Ahad, 25 Oktober 2009

Majlis Perasmian Padang Permainan Kuala Sg Burung

Kuala Sg Burung atau lebih dikenali sebagai Pantai Malindo merupakan tempat tumpuan penduduk kampung dan pengunjung luar untuk membeli hasil tangkapan laut atau bertemu rakan-rakan. Hasil usaha selama beberapa tahun oleh YB Dato Seri Dr Hj Hilmi dan YB Sr Mohd Farid, Pantai Malindo telah berubah dari kawasan berhutan kepada tempat kunjungan yang lengkap dengan segala kemudahan untuk orang ramai dan para nelayan. Kemudahan yang disediakan telah mendorong orang ramai berkunjung ke Pantai Malindo untuk menjamu selera, membeli ikan atau sekadar berehat-rehat bersama ahli keluarga.

Menyedari Pantai Malindo semakin menjadi tumpuan orang ramai, Pemuda Umno cawangan telah mengusulkan kepada YB Adun Pulau Betong agar disediakan sebuah padang permainan untuk kanak-kanak. Cadangan ini telah mendapat perhatian YB Sr Mohd Farid lalu mengusahakan satu peruntukan khas dari Pejabat ICU Pulau Pinang. Hasil usaha Pemuda Umno Sg Burung dan kerja keras YB Sr Mohd Farid sebuah padang permainan telah siap dibina di dalam kawasan berpagar. Pada 25/10/2009 lalu satu majlis perasmian telah dilakukan oleh Datin Jamilah Mohd Zain, isteri kepada Adun Tlk Bahang.

Keprihatinan Pemuda Umno Sg. Burung terhadap keperluan penduduk kampung Sg. Burung sememangnya wajar dicontohi oleh setiap individu, NGO atau parti politik lain yang begitu lantang mendabik dada kononnya sangat peka dengan tuntutan rakyat. Komitmen ahli Pemuda Umno kepada prinsip 'lebih bekerja dari bayak bercakap' telah merealisasikan kewujudan tempat untuk orang ramai beriadah bersama ahli keluarga. Padang permainan yang berpagar dan lengkap dengan meja serta bangku lebih memudahkan para ibubapa untuk memantau aktiviti anak-anak mereka.


Sukaneka Pemuda Umno Sg Burung

Satu program yang ringkas tetapi menceriakan telah dianjurkan oleh Biro Sukan dan Rekreasi Pemuda Umno Sg Burung bersempena majlis perasmian padang permainan kanak-kanak di Kuala Sg Burung baru-baru ini.

Program sukaneka khusus untuk kanak-kanak yang berumur 9 tahun ke bawah telah berjaya dianjurkan oleh jawatankuasa kecil Biro Sukan & Rekreasi dibawah seliaan Sdr Razali Amin Nordin.

Program yang dirasmikan oleh Datin Jamilah turut dihadiri oleh YB Dato' Seri Hj Hilmi, YB Moh Farid dan beberapa pegawai kanan dari Pejabat ICU Pulau Pinang. Turut sama diraikan ialah para pelajar dari Tabika Kemas
Sg Burung.

Selain dari beberapa acara pertandingan untuk kanak-kanak, para ibubapa turut berpeluang menyertai pertandingan kerusi berirama dan cabutan bertuah.

Ketua Pemuda Umno cawangan, Sdr Roslan Sahib mengucapkan taniah kepada Biro Sukan kerana bekerja keras menjaya program ini dan berterima kasih kepada wakil rakyat serta Pejabat ICU P Pinang di atas segala bantuan yang disalurkan.

Aksi lucu peserta kanak-kanak lelaki yang menggunakan
strategi menutup mata agar belon lebih cepat ditiup.

YB Mohd Farid turut sama menceriakan pertandingan
meniup belon kategori kanak-kanak perempuan

Kegembiraan yang jelas terbayang di wajah kanak-
kanak ketika menyertai acara mengutip gula-gula.

YB Dato' Seri Hilmi turut sama melapangkan masa
meraikan kanak-kanak.

"Taniah dan bagus Pemuda,.." ucap YB Mohd Farid.
Add Image
Pegawai Kanan ICU menyampaikan hadiah kepada
pemenang pertandingan mewarna.














Jumaat, 23 Oktober 2009

Info Pengundi

Dewan Undangan Negeri Pulau Betong (N.39) terdiri dari 7 daerah mengundi (DM) dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 12,500 orang (2007). DM Sg Kongsi, Ginting dan Pulau Betong mempunyai 4 saluran mengundi manakala DM Pondok Upeh, Balik Pulau, Titi Teras, dan Sg Burung masing-masing mempunyai 3 saluran.

Berdasarkan daftar pemilih tahun 2007 yang diwartakan pada Februari 2008 jumlah pengundi warga emas yang berumur 60 tahun ke atas adalah seramai 2640 pengundi. Bagi kategori pengundi yang berumur 41 - 59 tahun, seramai 201 merupakan pengundi pos daripada jumlah 5080 orang pengundi. Pengundi muda yang mengundi di saluran 3 dan 4 merupakan kumpulan pengundi kedua teramai iaitu sebanyak 4651 orang dan 129 orang merupakan pengundi pos.
Mengikut pecahan kaum, seramai 7454 orang merupakan pengundi Melayu dengan pengundi wanita seramai 3860 orang. Manakala pengundi dari kaum Cina adalah seramai 2319 pengundi lelaki dan 2289 pengundi wanita. Manakala bagi kaum India jumlah pengundi wanita adalah seramai 202 orang daripada jumlah keseluruhan 397 orang pengundi. Terdapat 41 orang pengundi dari kaum lain dengan lelaki seramai 26 orang dan wanita seramai 15 orang.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Takziah Kepada Keluarga Mangsa Bencana

Ahli dan Jawatankuasa Pemuda Umno Sg. Burung mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga dan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera. Sehingga ke hari ini, angka korban dilaporkan telah mencecah lebih 770 orang dan dijangka akan terus meningkat. Pihak berkuasa tempatan mempercayai ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Gempa bumi dengan kekuatan 7.6 skala Richter telah melanda Padang pada 30/09/2009, jam 05.15 ptg (06.15 ptg waktu Malaysia) dan berpusat 60 km ke barat daya Padang. Gegaran yang kuat itu telah meranapkan hampir 90% rumah dan premis perniagaan. Kerajaan Indonesia mengalu-alukan sebarang bantuan dari negara jiran namun memaklumkan segala usaha mengendalikan operasi menyelamat dibawah kuasa Indonesia.

Seramai 330 pelajar Malaysia yang berada di Padang dilaporkan selamat sungguhpun beberapa orang pelajar tercedera. Kerajaan Malaysia telah menghantar tiga pesawat tentera ke Padang untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi itu.

Akhbar-akhbar tempatan dan beberapa syarikat swasta telah melancarkan tabung bencana bagi membantu mangsa. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menderma kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank atau Tabung Bencana NSTP-Madia Prima.

Keduataan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan masih belum menerima laporan berhubung kecerderaan atau kematian rakyat Malaysia namun ahli keluarga boleh
menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bilik Operasi Kementerian Luar, Putrajaya : 03-8889 2746/03-8887 4570
Bilik Operasi Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta : 6221-522 4947/6221-522 4971

Ahli-ahli Pemuda Umno digalakkan menderma kepada tabung-tabung bencana yang dilancarkan sebagai tanda prihatin kita kepada penduduk Padang yang sedang diuji oleh Allah swt.

Sesungguhnya kita di negara ini tidak harus lupa bahawa ujian dari Allah swt berlaku bila-bila masa dikehendakiNya dan kepada sesiapa sahaja. Kita diwajibkan terus berpegang kepada tuntutan Islam dan meninggalkan segala yang diharamkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran di bumi Allah ini. Bermula dengan menegur diri sendiri kemudiannya ahli keluarga, rakan-rakan dan diikuti dengan jiran sekampung. Usaha ini merupakan ibadat yang dituntut dan kita melakukannya demi kepentingan sesama Islam.