukan pembaikan untuk memberi keadilan kepada semua parti-parti politik yang berpartisipasi dalam pertandingan pilihan raya. Terbaru ialah kesediaan kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi menambah baik sistem pilihan raya negara. Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Kesimpulan, pendekatan untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara tidak sesuai sama sekali di negara ini. Mungkin kita boleh menerima kaedah revolusi sekiranya negara di bawah penguasaan kuasa asing yang menindas dan meragut kemerdekaan rakyat dan negara.

Revolusi yang harus diutamakan ialah revolusi mental. Pemimpin dan rakyat seharusnya merevolusikan minda mereka ke arah perkara yang membina masa depan negara. Revolusi minda ini penting supaya ia dapat merubah penampilan, sikap, paradigma, tingkah laku dan kebiasaan diri supaya “daya tenaga” masyarakat dapat menjana dan melonjakkan transformasi sosioekonomi negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan