Jumaat, 16 September 2011

PERUTUSAN HARI MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.

Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.

Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.

Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.

Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.

Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.

Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.

Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.

Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.

Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.

Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih

Antara revolusi dan Islah mana lebih utama?

Revolusi dalam istilah Arab disebut ‘tsaurah’. Kamus Dewan (edisi keempat, 2007) mendefinisikan ‘revolusi’ sebagai perubahan sesebuah kerajaan, sistem politik atau sistem sosial yang dilakukan secara radikal dan kekerasan. Revolusi juga bermaksud perubahan yang menyeluruh dan mendadak, terutama dari segi cara berfikir dan bertindak.

Satu lagi istilah yang banyak diguna pakai dalam mendefinisikan perubahan ialah ‘islah’ (pembaharuan). Menurut cendekiawan Mesir, Dr. Muhammad Imarah, kedua-dua istilah tersebut ada persamaan dan perbezaan. Persamaannya ialah kedua-duanya mahukan perubahan secara menyeluruh, mendasar serta mendalam. Yang membezakannya adalah dari segi kaedah atau uslub (pendekatan) untuk melakukan perubahan itu.

Pendekatan ‘tsaurah’ atau revolusi mahukan perubahan yang cepat dan radikal melalui cara kekerasan. Sebaliknya, ‘islah’ menekankan proses perubahan secara bertahap. Pendekatan islah lebih diberi perhatian dan diterima jumhur (majoriti) ulamak dalam melaksanakan perubahan masyarakat. Ini adalah disebabkan kaedah islah adalah uslub atau pendekatan yang digunakan oleh para rasul dalam misinya merubah masyarakat.

Para Rasul melaksanakan misi mereka dengan cara memperbaiki diri dan jiwa manusia. Cara ini bebas dari unsur kebencian dan kekerasan. Sebaliknya, revolusi mengandungi elemen kebencian, pemberontakan dan rusuhan yang lebih banyak menghancurkan daripada membina atau membangun. Kebanyakan ulamak sepakat mengutamakan perubahan secara damai dengan melakukan islah terhadap pemerintah yang korup dan zalim.

Misalnya, Imam Ahmad bin Hanbal menolak kaedah revolusi sebab beliau melihat ianya lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Iman mulia itu melihat revolusi adalah sesuatu yang batil kerana ia boleh berakhir dengan anarkisme dan pemimpin-pemimpinnya pula akan bertelagah sesama sendiri untuk berkuasa sehingga seolah-olah negara tidak lagi berkerajaan.

Justeru, ramai ulamak tersohor tidak mengizinkan penyingkiran seseorang pemimpin secara kekerasan walaupun pemimpin itu seorang yang fasik. Ibnu Taimiyyah menyebut, “Enam puluh tahun di bawah penguasa zalim adalah lebih baik daripada satu malam tanpa seorang pemerintah (keadaan anarkisme)”.

Iman al-Ghazali pula berpendapat sekiranya tindakan menyingkirkan penguasa yang zalim dan jahil itu secara kekerasan akan menimbulkan kekacauan yang tidak dapat diuruskan (anarki), maka pemimpin itu wajib dikekalkan dan wajib ditaati”.

Kebaikan dan keadilan pemerintah di negara ini lebih terserlah daripada kelemahan dan kezaliman yang dicanangkan oleh golongan-golongan tertentu.Memang kita tidak nafikan ada kelemahan di sana sini tetapi ia boleh diperbaiki. Hari ini, program transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan adalah menepati konsep ‘islah’ atau pembaharuan seperti yang dikehendaki Islam.

Demikian juga politik demokrasi masih berjalan dengan baik di mana semua parti politik di negara ini berpeluang untuk memenangi pilihan. Kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidaklah seburuk mana yang digambarkan pihak tertentu. Malah, SPR kini sedang giat melakukan pembaikan untuk memberi keadilan kepada semua parti-parti politik yang berpartisipasi dalam pertandingan pilihan raya. Terbaru ialah kesediaan kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi menambah baik sistem pilihan raya negara. Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Kesimpulan, pendekatan untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara tidak sesuai sama sekali di negara ini. Mungkin kita boleh menerima kaedah revolusi sekiranya negara di bawah penguasaan kuasa asing yang menindas dan meragut kemerdekaan rakyat dan negara.

Revolusi yang harus diutamakan ialah revolusi mental. Pemimpin dan rakyat seharusnya merevolusikan minda mereka ke arah perkara yang membina masa depan negara. Revolusi minda ini penting supaya ia dapat merubah penampilan, sikap, paradigma, tingkah laku dan kebiasaan diri supaya “daya tenaga” masyarakat dapat menjana dan melonjakkan transformasi sosioekonomi negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Cukai 6 peratus ditangguh - Rais

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual Khamis ini, ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Menurut Rais, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kajian sama ada cukai tersebut akan dikenakan terhadap pengguna yang membeli pek permulaan talian prabayar atau mengenakannya setiap kali pengguna membuat tambah nilai kredit.

"Saya rasa lega apabila mereka bersetuju menangguhkannya dan kementerian akan membuat beberapa kajian tentang isu yang dibangkitkan seperti waktu terbaik bagi melaksanakan cukai perkhidmatan tersebut," katanya.

Menurutnya, kajian berhubung caj tersebut akan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat komunikasi terlibat yang turut sama akan membincangkan kadar yang sepatutnya dikenakan.

"Jadi, isu-isu yang berbangkit ini akan saya bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri kelak untuk menghuraikan dengan lebih jelas berkenaan data dan fakta yang lengkap," katanya.

Rais berkata, beliau juga akan menyarankan kepada kerajaan untuk memberi penghargaan di atas sumbangan dan peranan yang dibuat syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut terhadap cukai perkhidmatan selama ini.

"Jumlah yang disumbang syarikat-syarikat itu terhadap cukai perkhidmatan amat besar dan boleh saya anggarkan jumlahnya bernilai hampir RM6 bilion bermula dari 1998 sehingga kini kepada hampir 26 juta pengguna talian prabayar di negara ini," katanya.

Justeru itu, Rais berharap isu cukai perkhidmatan tersebut tidak lagi dibangkitkan kerana syarikat telekomunikasi terbabit sudah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan caj tersebut. - Utusan Malaysia 13/9/2011

Jerat dan perdaya Komunis

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

KOMUNIS adalah fahaman yang memiliki beberapa prinsip atau ciri asas utama. Dari sudut perjuangan, ia bersifat revolusioner di mana kaedah kekerasan (revolusi) menjadi pendekatan utamanya. Dari sudut politik, ia bersifat kuku besi (autokratik) dan anti demokrasi.

Dari sudut ekonomi pula, komunis anti pemilikan individu dan menganggap semua kekayaan adalah milik negara sepenuhnya. Manakala, dari sudut akidah, komunis adalah fahaman yang bersifat atheism atau tidak mempercayai Tuhan.

Fahaman yang diasaskan oleh Karl Marx (1818- 1883) ini menganggap realiti kehidupan dan budaya sebagai wujud dialektika. Ia bermaksud sejarah masyarakat adalah manifestasi perjuangan atau pertarungan kelas (class struggle). Asas perjuangan kelas yang tonjolkan dalam teori Marx ini adalah disebabkan beliau mempercayai bahawa kehidupan ditentukan sepenuhnya oleh material (benda).

Bertolak dari premis inilah Marx menyatakan interaksi manusia adalah berasaskan kepada aktiviti ekonomi (benda) semata-mata. Bagi Marx serta pendukungnya menganggap ‘kesamaan ekonomi’ (economy equality) adalah tujuan utama yang mesti dicapai dalam masyarakat. Ia hanya boleh dicapai sekiranya ditegakkan kerajaan komunis.

Jelaslah bahawa akidah komunisme adalah akidah kebendaan, iaitu sesuatu yang bercanggah dengan akidah Islam yang menekankan aspek tauhid adalah asas kepada hakikat kehidupan sebenar. Doktrin Marx tentang moral dan agama menyebut bahawa nasib manusia sepenuhnya di tangannya sendiri, bukan di tangan Tuhan. Justeru, dalam ajaran komunisme tidak ada konsep ‘eskatologi’ atau kepercayaan kepada hari kemudian (hari akhirat).

Komunis menganggap mereka yang percaya kepada Tuhan adalah berada dalam khayalan dan ia tidak lebih sebagai satu pelarian dan impian untuk lari daripada penderitaan hidup. Komunis menganggap agama adalah candu bagi rakyat.

Seperti yang disebut awal rencana ini bahawa Marx menggunakan teori ‘pertentangan kelas’ (dialektika) di mana dalam masyarakat wujud dua kelas utama iaitu ‘bourjois’ (kaum kapitalis yang berkuasa) dan ‘proletar’ (golongan buruh) yang tertindas. Untuk mengubahnya maka Marx menyeru kepada revolusi.

Di antara revolusi penting yang mengangkat komunisme sebagai ideologi politik antarabangsa ialah Revolusi Bolsheviks pimpinan Lenin pada 17 Oktober 1917.

Revolusi ini berjaya menumbangkan kekaisaran Russia dan membunuh semua musuhnya termasuk kaum beragama. Pada permulaan kebangkitan Bolshevik mereka mengajak kaum Muslimin di Russia untuk bersama-sama menentang ‘Tzar’ (raja) yang zalim. Mereka membuat janji manis untuk membela nasib kaum Muslimin.

Untuk menawan hati umat Islam di Russia ketika itu maka mereka turut menggunakan ayat-ayat al-Quran tentang tanggungjawab menegakkan keadilan dan kesamarataan. Namun, setelah kaum sosialis itu berjaya dan menubuhkan negara komunis di Russia maka mereka mula merancang menindas dan menghapuskan umat Islam. Mereka mendesak kaum Muslimin untuk memilih sama ada menjadi komunis atau dibunuh.

Pada Februari 1918, mereka memusnahkan pemerintah Turkistan yang beragama Islam. Tindakan jahat mereka itu mengorbankan 800,000 umat Islam. Apabila bangkit pemberontakan Bamachi di kalangan orang Islam, maka komunis terus memerangi umat Islam selama 13 tahun (1921-1934). Pada 1931 mereka berjaya menangkap dan membunuh pahlawan Islam bernama Ibrahim Beg.

Hakikatnya, mereka ialah satu kaum yang amat suka berdusta dan mengkhianati janji. Mereka juga berdusta dalam soal pengagihan kekayaan.

Perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan ekonomi dengan meruntuhkan kapitalisme dan kerajaan bukan komunis adalah pembohongan semata-mata. Benarkah mereka menentang kapitalisme untuk menegakkan keadilan ekonomi?

Jawapannya tidak. Buktinya mereka tidak pernah menentang secara serius konsep dan amalan ‘riba’ yang ditentang Islam. Malah, dalam realiti sejarahnya pemodal-pemodal dan penguasa bank-bank antarabangsa yang kaya raya telah banyak membantu pergerakan sosialisme yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan komunisme. Perlu difahami bahawa masyarakat sosialis adalah tahap pertama sebelum masyarakat komunis sebenar dibentuk.

Dalam Revolusi Bolshevik, orang-orang kaya telah membiayai gerakan sosialisme yang kononnya untuk merampas harta kekayaan pemodal-pemodal yang menindas tetapi apa yang berlaku ialah mereka akhirnya menjadi orang yang menguasai kekayaan di bawah sistem komunis. Di mana-mana negara komunis, golongan yang hidup mewah dan penuh kesenangan ialah golongan pemimpinnya.

Di tanah air kita, Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada 1930 atas arahan Komunis Antarabangsa (Comintern) telah melakukan revolusi bersenjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Perjuangan bersenjata mereka itu menyebabkan negara diisytiharkan darurat (1948-1960).

Bentuk penentangan yang dilakukan komunis melalui serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar telah mengorbankan banyak nyawa dan kecederaan serta kecacatan kekal di kalangan anggota keselamatan dan orang awam. Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.

Tidak sedikit penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang dialami rakyat akibat kekejaman komunis itu. Seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang (Manja Mohd. Ludin, 1990).

Sebenarnya terlalu banyak kekejaman dan kejahatan yang dilakukan komunis di tanah air kita yang membabitkan anggota keselamatan dan orang awam yang tidak berdosa. Di antaranya ialah:

* Pada 13 Disember 1948 pengganas komunis membakar bangunan anak-anak yatim di Serendah, Selangor membunuh seorang pengawas di rumah kebajikan itu.

* Pada 5 Julai 1949 pengganas komunis melemparkan sebutir bom ke arah orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan sarkas di Kampar, Perak. Empat orang terbunuh dan 46 orang cedera termasuk kanak-kanak dan wanita sedang mengandung.

* Pada 12 Ogos 1949 pengganas memasuki rumah para buruh di Ladang Jany, Selangor dan merompak wang tunai dan barang-barang kemas. Sebenarnya terlalu banyak tindakan komunis menceroboh, merompak dan membakar rumah pekerja.

* Pada 21 Sept 1949 pengganas komunis di daerah Plentong, Johor Bahru melemparkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ke dalam api yang sedang marak menyala. Komunis turut membunuh kaum keluarga kanak-kanak malang itu.

* Pada 4 Februari 1950 pengganas komunis membakar kampung di Simpang Tiga, Perak mengakibatkan 1,000 orang kehilangan rumah.

* Pada 23 Februari 1950 Komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong, di Hulu Sungai Muar secara serangan hendap menyebabkan 25 jiwa terkorban (19 orang anggota polis, 2 orang isteri dan 2 anak anggota polis serta orang awam).

* Pada 27 Februari 1951 serangan bom tangan di panggung wayang Wah Lok, Sungai Siput mengakibatkan tiga orang mati dan 13 cedera.

* Pada 7 Oktober 1951 Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney mati ditembak dalam serangan hendap oleh pengganas komunis di Batu 56 ½, Jalan Kuala Kubu Bharu (Bukit Fraser).

* Pada 21 Februari 1952, sebuah kenderaan polis diserang hendap di kawasan Taiping, Perak. Lima anggota polis cedera parah.

* Pada 18 Oktober 1954, Balai Polis Chua Seng di Pontian, Johor musnah dibakar komunis. Empat anggota polis terkorban dan tujuh lagi cedera parah.

* Pada 9 Mac 1955, empat orang asli dibunuh oleh pengganas komunis di Sungai Landor, Ipoh.

* Pada 7 Jun 1974 komunis menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Kuala Lumpur.

* Pada 26 Ogos 1975 Tugu Negara dibom komunis. Kejadian pada jam 5 pagi itu telah memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung.

* Pada 13 November 1975, Komunis menembak mati Ketua Polis Negeri Perak Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh.

Daripada kronologi peristiwa kedurjanaan komunis itu menunjukkan bahawa walaupun negara telah diberi kemerdekaan oleh British, tetapi mereka tetap melakukan onar di sekitar 1960an dan 1970an. Jika benar mereka berjuang untuk kemerdekaan, sepatutnya mereka memberhentikan segala kejahatan dan membubarkan perjuangan mereka.

Namun, oleh kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan komunis di negara ini maka mereka tetap meneruskan keganasan mereka.

Apa pun kita bersyukur kerana segala rancangan jahat mereka berjaya disekat oleh kerajaan dengan menggunakan Akta Darurat 1948. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989. Namun, Chin Peng (Ong Boon Hwa) dalam bukunya My Side Story tetap menyatakan kebanggaannya terhadap ideologi tersebut.

Yang menyedihkan kita ialah hari ini terdapat di kalangan pemimpin Pas sendiri mula menimbulkan keraguan di kalangan rakyat dengan mengangkat tokoh-tokoh yang berpakat atau menggabungkan perjuangannya dengan komunis sebagai hero. Sepatutnya analisis sejarah kita harus melihat perkara pokok yang lebih besar, iaitu impak perjuangan komunis terhadap tanah air sekiranya PKM berjaya dalam perjuangan bersenjata mereka.

Cuba kita bayang dan fikirkan seandainya perjuangan komunis di Tanah Melayu itu berjaya, maka kita sebenarnya akan dikuasai dan dijajah oleh ideologi komunis yang anti agama dan anti demokrasi. Saya yakin, keadaan yang serupa akan berlaku seperti mana yang berlaku di Russia selepas Revolusi Bolshevik. Aktivis -aktivis kiri Melayu yang mendukung atau berpakat dengan komunis itu pasti akan diperdayakan seperti mana komunis memperdayakan umat Islam di Russia.

