Ahad, 30 Mei 2010

Isu Tuntutan Hasil Minyak Kerajaan Negeri Kelantan

Bagaimanakah isu tuntutan hasil petroleum Kerajaan Negeri Kelantan ini timbul?
Latar belakang:
Pada 9 Mei 1975, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamad Nasir dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah telah menandatangani satu Surat cara (Vesting Deed) di mana Kerajaan Negeri Kelantan memberi hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan berkenaan dengan petroleum kepada Petronas. Pada masa yang sama, kedua-dua pihak telah juga menandatangani satu Perjanjian mengenai pembayaran di bawah Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Perjanjian:
Perjanjian ini menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai yang setara dengan 5% dari nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Negeri Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Tuntutan:
Memandangkan hasil petroleum telah didapati dan diperolehi di luar pantai (offshore) Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan berpendapat bahawa ia layak menuntut dan mendapat pembayaran 5% seperti di dalam perjanjiannya dengan Petronas.

Mereka menuntut seperti berikut:

i) RM 2 billion bagi keluaran di kawasan tuntutan bertindih Malaysia -Thailand
ii) RM 9.7 billion bagi kawasan di sempadan perairan Negeri Kelantan dan Negeri Terengganu

Apa perkara-perkara penting dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974?
Seksyen 2, Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta144)
Memberi hak pemunyaan eksklusif di atas petroleum kepada Petronas serta hak, kuasa dan keistimewaan eksklusif untuk mencari gali, memperolehi dan mengusaha petroleum sama ada di onshore atau offshore negara.

Seksyen 4, Akta Kemajuan Petroleum 1974
Sebagai balasan, Petronas hendaklah membayar kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkenaan BAYARAN TUNAI yang dipersetujui antara pihak berkenaan. Perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1975 menyebut tentang BAYARAN TUNAI sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di Kelantan.

Huraian:
Di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, tiada penomboran, peratusan atau sebarang angka yang ditetapkan sebagai rujukan penjumlahan yang perlu dibayar secara tunai oleh Petronas. Akta ini hanya menyatakan pembayaran akan dibuat dan tidak meletakkan apa-apa syarat angka untuk jumlah pembayaran yang dibuat.

Apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas?
Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah “bayaran tunai” dan perkataan ‘royalti’ tidak digunakan dalam mana-mana istilah Akta berkenaan.

Apakah kelayakan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan bayaran tunai 5% seperti yang disebut dalam perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri tahun 1975/1976?
Medan minyak atau gas mesti berada dalam sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri iaitu tidak melebihi 3 batu nautika yang diukur dari paras air surut (Seksyen 4(2) (Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No.7 Tahun 1969)

Perlu ditegaskan dalam memahami isu ini, peraturan dan undang-undang lain yang berkaitan perlu di baca bersama iaitu:
i) Artikel 3 of United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS)
Perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal (baselines) hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika.

ii) Artikel 57 UNCLOS - Zon Eksklusif Ekonomi dan Seksyen 3(1) Akta Zon Eksklusif Ekonomi 1984
Zon Eksklusif Ekonomi negara adalah kawasan “beyond and adjacent” kepada perairan wilayah Malaysia dan tidak melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal.

iii) Seksyen 3 Akta Pelantar Benua 1966
Semua hak berkenaan penerokaan di pelantar benua (continentalshelf) dan mengeksploit sumber-sumber aslinya (natural resources) terletak ke atas Kerajaan Persekutuan.

iv) Perlembagaan Persekutuan – Senarai Persekutuan Jadual 9
Kerajaan Persekutuan mempunyai hak mutlak bagi pembangunan perlombongan dan hasil galian.

Dakwaan segolongan pihak bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No. 7, 1969 tidak terpakai kerana telah dimansuhkan oleh Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1979 (Akta 216) adalah tidak benar. Akta 216 hanya memansuhkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No. 1, 1969.

Adakah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969 akan terhapus apabila Akta Kemajuan Petroleum 1974 dikuatkuasakan?
Tidak. Akta Kemajuan Petroleum 1974 adalah berkenaan pemberian seluruh hak pemunyaan eksklusif di atas petroleum kepada PETRONAS serta hak, kuasa dan keistimewaan eksklusif untuk mencarigali, mengeksploit dan memperoleh petroleum sama ada di dalam (onshore) atau di luar pantai (offshore) Malaysia.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969 terutama sekali Ordinan No.7 dan No.11, 1969 masih terpakai kerana ia memperuntukkan kedudukan had perairan wilayah negeri. Peruntukan ini amat penting dalam konteks mengenai hak negeri-negeri di perairan Malaysia.

Kenapakah perlu ada 3 batu nautika dan 12 batu nautika bagi tuntutan tersebut?
Jarak-jarak tersebut berhubung-kait dengan hak atau bidang kuasa negara Malaysia dan negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia.

Berdasarkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No.7 1969 dan pindaan No.11 1969, had perairan wilayah negeri ditakrifkan sebagai tidak melebihi 3 batu nautika yang diukur dari tikas air surut (low water mark) perairan negeri yang berkenaan.

Oleh yang demikian, Kerajaan negeri tidak mempunyai hak terhadap apa-apa hasil yang diperolehi di luar perairan wilayah negeri.

Di bawah United Nations Convention On The Law Of The Sea (UNCLOS), perairan wilayah sesebuah negara adalah setakat 12 batu nautika.

Walau bagaimanapun, Malaysia telah menerima Convention On The Territorial Sea And Contiguous Zone 1958 dan Convention On The Continental Shelf 1958 di mana hak kedaulatan di atas perairan wilayah (territorial sea) dan pelantar benua (continental shelf) adalah diberi kepada Kerajaan Negara.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan telah menggubal Akta Pelantar Benua (continental shelf) 1966 dan Akta Zon Eksklusif Ekonomi 1984 yang mengiktirafkan kedaulatan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan adalah melebihi 12 batu nautika.

