Selasa, 25 Oktober 2011

Gagasan 1Malaysia dan Islam

Konsep 1Malaysia sebagaimana yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara asasnya bermatlamatkan mewujudkan Negara Bangsa dan perpaduan Negara berasaskan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’, disamping kerajaan memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi kepada kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan warna kulit.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh YAB Perdana Menteri yang mendefinisikan konsep 1Malaysia sebagai “kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One people. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”.

Penyatuan seluruh rakyat yang berbilang agama dan kaum di bawah bumbung satu negara, sebenarnya bukan sesuatu yang asing dalam tradisi Islam kerana sejak dahulu lagi usaha ini telah dilakukan dengan jayanya oleh Rasulullah s.a.w di Madinah. Melalui Sahifah Madinah yang menjadi perlembagaan negara Madinah, rakyat beragama Islam dan bukan Islam disatukan menjadi satu masyarakat yang kesemuanya diiktiraf sebagai rakyat Madinah yang berdaulat.

Selain penyatuan rakyat pelbagai kaum di bawah satu naungan dilakukan sendiri oleh Rasulullah s.a.w, tindakan ini disamping itu selaras dengan kaedah yang diterima pakai dalam Fiqh Islam iaitu kedudukan sesuatu wasilah itu bergantung kepada matlamat yang dituju.

Justeru, penyatuan seluruh rakyat merupakan wasilah kepada keamanan dan kemakmuran Negara yang juga merupakan tuntutan Islam, maka dengan sendirinya wasilah kepada kemakmuran dan keamanan Negara ini iaitu penyatuan rakyat pelbagai kaum juga sebahagaian daripada tuntutan Islam.

Penyatuan rakyat pelbagai kaum bermaksud mengikat mereka dengan matlamat bersama dan saling bekerjasama demi kepentingan rakyat secara keseluruhan di atas nama rakyat Malaysia. Penyatuan dalam erti kata ini tidak akan meleburkan identiti keagamaan dan kebangsaan sesuatu kaum, kerana disamping semua rakyat diikat dengan matlamat dan kepentingan bersama tanpa meleburkan identiti semua kaum, usaha penyatuan ini juga bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan kebebasan beragama dan kebebasan mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing.

Meletakkan semua rakyat berbilang kaum dan agama pada satu kedudukan iaitu rakyat Malaysia, adalah sejajar dengan ciri-ciri insaniyyah (kemanusiaan) Islam yang antara lain, seperti yang dinyatakan oleh Qaradhawi dalam bukunya, al-Thaqafah al-’Arabiyyah al-Islamiyyah, bermaksud Islam menghormati manusia, memelihara kemuliaan dan hak-hak manusia.

Manusia secara jelasnya dimuliakan oleh Allah seperti yang ditegaskan oleh firman Allah yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam”. Menurut keterangan Qaradhawi, manusia dimuliakan di atas dasar mereka adalah manusia, tanpa melihat kepada keturunan, warna kulit, bahasa, tanahair, kedudukan dan agama. Prinsip kemuliaan manusia yang dipasakkan oleh ajaran Islam ini telah diterjemahkan sendiri oleh Nabi Muhamamd s.a.w yang telah bangun menghormati jenazah Yahudi yang diusung di hadapan Baginda s.a.w.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a beliau menceritakan, “ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w, lantas baginda s.a.w bangun dan berdiri [sebagai menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda, ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah jenazah seorang yahudi!”. Baginda menjawab, ”bukankah ia jiwa [yang bernyawa]?”(hadis riwayat Bukhari).

Bertitik tolak daripada prinsip kemuliaan manusia yang menjadi pegangan Islam, rakyat bukan Islam yang bernaung dalam negara Islam dijamin hak dan kebajikan mereka. Nabi s.a.w bersabda :

كُلُكُمْ رَاعٍ وُكُلُكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَتِهْ

Terjemahan : Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu dipertanggungjawabkan ke atas orang yang dipimpin.

Kebertanggungjawaban terhadap rakyat bukan Islam ini diterjemahkan dalam bentuk yang begitu jelas oleh para sahabat dan pemerintah Islam seterusnya seperti perjanjian yang ditulis oleh Khalid al-Walid r.a dengan penduduk Hirah di Iraq yang beragama Krisitan.

Perjanjian ini menyatakan “mana-mana orang tua yang tidak mampu bekerja, ditimpa apa jua penyakit atau jatuh miskin sehingga rakan seagamanya memberi sedekah kepadanya, aku gugurkan bayaran jizyah [daripada] nya dan akan ditanggung sara hidupnya serta tanggungannya daripada Baitul Mal orang Islam” .

Menurut Syaikh Qaradhawi dalam bukunya, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, perjanjian ini dilakukan oleh Khalid al-Walid r.a pada zaman Syaidina Abu Bakar r.a di hadapan sebilangan besar para sahabat tanpa ada di kalangan mereka yang membantah yang membawa pengertian bahawa ia merupakan satu tindakan yang diterima sebulat suara oleh para sahabat yang dinamakan sebagai ijma’.

Imam Abu Yusuf dalam kitab al-Kharaj merakamkan tindakan serupa dilakukan oleh Syaidina Umar r.a yang membawa seorang tua Yahudi yang meminta sedekah ke Baitul Mal dan memerintahkan diperuntukkan kepadanya dan orang yang sepertinya wang Baitul Mal yang mencukupi dan mampu mengubah keadaannya .

Berasaskan keterangan dan amalan Nabi s.a.w dan para sahabat berhubung layanan terhadap rakyat bukan Islam, para ulama telah merumuskan satu kaedah yang menerasi sebarang tindakan pemimpin Islam berkaitan rakyat bukan Islam, iaitu :
 
لَهُمْ مَا لَنَا وَعَلَيْهِمْ مَا عَلَيْنَا.

Terjemahan : Bagi mereka [warganegara bukan Islam] apa yang kita [warganegara Islam] miliki dan di atas [bahu] mereka apa yang di atas [bahu] kita

Prinsip ini bermaksud, dalam Negara Islam, rakyat bukan Islam memiliki hak sebagaimana hak yang dimiliki oleh rakyat beragama Islam dan mereka dibebankan dengan tangggungjawab sama seperti tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu rakyat bukan Islam.

Huraian di atas membawa kepada satu rumusan yang jelas iaitu usaha kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib membela semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama melalui gagasan 1Malaysia, bukan sahaja selaras dengan prinsip kemuliaan manusia yang ditegaskan oleh al-Quran dan prinsip layanan Negara Islam terhadap bukan Islam, tetapi juga dituntut oleh Islam.

Oleh : Shamsul Muda

Dua akta ganti ISA imbangi 3 kepentingan

Datuk Seri Najib Razak berkata, dua akta baru menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat akan menyeimbangi antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan keperluan menjaga keamanan awam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya melalui pengenalan dua akta baru itu, Malaysia akan berada di antara negara yang mengamalkan demokrasi dan dihormati negara lain.

“Jentera kerajaan memang berdiri teguh dan menyokong tindakan kerajaan untuk membatalkan ISA dan digantikan dengan dua akta baru,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) di Dewan Rakyat, semalam.

Alexander Nanta mahukan penjelasan mengenai strategi yang diambil kerajaan untuk menyatupadukan rakyat negara ini yang dilanda pelbagai isu berkaitan agama, bangsa dan jurang ekonomi antara rakyat.

Pada sidang sama, Perdana Menteri turut mengemukakan Rang Undang-Undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 dan Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 untuk bacaan kali pertama.

Sementara itu, Najib membidas pembangkang yang cuba untuk mengambil kesempatan dengan mendakwa keputusan kerajaan memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat adalah berikutan tuntutan mereka.

“Saya harap pembangkang jangan cuba ambil nama daripada langkah ini... lembu punya susu tapi jangan sapi yang ambil nama.

“Saya sudah sebut perkara ini sejak April 2009 lagi... ini bukan atas desakan pembangkang, tapi kehendak kerajaan Barisan Nasional.

“Jadualnya kita akan beritahu (kemudian) sebab ada beberapa perkara yang perlu dilakukan, termasuk menggubal (akta) yang baru dan proses konsultasi dengan beberapa pihak,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), yang mencadangkan Perdana Menteri supaya menggunakan akta pemansuhan darurat yang disediakan pembangkang.

Menjawab soalan asal Nanta mengenai strategi kerajaan untuk menyatupadukan rakyat, Najib berkata, gagasan 1Malaysia adalah landasan penting dan tonggak utama untuk mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat.

“Bagi memupuk perpaduan, program menggalakkan integrasi sudah dan akan terus dilaksana seperti sukan, belia, khidmat negara dan di universiti, kursus hubungan etnik diwajibkan untuk semua penuntut.

“Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama (JMKPA) juga ditubuhkan sejak awal 2010 untuk berunding semua isu antara agama melalui mekanisme perundingan, dialog,” katanya.

-Berita Harian

Beza 1Malaysia dan One Israel

Benarkah 1Malaysia sama dengan One Israel? Rencana ini cuba mengupas perbezaan kedua-dua gagasan terbabit dengan memberikan penekanan kepada aspek konsep bangsa. Konsep One Israel diperkenalkan oleh Ehud Barak, Perdana Menteri Israel pada awal tahun 1990-an. Ia bertujuan memperkukuh kedudukan kaum Yahudi di bumi Palestin. Justeru, One Israel berkaitan dengan kesinambungan perjuangan Zionis yang terus menerus berusaha memperkukuh kedudukan mereka di bumi Palestin.

One Israel adalah gagasan yang bersifat rasis, egoistik, cauvinistik dan partikularistik. Ia mengamalkan dasar diskriminasi terhadap bangsa Arab Palestin. Gagasan tersebut dicipta khusus untuk bangsa Yahudi. Melaluinya, rejim Zionis Israel melaksanakan dasar pentadbiran yang mengutamakan kaum Yahudi di negara haram Israel itu.

Oleh itu, segala bentuk dasar pembangunan sosioekonomi adalah untuk kepentingan kaum Yahudi semata-mata, manakala rakyat Palestin terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka.

Pada hemat saya, tidak salah kita mengatakan bahawa One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme utama bangsa Yahudi yang menganggap kaum mereka sebagai 'Bangsa Pilihan Tuhan' (The Chosen People of God). Kaum Yahudi telah menjadikan faktor 'darah keturunan' sebagai faktor penentu Tuhan memilih mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Pilihan ini berasaskan kepada kasih sayang Tuhan 'Yahweh' kepada mereka.

Menurut mereka, keistimewaan ini tidak dikurniakan kepada bangsa-bangsa lain seperti gambaran yang diberi di dalam 'Perjanjian Lama' (Old Testament) yang menyebut:

"Engkau...wahai Israel adalah bangsa yang dikuduskan oleh Tuhanmu. Engkau telah dipilih oleh Tuhanmu agar engkau menjadi satu bangsa yang paling istimewa dan unik di sisi Tuhan engkau dari seluruh bangsa-bangsa lain yang menyebabkan Tuhan cinta kepada kamu dan memilih kamu tetapi pemilihan kamu adalah kerana kasih sayang Tuhan kepada kamu dan jagaan-Nya terhadap sumpah yang dibuat-Nya dengan bapa-bapa kamu, iaitu Tuhan telah membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan menebus kamu daripada perhambaan Fir'aun Raja Mesir ( Deuteronomy V11:6-8).

Sebelum wujudnya apa yang dinamakan pergerakan Zionis secara rasmi, telah lahir pelbagai pergerakan Yahudi yang berjuang untuk kembali dan menjadikan bumi Palestin sebagai negara mereka. Di antara pergerakan awal itu adalah pergerakan Maccabean, pergerakan Barkohhba (117-136M), pergerakan Maosisi al-Kariti, pergerakan Dapd Robin (1501-1532M), pergerakan Mansyah bin Israel (1604-1657M) dan pergerakan Syabtai Lapei (1626-1676M).

Akhirnya, pergerakan Zionis yang dipelopori oleh Theodor Herzl telah berjaya membawa impian mereka untuk kembali menguasai bumi Palestin. Sejak menguasai Palestin pada tahun 1948, pemimpin Yahudi yang silih berganti itu menjalankan dasar 'penghapusan kaum' terhadap bangsa Arab Palestin sehinggalah ke hari ini.

Dasar-dasar yang dilaksanakan di negara haram Israel itu semuanya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan bangsa Yahudi. Dasar ini jugalah yang termuat di dalam gagasan One Israel. Jelas bahawa gagasan rasis Zions itu jauh berbeza konsepnya berbanding dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertujuan menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Gagasan 1Malaysia tidak memiliki elemen rasisme atau ideologi perkauman sempit seperti mana yang dipamerkan oleh One Israel. Slogan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah bukti nyata gagasan ini tidak bersifat rasis. Seperti yang pernah dihuraikan oleh Najib di dalam Dewan Rakyat bahawa 1Malaysia itu membawa maksud perpaduan dan kesepakatan, "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman, manakala "Pencapaian Diutamakan" membawa maksud kerajinan dan penghasilan.

Yang jelas kepada kita ialah, 1Malaysia menekankan konsep 'rakyat', bukannya konsep kaum atau bangsa-bangsa tertentu. 'Rakyat' bermaksud 'warganegara' yang mana kerakyatannya sah di sisi undang-undang negara. Justeru, apa juga dasar pembangunan sosioekonomi di bawah gagasan 1Malaysia adalah untuk disertai dan nikmati oleh seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum supaya matlamat untuk mencapai perpaduan kebangsaan menjadi kenyataan.

Bukannya mudah untuk memuaskan hati semua kaum kerana apabila sesuatu dasar itu disalah tanggap atau dipolitikkan, maka akan berlaku tuntutan-tuntutan ekstrem daripada kaum-kaum tertentu yang boleh menjejaskan hubungan dan keharmonian kaum di negara ini. Justeru, pernah di dalam satu majlis bersama media, Najib berkata kepada para wartawan: "Saya membawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ini bukan satu status, bukan soal kuasa tetapi soal tanggungjawab dan harapan yang diberi oleh rakyat amat besar".

Kesimpulannya, gagasan 1Malaysia jauh berbeza dengan gagasan One Israel. Perbezaannya 'umpama langit dengan bumi'. One Israel adalah gagasan yang mendukung dogmatisme bangsa Yahudi yang mempercayai bangsa mereka sebagai 'Bangsa Pilihan'. Ia adalah gagasan yang mengamalkan fahaman kuno yang mendukung konsep 'super race'.

Sebaliknya, gagasan 1Malaysia mendukung konsep 'rakyat' (warganegara). Ini bermakna 1Malaysia memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Tegasnya, 1Malaysia adalah gagasan yang mendukung konsep kesatuan rakyat. Kita meraikan 'kepelbagaian' (kemajmukan kaum) dan mengamalkan kesederhanaan (wasatiyyah).

Menurut Dr. Hassan Ahmad (2010), kesatuan rakyat yang diasaskan kepada kesatuan sosiopolitik-legalistik adalah landasan penting untuk mencapai perpaduan kebangsaan. Negara akan hancur seandainya setiap kaum cuba membentuk 'perkampungan' sendiri, sistem sosial, sistem ekonomi, sistem pendidikan dan sistem politik sendiri yang terpisah daripada dasar, institusi, dan sistem kebangsaan negara.

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Keratan Akhbar