Sabtu, 29 Mei 2010

Penjelasan Isu APCO

Apakah Hubungan APCO Dengan Kerajaan Malaysia?

Tiada hubungan istimewa antara syarikat APCO dengan Kerajaan Malaysia selain kerajaan hanya memberi tender kepada sebuah syarikat untuk melaksanakan kerja yang berkaitan.

APCO yang ditubuhkan pada 1984 merupakan sebuah syarikat komunikasi global yang bebas dan mempunyai ibu pejabatnya di Washington DC. APCO juga mempunyai cawangan di banyak negara termasuklah United Kingdom dan Malaysia.

APCO menawarkan perkhidmatan dalam bidang media seperti penambahbaikan penyampaian maklumat kepada rakyat dengan menggunakan tatacara terbaru dan memberi penumpuan kepada perkara-perkara penting yang diperlukan termasuklah maklumat-maklumat mengenai pekerjaan, pelaburan asing, pelajaran dan perkhidmatan penghantaran kepada rakyat.

APCO juga mempunyai keupayaan untuk memberi khidmat dalam bidang-bidang latihan seperti peningkatan kebolehan komunikasi, menyebarluaskan maklumat-maklumat tentang kegiatan Kementerian kepada pihak media, rakyat dan stakeholders, meningkatkan keupayaan kerajaan untuk mengukuhkan komunikasi di peringkat antarabangsa khususnya dalam perkara-perkara melibatkan dasar-dasar kerajaan.

Apakah Yang Telah Dilakukan APCO Untuk Kerajaan Malaysia Dan Pemimpinnya?

APCO telah melaksanakan projek-projek yang ditawarkan kepadanya walaupun secara Ad-hoc terutamanya bidang komunikasi. Sebenarnya APCO mempunyai sejarah yang lama di rantau Asia. APCO pernah membantu negara-negara ekonomi bertaraf maju di Asia seperti Hong Kong dan Singapura.

APCO amat berkait rapat dengan pembangunan pesat ekonomi negara China dan India. Tugasan paling penting di negara-negara ini termasuk di Malaysia ialah dari segi menaikkan imej negara untuk pembangunan ekonomi agar lebih mampu menarik pelaburan luar. Ini banyak dilakukan melalui bidang komunikasi dan rangkaian global yang banyak membantu.

Sehingga kini, APCO tidak terlibat dalam menjalankan tugas-tugas berkaitan dengan YAB Perdana Menteri dan juga YAB Timbalan Perdana Menteri.

Siapakah Yang Menerajui APCO Worldwide Di Malaysia Dan Di Sektor Asia?

Paul Stedlen adalah Pengarah Urusan APCO di Malaysia . Beliau adalah bekas wartawan dan pernah mengetuai Jabatan perhubungan Media dan jurucakap bagi APCO London. Beliau pernah bertugas di BBC dan menulis untuk akhbar The Times of London dan majalah Prospect.

Di Negara Manakah Lagi APCO Worldwide Beroperasi?

APCO Worldwide menjalankan operasi di serata dunia termasuk di Asia Barat. APCO mempunyai pejabat-pejabat di bandar-bandar seperti di Bangkok, Guangzhou, Ho Chi Minh City, Jakarta, Mumbai, Shanghai, Beijing, Hanoi, Hong Kong, New Delhi, Singapura selain di Kuala Lumpur.

Adakah APCO Terlibat Dalam Pencetusan Konsep 1 Malaysia?

Apa yang dihebohkan dalam Parlimen oleh Ketua Pembangkang bahawa 1 Malaysia sama dengan 1 Israel adalah tidak benar kerana Gagasan 1 Malaysia telah dicetuskan pada September 2008 iaitu sebelum APCO dilantik pada 2009 oleh pejabat YAB Perdana Menteri.

Kenapa Ketua Pembangkang Beria-ia Menimbulkan Isu APCO Dalam Dewan Parlimen Pada Mac 2010?

DSAI yang mengepalai pembangkang memang bercita-cita besar untuk ke Putrajaya. Justeru itu beliau menggunakan pelbagai cara dan strategi untuk memenuhi cita-citanya. Beliau juga seorang yang licik dalam memanipulasikan isu.

Beliau sengaja menyamakan 1 Malaysia dengan 1 Israel kerana ingin menarik perhatian dari dalam dan luar dewan bagi melindungi keburukan yang dilakukan oleh beliau terutamanya isu liwat dan perpecahan yang berlaku di dalam parti PKR pimpinannya. Penarikan diri beberapa wakil rakyat dari PKR dengan menjadi wakil rakyat bebas turut memberi tekanan kepada beliau.

DSAI juga bimbang apabila 1Malaysia semakin diterima baik oleh rakyat Malaysia. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia bersatu padu dan sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam negara.

Apakah Perjanjian Ini Memberikan Kebaikan Kepada Negara?

Sudah pasti kedua-dua pihak telah mengkaji kebaikan atau keburukan sebelum perjanjian ditandatangani. Sehingga kini terbukti Kerajaan Malaysia meraih pulangan positif melalui penambahbaikan dalam urusan komunikasi kerajaan serta inisiatif-inisiatif yang memberi outcome positif kepada kerajaan.

Setakat ini APCO telah berjaya memberi khidmat komunikasi yang terbaik kepada kerajaan Malaysia termasuklah dalam bidang media dan berkomunikasi secara on-line, peranan sokongan dalam tiap-tiap Kementerian, pemindahan kemahiran dalam bidang komunikasi untuk pegawai-pegawai kementerian. APCO telah menggunakan pakar-pakar komunikasi yang terhebat yang mempunyai hubungan baik dengan negara-negara maju.

APCO juga telah berjaya mengadakan 28 sesi latihan dalam bidang-bidang komunikasi kepada 140 penjawat awam dari 14 kementerian. Latihan-latihan ini telah dikendalikan oleh pakar-pakar luar yang berpengalaman.

Walau bagaimanapun segala latihan yang diberikan oleh APCO adalah terbatas serta sentiasa dipantau oleh jabatan-jabatan yang terlibat supaya tujuan asal latihan itu dapat direalisasikan peraturan yang telah ditetapkan tanpa penyelewengan.

Adakah Mengambil Khidmat APCO Bertentangan Dengan Kehendak Agama?

Jika dilihat daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh APCO kepada Kerajaan Malaysia, tidaklah menjadi kesalahan dari segi agama dan begitu juga undang-undang negara. Apatah lagi ia tidak memudharatkan rakyat malah meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang sedia ada.

Sabda Nabi SAW “Ilmu itu adalah harta mukmin yang hilang, maka perolehilah di mana jua kamu jumpa” Nabi SAW turut bersabda “ Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China “.

Apakah Perbezaan Di antara Yahudi dan Zionis?

Yahudi merupakan satu kaum (bangsa) dari keturunan Nabi Allah Yaakob a.s. yang merupakan pertalian kepada Nabi Allah Ibrahim yang mengamalkan agama yang samawi.

Zionis pula adalah dari perkataan Zion, nama sebuah bukit di Palestin, sepihak Yahudi dari bukit Zion dinamakan Zionis, dan telah memulakan gerak politik bangsa Yahudi untuk mendiami tanah Palestin dengan segala cara seperti Terror, perang, pembersihan etnik, penyebaran penyakit, membuka penempatan kerja di negara tetangga dan sebagainya.

Justeru kerajaan Malaysia sehingga hari ini tidak mengiktiraf dasar Zionis yang diamalkan oleh negara Israel.

Dipetik dari: Penjelasan Isu oleh 1Baiklah

HAKIKAT SEBENAR INKUES KEMATIAN TEOH BENG HOCK

Siapakah Teoh Beng Hock, dan kepentingannya kepada siasatan SPRM?

Teoh Beng Hock merupakan Setiausaha Politik YB Ean Yong Wah, seorang ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang disiasat oleh SPRM atas dakwaan salah guna kuasa.

Justeru maklumat dan kerjasama yang diberi kan oleh Teoh Penting untuk menentukan hala tuju siasatan tersebut, terutama berkaitan desas desus seorang ahli-ahli Exco Kerajaan Selangor terlibat dan menggunakan pejabatnya bagi tujuan perniagaan bersama ahli kongsi gelap.

Apakah impak kematian Teoh Beng Hock ke atas siasatan tersebut?

Teoh Beng Hock yang didakwa tidak berpuas hati dengan cara Ronnie Liu, dan Ean Yong Hian menjalankan tugas Exco mereka, ditemui mati di Plaza Masalam pada 19 Julai 2009.

Kematiannya merupakan satu kejutan kepada pihak SPRM, terutama apabila mendiang memainkan peranan penting dan merupakan saksi utama bagi membantu SPRM mendakwa dan membuat laporan jenayah berkenaan dakwaan salah guna kuasa, dan kegiatan haram Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Kenapa Kerajaan menubuhkan Inkues?

Selain mengenal pasti punca kematian Teoh, Inkues ditubuhkan di bawah peruntukan Seksyen 2 Commissions of Enquiry Act diharap membantu membela kematian mendiang dan memastikan penglibatannya dalam membantu SPRM menumpaskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa tidak disia-siakan.

Selain itu, sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Teoh pernah diugut ahli kongsi gelap kerana mendedahkan video klip depan Parlimen yang menjejaskan reputasi DAP dan ditukar oleh kepimpinan parti tersebut ke SUK dan Pejabat Adun Sri Kembangan supaya Ronnie dan Ean Yong Hian Wah senang untuk memantau pergerakannya.

Kenapa wujud spekulasi kematian untuk menggagalkan inkues?

Pihak pembangkang yang mungkin terlibat dengan dakwaan tersebut cuba melakukan sabotaj terhadap inkues bagi tujuan memfitnah SPRM, kerana terdesak untuk mengaburi mata rakyat tentang hakikat sebenar siasatan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan SPRM ke atas mereka yang boleh menjatuhkan reputasi pembangkang.

Apakah konklusi laporan pakar-pakar bedah siasat dan pakar forensik terhadap kejadian tersebut?

Mayat Teoh Beng Hock telah disiasat sebanyak 2 kali bagi memastikan secara tepat punca kematian. Mengikut laporan pertama Dr Khairul Azman dan Dr Prashant Naresh, kematian Teoh berpunca daripada impak jatuh dari tempat yang tinggi, dan menolak bahawa terdapat sebarang kecederaan berpunca daripada serangan fizikal semasa mendiang berada di bawah pengawasan SPRM seperti yang didakwa pembangkang.

Laporan kedua juga menolak dakwaan Dr Pornthip Rojanasunand bahawa Teoh telah dicekik sehingga mati, di mana Dr Shahidan Md Nor Pakar bedah siasat Hospital Sungai Buluh tidak langsung menjumpai sebarang tanda Asphyxia atau sebarang tanda kesesakan nafas pada mayat mendiang.

Secara tepat tiada laporan bedah siasat yang menunjukkan bahawa Teoh mengalami sebarang kecederaan semasa membantu pihak SPRM.

Kedua, tidak logik dan tiada asas untuk mendakwa SPRM mendera Teoh, terutama apabila mendiang merupakan saksi penting yang bekerjasama dengan mereka.

Selain itu juga ugutan yang diterima Dr Peter Venezis, dilihat merupakan cubaan pihak tertentu untuk menghalang cubaan Inkues untuk mendedahkan maklumat lanjutan bagi membantu SPRM melakukan siasatan ke atas salah guna kuasa Exco Kerajaan Selangor.

Justeru andai Teoh tidak membunuh diri pihak manakah yang mendapat keuntungan keatas kematian mediang ?

Secara logik tanpa Teoh Beng Hock SPRM tidak mempunyai bukti dan kemampuan untuk mendakwa Exco Selangor yang dipercayai terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa, justeru kematian tersebut telah menguntungkan pihak pembangkang dan merugikan SPRM.

Kematian Teoh juga menunjukkan pihak tertentu risau dan terdesak bagi menghalang SPRM melakukan siasatan yang boleh membawa kepada pembongkaran jenayah yang serius yang didalangi pihak mereka.

Kronologi desas-desus penglibatan Exco-exco Selangor dalam perniagaan kongsi gelap?

Exco Kerajaan Selangor Ronnie Liu sebelum ini pernah ditahan pihak polis kerana cuba menghalang pihak berkuasa melakukan serbuan di sebuah rumah pelacuran di Puchong Jaya dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan terlibat dengan kegiatan tersebut.

MP PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong juga mendakwa salah seorang ahli Exco Kerajaan Selangor menggunakan pejabatnya untuk tujuan perniagaan ahli-ahli kongsi gelap.

Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau Mendakwa terdapat pengaruh kongsi gelap menceroboh dalam parti DAP Johor.

Kenyataan Dr. Peter Vanezis di Mahkamah Koroner

Pakar Perubatan Forensik dari United Kingdom, Dr. Peter Vanezis menyangkal pendapat Dr. Pornthip Rojanasunand, pakar patologi dari Thailand bahawa wujudnya kesan lebam akibat dicekik pada leher Teoh Beng Hock.

Beliau bersetuju dengan pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md. Nor bahawa kesan lebam yang ditemui pada leher Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor itu adalah kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Beliau sebagai pemerhati mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan demikian semasa memberi keterangan dalam prosiding inkues siasatan kematian lelaki itu di Mahkamah Koroner pada 26 April 2010.

Beliau turut mempertikaikan pandangan Pornthip bahawa kecederaan pada dubur mangsa mungkin akibat ditusuk dengan suatu objek secara paksa sebelum kematian mangsa.

Berdasarkan pengalaman selama 35 tahun melakukan bedah siasat, Vanezis berpendapat semua kecederaan pada badan Beng Hock berpunca daripada jatuh dari tempat tinggi yang sekaligus menyebabkan kematian mangsa.

Beliau juga mengesahkan Beng Hock berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dari tingkat 14 berdasarkan kecederaan pada beberapa bahagian bawah badan, dada, leher dan kepala selain tangan kirinya yang patah.

Kesemua komen dan pandangan itu terkandung dalam laporan hasil bedah siasat kedua setebal 14 muka surat bertarikh 16 Disember 2009 yang dikemukakan Vanezis kepada mahkamah.

Dipetik dari: Penjelasan Isu oleh 1Baiklah

Khamis, 13 Mei 2010

Sambutan Ulang Tahun Ke-64 UMNO

   Tanggal 11hb. Mei merupakan tarikh penting kepada negara ini terutamanya bagi orang Melayu. Pada tarikh tersebut dalam tahun 1946 semasa Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama PEKEMBAR di Istana Besar, Johor Bahru parti keramat orang Melayu, UMNO secara rasminya ditubuhkan.

Hasil kesungguhan perjuangan dan pengorbanan UMNO maka negara ini telah mencapai kemerdekaan dan bangsa Melayu semakin digeruni oleh kawan mahupun lawan. Parti UMNO yang menjadi pengasas dan tulang belakang kepada Kerajaan BN telah membawa kemajuan serta kemakmuran pada rakyat dan negara ini.

Bagi meraikan tarikh ini, Pemuda UMNO cawangan telah mengambil inisiatif memasang bendera parti di sepanjang laluan utama kampung Sg. Burung. Kerja-kerja pemasangan bendera telah dilakukan pada malam Isnin lalu.

Semoga UMNO akan terus bersama bangsa Melayu bukan hanya pada masa dulu dan kini tetapi untuk selamamanya.
  

Khamis, 25 Mac 2010

PR Pulau Pinang Menipu Penduduk Balik Pulau

   Baru-baru ini dalam ceramah Penjelasan Isu-isu Semasa anjuran Pas kawasan Balik Pulau seorang penceramah dari pakatan pembangkang (PR) menghentam bekas-bekas Exco Melayu kerajaan negeri yang dituduh terlalu tamakan wang dengan meluluskan projek-projek pembinaan rumah mewah ke kawasan Balik Pulau. Dakwa penceramah itu lagi, mana ada orang Melayu yang berkemampuan membeli rumah yang harganya mencapai ratusan ribu ringgit.

Tambah beliau lagi, projek-projek yang sedang rancak dilaksanakan sekarang merupakan hasil dari kesilapan pentadbiran kerajaan BN selama 50 tahun di Pulau Pinang. Beliau sebaliknya mempertahankan kerajaan DAP sekarang dengan alasan PR hanya baru 2 tahun mentadbir negeri maka mereka tidak berkuasa untuk membatalkan pelan yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri yang lalu.

Kenyataan penceramah tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dari responden yang ditemui di majlis tersebut.

Beberapa penduduk mendakwa masih ada persoalan yang tidak didedahkan atau diperjelaskan kepada orang-ramai. Menurut mereka, projek-projek rumah mewah sekarang dibina oleh pemaju swasta yang pemiliknya adalah usahawan berbangsa bukan Melayu. Malahan bagi setiap permohonan untuk projek rumah mewah kerajaan negeri yang lalu telah mengenakan beberapa syarat sebelum mendapat kelulusan.

"Sungguhpun kami hanya pekerja biasa tetapi semua penduduk tahu bahawa jika ada projek untuk rumah mewah maka pemaju disyaratkan membina dahulu rumah kos murah dan sederhana untuk golongan berpendapatan rendah.
Tetapi sekarang apabila kami menemui pemaju untuk bertanya tentang rumah kos sederhana sebaliknya jawapan yang diterima sungguh tidak adil dan mengejutkan," cerita seorang penduduk.

Menurut beliau, pemaju memaklumkan bahawa syarat tersebut telah digugurkan oleh kerajaan negeri sekarang. Pihak pemaju mendakwa mereka tidak lagi terikat dengan syarat supaya membina rumah kos sederhana yang tidak menguntungkan pemaju.

"Inikah yang didakwa sebagai pentadbiran yang adil untuk rakyat terutamanya kepada orang Melayu?. Malahan saya juga dimaklumkan bahawa kerajaan PR telah menetapkan pelbagai syarat yang ketat kepada Perda jika ingin membina rumah kos sederhana." tambah beliau.

Pendedahan ini telah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu PR berterusan menipu penduduk Balik Pulau dengan pelbagai lakonan dan hanya nampak pada kesalahan kerajaan BN sahaja.Samada mereka tidak sedar atau mereka sendiri terlibat bersama dalam gerakan halus untuk memecahkan monopoli kuasa undi penduduk Melayu di daerah ini. Para penduduk turut mendakwa, kesan dari kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan PR menyebabkan semakin ramai penduduk Melayu yang terpaksa berhijrah ke negeri lain yang masih menawarkan rumah berkos sederhana.  

Malahan terdapat aduan dari beberapa pemilik tanah yang mendakwa mereka telah didatangi oleh beberapa individu dari parti politik PR yang mendakwa mewakili pemaju membuat tawaran untuk membeli tanah mereka pada harga yang tinggi. Penduduk telah ditawarkan dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit sebagai dorongan supaya menjual tanah pusaka untuk dimajukan.