Justeru itu, apa-apa hasil yang diperolehi di luar perairan wilayah negeri (melebihi 3 batu nautika) adalah hak milik Kerajaan Persekutuan.

Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau mana-mana Kerajaan Negeri di Semenanjung berhak menuntut bayaran tunai hasil minyak dari Petronas?
Kerajaan Negeri Kelantan atau mana-mana kerajaan negeri di Semenanjung tidak berhak kerana semua medan minyak dan gas yang mengeluarkan hasil di Semenanjung pada masa ini berada di luar perairan wilayah negeri iaitu melebihi 3 batu nautika.

Oleh yang demikian apa-apa hasil yang diperolehi di luar perairan negeri melebihi 3 batu nautika adalah hak milik Kerajaan Persekutuan. (Rujuk peta kedudukan medan minyak dan gas yang mengeluarkan hasil (producing fields) di luar perairan negeri Kelantan).

Adakah PM301 dan PM302 berada di luar 12 batu nautika?
Ya. Kedua-dua blok terletak lebih dari 100 batu nautika dari pantai.

PM301 (Medan Bumi South) terletak 140 km daripada Kota Baharu dan medan tersebut melebihi 3 batu nautika.

Kenapa kedudukan Sabah dan Sarawak berbeza dengan negeri-negeri Semenanjung dalam isu pembayaran royalti?
Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah sedia mempunyai kedudukan tersendiri terhadap hak royalti melalui kuatkuasa perjanjian serta perundangan-perundangan yang memberi hak ke atas kawasan pelantar benua.

Hak kedua-dua negeri ke atas kawasan pelantar benua termaktub di dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 dan Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954].

Ia merupakan sejarah dan hak istimewa yang diiktiraf semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Di dalam Perlembagaan Malaysia, perkiraan bayaran kepada Sabah dan Sarawak mengambil kira duti import, duti eksais, duti eksport petroleum kepada Sabah dan Sarawak serta hasil perlombongan galian semulajadi.

Ini adalah jaminan kelayakan yang diterima oleh Negeri Sabah dan Sarawak, yang tidak ada di negeri-negeri Semenanjung.

Mengapakah Wang Ehsan yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Negeri Kelantan hanya berjumlah kira-kira RM20 juta?
Tiada bukti yang menunjukkan Kelantan berhak dibayar ‘royalti’.

Kerajaan Negeri Kelantan tiada hak dalam kawasan itu kerana ia adalah di luar perairan 3 batu nautika.

Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan ini atas dasar ehsan dan budi bicaranya berhubung dengan petroleum yang dihasilkan di kawasan perairan Persekutuan.

Wang ihsan yang bakal dibayar oleh Kerajaan Pusat adalah dari telaga gas PM301 yang dianggarkan berjumlah RM20 juta dan akan disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPP).

Apakah kenyataan YB Tengku Razaleigh Hamzah (bekas Pengerusi Petronas) bahawa royalti patut dibayar kepada negeri Kelantan dari hasil petroleum yang diperolehi dari luar perairan negeri tersebut serta mempertikaikan pemberian Wang Ehsan adalah berasas?
Kenyataan ini tidak berasas. Sepatutnya, YB Tengku Razaleigh hendaklah menjelaskan hakikat sebenar seperti berikut:

i) Kerajaan Persekutuan mempunyai hak mutlak kepada ‘hasil’ petroleum dan dengan budi bicara Perdana Menteri, hasil itu diagihkan kepada Negeri-negeri yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan atau Perdana Menteri sendiri.

ii) Jika didapati ada negeri-negeri yang mempunyai keadaan atau latar belakang yang sama maka pemakaian budi bicara ini akan digunakan. Konsep budi bicara ini adalah untuk Perdana Menteri membuat penilaian sejauh mana ‘hasil’ memberi sumbangan kepada pembangunan Negara pada amnya.

Tiada apa yang sukar kerana Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bidang kuasa Kerajaan Negeri dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Apakah cadangan pindaan yang diusulkan oleh Ketua Pembangkang dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974?
Ketua Pembangkang (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) pada 30 November 2009 telah mengemukakan cadangan agar Akta Kemajuan Petroleum 1974 dipinda. Cadangan pindaan adalah seperti berikut :

Seksyen 10 Akta itu dipinda dengan memotong tanda noktah pada penghujung seksyen tersebut dan memasukkan perkataan-perkataan berikut:

dan perkataan “di luar pantai” bermaksud sebahagian kawasan di tengah laut terbuka di luar pesisir pantai yang berada di dalam had Zon Ekonomi Eksklusif bagi Persekutuan dan diukur menurut undang-undang yang diterima pakai oleh Persekutuan pada masa berkaitan.

Berdasarkan cadangan pindaannya, nyatalah Ketua Pembangkang menyedari bahawa Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Negeri-negeri lain tidak mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang dijumpai dan diperolehi di luar 3 batu nautika negeri-negeri yang berkenaan.

Bagaimanakah Wang Ehsan disalurkan?
Peruntukan wang tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan serta program pembasmian kemiskinan dalam negeri Kelantan yang dilaksanakan secara telus oleh Kerajaan Persekutuan.

Apakah jalan penyelesaian untuk merungkai kemelut ini?
Gunakan pendekatan diplomasi untuk berunding (Kenyataan Husam pada 20.10.2009 dalam New Straits Time)

Jika menemui jalan buntu, rujuk ke mahkamah seperti kes tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2001.


Dipetik dari: Penjelasan Isu oleh 1Baiklah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan