Jumaat, 16 September 2011

Implikasi buruk cabar ketetapan Islam agama bagi Persekutuan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

ISU serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya minggu lalu menimbulkan kembali perbincangan tentang adanya pihak tertentu untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan umat Islam. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kontroversi terbaru ini juga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kerana ia termasuk perkara sensitif yang boleh menjejaskan hubungan kaum di negara ini.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah “agama bagi Persekutuan”. Mentakrifkan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu sendiri tidak disebut di dalam Perkara 3. Lagi pun frasa “agama rasmi” akan menyempitkan skop pemakaian peruntukan tersebut dan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata.

Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah. Contoh, di dalam kes Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (di Mahkamah Persekutuan), Ketua Hakim Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.

Perkara 3 harus dipertahankan kerana peruntukkan inilah yang meletakkan Islam berdaulat di negara ini. Ini adalah kerana peruntukan tersebut menyentuh kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam. Sebelum ini ada kedengaran suara yang mahu peruntukan tersebut dipinda.

Justeru, dalam soal meminda peruntukan Perkara 3 ini, ia perlu mendapat pekenan daripada Raja-raja Melayu walaupun telah mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen. Saya yakin, untuk mendapat dua pertiga ahli Parlimen bukannya mudah kerana majoriti ahli parlimen Melayu-Islam tidak tergamak untuk menyokongnya kerana implikasinya sangat buruk terhadap kedudukan agama Islam di negara ini.

Walaupun Islam diberikan kedudukan sebagai agama Persekutuan tetapi peruntukan itu urut mengiktiraf hak kebebasan penganut-penganut agama lain mengamalkan agama mereka secara bebas. Sungguhpun begitu, dalam konteks penyebaran agama terdapat sekatan yang melarang agama lain disebarkan kepada penganut Islam seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 11(4).

Semua peruntukkan-peruntukkan tersebut sudah jelas dan sejak awal Perlembagaan Persekutuan dirangka semua kaum telah sepakat menerima peruntukan itu. Malangnya ada kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan agama yang menunjukkan kedegilan mereka yang seolah-olah mahu mencabar Perkara 11(4). Mereka menggunakan beberapa cara untuk menyebarkan ajaran mereka di kalangan umat Islam. Ini termasuklah melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan mereka.

Pada hemat saya perkara 11 (4) diadakan bagi memberi tanggungjawab pemerintah atau kerajaan untuk memastikan orang Islam tidak menjadi murtad setelah berada di dalam agama Islam. Murtad atau keluar dari agama Islam adalah dilarang di dalam ajaran Islam yang boleh dikenakan hukum berat ke atasnya.

Justeru, peruntukan terbabit tidak harus dilihat sebagai larangan kepada penganut agama lain menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam tetapi ia juga mesti dilihat sebagai peruntukan yang bertujuan untuk membendung gejala murtad di kalangan umat Islam di negara ini.

Oleh itu, sekiranya terdapat apa-apa maklumat yang menunjukkan adanya pihak tertentu yang berusaha atau menjalankan apa-apa aktiviti untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam maka menjadi tanggungjawab agensi atau jabatan agama untuk menyiasat dan bertindak ke atas maklumat tersebut seperti mana yang dilakukan oleh JAIS itu.

Ada dua tindakan yang boleh diambil sekira benar perkara itu berlaku. Pertama, sekiranya ada asas kukuh bahawa pihak terbabit menjalankan aktiviti yang menyalahi enakmen syariah negeri, sekali gus Perkara 11(4) maka tindakan undang-undang boleh diambil ke atasnya. Bagi umat Islam yang disyaki telah terpengaruh atau mengikut ajaran agama lain maka pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan ke atasnya mengikut peruntukkan yang ada di dalam enakmen undang-undang syariah.

Dalam konteks ini tidak ada siapa yang boleh mempertikai atau menghalang tindakan mahkamah di ambil ke atas orang Islam yang telah melanggar undang-undang syariah. Perkara 121 (A) adalah peruntukan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Jika orang bukan Islam mahu umat Islam menghormati amalan agama mereka maka mereka juga harus menghormati dan mematuhi agama Islam, khusus Perkara 3 dan Perkara 11 (4) yang terkandung di dalam perlembagaan negara itu. Mereka seharusnya berasa bersyukur kerana Malaysia adalah di antara negara yang memberikan kebebasan agama kepada orang bukan Islam. – BH 9/8/2011

Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

Jumaat, 3 Jun 2011

Fakta Mengenai DAP Yang Wajib Diketahui

1. DAP yang ditubuhkan pada 1966 sebenarnya adalah parti cawangan PAP (parti pimpinan Lee Kuan Yew di Singapura) di Malaysia. Kemasukan Singapura ke dalam Malaysia pada 1963 telah menimbulkan konflik antara kerajaan Perikatan dengan PAP kerana PAP telah memainkan sentimen perkauman dan memperkenalkan slogan "Malaysian Malaysia" (mendesak hak sama rata untuk semua kaum).

Sentimen perkauman berterusan yang dimainkan oleh PAP telah menyebabkan Singapura disingkirkan dari Malaysia pada 1965. PAP memohon untuk terus bergiat aktif di Malaysia tetapi ditolak oleh kerajaan Malaysia. Oleh itu, PAP telah menubuhkan cawangannya di Malaysia iaitu DAP untuk meneruskan perjuangannya.

2. PAP pernah meletakkan calonnya menentang parti Perikatan pada Pilihanraya Umum 1964. PAP bertanding di 9 kerusi dan telah memenangi 1 kerusi melalui calonnya C.V. Devan Nair. Penyertaan PAP ini telah mendapat bantahan keras daripada Perikatan. PAP berhasrat menggantikan MCA sebagai juara suara kaum Cina.

3. DAP dan Parti Gerakan (sebelum menyertai BN) didakwa menjadi dalang dalam mencetuskan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Kejayaan menawan Pulau Pinang dan memenangi beberapa kerusi di Selangor dan Perak pada Pilihanraya Umum 1969 telah mencetuskan rasa keterujaan yang hebat di kalangan penyokong mereka.

Penyokong mereka telah melakukan perarakan kemenangan di Kuala Lumpur dan apabila melalui kawasan Melayu mereka telah mengeluarkan kata-kata menghina kaum Melayu. Perarakan balas telah dilakukan oleh penyokong UMNO untuk meraikan kemenangan Perikatan memenangi Pilihanraya Umum 1969 itu.

Penyokong UMNO telah berkumpul di hadapan rumah MB Selangor Datuk Harun Idris di Kampung Baru. Berita rombongan penyokong UMNO dari Gombak yang sedang menuju ke rumah Datuk Harun diserang oleh pelampau Cina telah menyebabkan berlakunya tindak balas dari orang Melayu. Lalu berlakulah peristiwa berdarah paling buruk dalam sejarah negara.
 
4. DAP pernah menderhaka kepada Sultan Perak apabila mengancam untuk memulaukan majlis angkat sumpah ADUN. Ini kerana DAP tidak berpuas hati kerana wakilnya tidak dilantik sebagai MB Perak walaupun DAP memenangi kerusi terbanyak dalam PRU 2008. Jawatan MB diserahkan kepada PAS (Nizar Jamaluddin) kerana Undang Tubuh Negeri Perak menghendaki hanya orang Melayu sahaja yang boleh memegang jawatan MB.

5. DAP sekali lagi menderhaka kepada Sultan Perak apabila Pengerusinya Karpal Singh telah mengugut akan menyaman baginda kerana tidak berpuas hati dengan baginda yang tidak memperkenankan permohonan kerajaan Pakatan Rakyat untuk membubarkan DUN Perak. Ini kerana 3 DUN PR telah mengisytiharkan diri mereka sebagai Bebas yang menyokong BN. Ini menyebabkan kerajaan PR tumbang di Perak selepas 11 bulan memerintah.

6. ADUN DAP, Teresa Kok telah mengarahkan imam di sebuah masjid di Selangor agar tidak menggunakan pembesar suara semasa melaungkan azan Subuh kerana mengganggu ketenteraman awam. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA kerana perbuatannya itu mengancam keselamatan negara.

7. Kerajaan DAP P.Pinang telah merobohkan banyak gerai orang Melayu dan dalam masa terdekat beberapa kampung tradisi Melayu di kawasan pulau sedang menunggu nasib untuk dirobohkan. Alasan yang diberi adalah untuk tujuan "pembangunan". Sebenarnya mereka memiliki niat jahat untuk menghalau orang Melayu dari kawasan pulau.
 
8. Seorang ADUN DAP telah dihalau keluar dari dewan oleh Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar semasa pembukaan sidang DUN Johor pada 2008 kerana enggan mematuhi etika berpakaian (dia enggan memakai songkok - betapa rasisnya puak DAP ni).

9. DAP mendesak kerajaan supaya membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke Malaysia. Alasan yang diberikan ialah Chin Peng yang sudah tua tidak mampu lagi mengancam keselamatan negara. DAP sanggup menutup mata di atas kekejaman yang dilakukan oleh PKM semasa pemberontakan mereka dahulu.

10. DAP mengamalkan politik perkauman yang sangat bahaya. Setiap kali PRU dan pilihanraya kecil diadakan, mereka akan meniupkan api perkauman dengan modal bahawa kerajaan tidak melayan kaum Cina dengan adil dan memberi keistimewaan lebih kepada kaum bumiputera. Mereka menghasut rakyat khususnya kuam Cina untuk membenci kerajaan dan orang Melayu. Sepatutnya DAP ini DIHARAMKAN dan DIHALAU keluar dari Malaysia kerana telah memecah belahkan perpaduan kaum.