Kesimpulan, perjuangan PKM bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana tujuan mereka adalah menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu. Orang Melayu dan bukan Melayu yang waras harus sedar bahawa ia pada hakikatnya merupakan satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali. - Utusan Malaysia 13/9/2011

PENULIS ialah ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

Implikasi buruk cabar ketetapan Islam agama bagi Persekutuan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

ISU serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya minggu lalu menimbulkan kembali perbincangan tentang adanya pihak tertentu untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan umat Islam. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kontroversi terbaru ini juga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kerana ia termasuk perkara sensitif yang boleh menjejaskan hubungan kaum di negara ini.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah “agama bagi Persekutuan”. Mentakrifkan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu sendiri tidak disebut di dalam Perkara 3. Lagi pun frasa “agama rasmi” akan menyempitkan skop pemakaian peruntukan tersebut dan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata.

Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah. Contoh, di dalam kes Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (di Mahkamah Persekutuan), Ketua Hakim Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.

Perkara 3 harus dipertahankan kerana peruntukkan inilah yang meletakkan Islam berdaulat di negara ini. Ini adalah kerana peruntukan tersebut menyentuh kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam. Sebelum ini ada kedengaran suara yang mahu peruntukan tersebut dipinda.

Justeru, dalam soal meminda peruntukan Perkara 3 ini, ia perlu mendapat pekenan daripada Raja-raja Melayu walaupun telah mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen. Saya yakin, untuk mendapat dua pertiga ahli Parlimen bukannya mudah kerana majoriti ahli parlimen Melayu-Islam tidak tergamak untuk menyokongnya kerana implikasinya sangat buruk terhadap kedudukan agama Islam di negara ini.

Walaupun Islam diberikan kedudukan sebagai agama Persekutuan tetapi peruntukan itu urut mengiktiraf hak kebebasan penganut-penganut agama lain mengamalkan agama mereka secara bebas. Sungguhpun begitu, dalam konteks penyebaran agama terdapat sekatan yang melarang agama lain disebarkan kepada penganut Islam seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 11(4).

Semua peruntukkan-peruntukkan tersebut sudah jelas dan sejak awal Perlembagaan Persekutuan dirangka semua kaum telah sepakat menerima peruntukan itu. Malangnya ada kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan agama yang menunjukkan kedegilan mereka yang seolah-olah mahu mencabar Perkara 11(4). Mereka menggunakan beberapa cara untuk menyebarkan ajaran mereka di kalangan umat Islam. Ini termasuklah melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan mereka.

Pada hemat saya perkara 11 (4) diadakan bagi memberi tanggungjawab pemerintah atau kerajaan untuk memastikan orang Islam tidak menjadi murtad setelah berada di dalam agama Islam. Murtad atau keluar dari agama Islam adalah dilarang di dalam ajaran Islam yang boleh dikenakan hukum berat ke atasnya.

Justeru, peruntukan terbabit tidak harus dilihat sebagai larangan kepada penganut agama lain menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam tetapi ia juga mesti dilihat sebagai peruntukan yang bertujuan untuk membendung gejala murtad di kalangan umat Islam di negara ini.

Oleh itu, sekiranya terdapat apa-apa maklumat yang menunjukkan adanya pihak tertentu yang berusaha atau menjalankan apa-apa aktiviti untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam maka menjadi tanggungjawab agensi atau jabatan agama untuk menyiasat dan bertindak ke atas maklumat tersebut seperti mana yang dilakukan oleh JAIS itu.

Ada dua tindakan yang boleh diambil sekira benar perkara itu berlaku. Pertama, sekiranya ada asas kukuh bahawa pihak terbabit menjalankan aktiviti yang menyalahi enakmen syariah negeri, sekali gus Perkara 11(4) maka tindakan undang-undang boleh diambil ke atasnya. Bagi umat Islam yang disyaki telah terpengaruh atau mengikut ajaran agama lain maka pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan ke atasnya mengikut peruntukkan yang ada di dalam enakmen undang-undang syariah.

Dalam konteks ini tidak ada siapa yang boleh mempertikai atau menghalang tindakan mahkamah di ambil ke atas orang Islam yang telah melanggar undang-undang syariah. Perkara 121 (A) adalah peruntukan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Jika orang bukan Islam mahu umat Islam menghormati amalan agama mereka maka mereka juga harus menghormati dan mematuhi agama Islam, khusus Perkara 3 dan Perkara 11 (4) yang terkandung di dalam perlembagaan negara itu. Mereka seharusnya berasa bersyukur kerana Malaysia adalah di antara negara yang memberikan kebebasan agama kepada orang bukan Islam. – BH 9/8/2011

Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan