Jumaat, 29 April 2011

Pluralisme Agama perosak akidah Islam

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Antara doktrin asas Pluralisme Agama ialah meletakkan semua agama adalah sama taraf dan semuanya mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di Akhirat. Mengikut fahaman ini, tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak kerana semua agama adalah bersifat relatif.

Jika dilihat kepada doktrin Pluralisme Agama ini, maka ia memang bercanggah dengan apa yang disebut al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya agama benar dan diterima di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNya berserah diri segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan” (Surah Ali-Imran, ayat 83).

Oleh kerana doktrin Pluralisme Agama itu bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar maka pada tahun 2005 Majlis Fatwa Ulama Islam Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa mengharamkan Pluralisme Agama. Pada tahun 2006, Muzakarah Ulama Se-Malaysia turut mengharamkan fahaman itu.

Pernah satu wacana membahas Pluralisme Agama diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Disember tahun lalu, dinamakan ‘Wacana Membenteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah’ itu telah mengeluarkan resolusi meminta pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia perlu memantau Gerakan Pluralisme Agama dan mengambil langkah mencegah dengan apa sekali pun.

Wacana itu anjuran bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan, Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Semua wakil dan peserta wacana memutuskan supaya pihak berkuasa agama memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai akidah Islam yang sebenar.

Pengharaman tersebut adalah wajar kerana doktrin yang dibawa oleh Pluralisme Agama memang menyesatkan. Pengasasnya, John Hick, Professor Teologi di Claremont Graduate School California USA yang dianggap sebagai “nabi” mengajarkan semua agama berkongsi sebahagian kebenaran (partial truth) dan kebenaran mutlak hanya ada pada “Hakikat Ultima yang Tunggal” (Tuhan).

Menurut Hick, semua agama menuju ke satu titik pusat, iaitu ‘Realiti Tunggal’ (Tuhan) tetapi tuhan itu dijelmakan dalam pelbagai bentuk dan cara tertentu mengikut ajaran agama masing-masing (Dr. Anis Malik Thoha, 2010).

Selain Prof. John Hick, fahaman ini turut dikembangkan oleh sekelompok pemikir Kristian seperti Raimundo Panikkar, Wilfred Cantwell Smith dan Fritjhof Schuon, John L. Esposito dan Seyyed Hossein Nasr adalah di antara sarjana dunia Islam yang terpengaruh dengan fahaman ini.

Di Indonesia, ia digerakkan oleh beberapa tokoh terpelajar seperti Nurcholish Madjid (Cak Nur), Ulil Abshar Abdalla, Abdul Munir Mulkhan, Sukudi, Alwi Shihab, Budhy Munawar rahman dan Azyumardi Azra.

Nurcholish Madjid yang dianggap pengasas dan mahaguru ‘Islam Liberal’ di Indonesia telah mengubah makna Kalimah Syahadah dengan pengertian “Tidak ada tuhan kecuali Tuhan” dengan tafsiran pengertiannya bahawa menyembah Tuhan yang mana sekali pun (mana-mana agama) adalah benar.

Sebenarnya ajaran Pluralisme Agama ini merupakan fahaman yang pernah diketengahkan oleh beberapa tokoh falsafah dunia seperti Nietsche (1844-1900), tokoh falsafah Jerman dan Mahatma Ghandi (1917-184). Tokoh-tokoh tersebut menyatakan bahawa semua agama adalah cabang-cabang yang berasal dari pohon yang sama.

Malah, sejarah menunjukkan bahawa Maharaja Moghul yang bernama Akhbar (1560-1605) merupakan pemimpin yang menganut faham Pluralisme Agama. Beliau yang terpengaruh dengan ajaran Kabir dan Nanak telah memperkenalkan agama baru yang dinamakan “Din Illahi” iaitu campuran daripada ajaran Islam, Hindu, Zooaster dan pemujaan terhadap matahari.

Fahaman Pluralisme Agama mencetuskan banyak percanggahan dalam syariat Islam. Golongan Islam Liberal menganggap tidak ada satu pun aspek syariat Islam yang suci kerana menurut mereka syariat adalah hasil ciptaan manusia.

Justeru, tidak hairanlah penganut fahaman ini mengizinkan perkahwinan berlainan agama. Malah, mereka juga memperjuangkan homoseksual seperti yang diperjuangkan oleh Gerakan Islam Liberal di Indonesia.

Di Malaysia, gerakan Pluralisme Agama belum begitu ketara. Namun, ianya dipercayai mempunyai pengikut di kalangan mereka yang terpelajar.

Satu perkara yang memerlukan penelitian ialah, Pluralisme Agama mendakwa memperjuangkan toleransi agama. Benarkah dakwaan itu? Jika kita meneliti ajaran tokoh-tokoh Pluralisme Agama maka kita dapati bahawa mereka sebenarnya tidak menjaja idea atau prinsip toleransi agama.

Misalnya, Peter Byrne, Professor di King’s College London menyebut bahawa Pluralisme Agama merupakan persenyawaan semua agama-agama besar dunia. Selain itu, doktrin asas fahaman itu melihat semua agama bersifat relatif yang terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali. Justeru, mana mungkin toleransi agama diperjuangkan oleh Pluralisme Agama.

Gambaran toleransi agama seharusnya seperti mana sikap yang ditunjukkan oleh Dalai Lama yang menyebut, “Saya menghormati dan mengkagumi kawan saya yang beragama Kristian dan yang beragama Islam. Kalaulah menyatupadukan itu maksudnya mencampur adukkan maka itu adalah mustahil, dan tidak berfaedah” (Uthman El-Muhammady, 2010).

Kesimpulan, Pluralisme Agama merupakan fahaman yang jelas boleh merosakkan akidah umat Islam. Fahaman ini sarat dengan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan manusia. Ia adalah satu usaha musuh-musuh Islam untuk merosakkan akidah dan agama suci umat Islam. Oleh itu fahaman ini wajar ditentang dengan penuh kekuatan tenaga, fikiran dan penguatkuasaan undang-undang. - BH 5 April 2011

Rabu, 13 April 2011

   Pada 10 April yang lalu bertempat di perkarangan rumah Salmi Mohamad, Pemuda Umno cawangan dengan kerjasama pejabat Adun Pulau Betong telah menganjurkan program Ramah Mesra dan dialog bersama YB Muhd Farid Saad.

Program santai pada malam hari tersebut telah memberi ruang kepada anak-anak muda untuk berdialog dan mendapat penjelasan isu-isu semasa berkaitan politik yang disampaikan oleh YB Farid sendiri.

Usaha YB Farid turun ke padang menemui penduduk di setiap lokaliti semakin mendapat penyertaan dan sokongan orang-ramai bagi mendapatkan maklumat terkini serta menyuarakan pandangan. Pendekatan yang digunapakai oleh pemimpin Umno ini ternyata jauh berbeza dari konsep ceramah oleh parti pembangkang yang lebih memgutamakan fitnah dan hasutan. Umum diketahui yang setiap ceramah parti pembangkang tidak pernah disertai dengan majlis dialog ekoran mereka (PR) takut rakyat membidas atau mengkritik strategi politik pembangkang yang jumud.   
                              

Persidangan Agung UMNO Sg Burong

Pada 09 April lalu, Umno cawangan Sg. Burong telah mengadakan Persidangan Agung cawangan di perkarangan kediaman YB Dato' Seri Dr Hj Hilmi Yahaya. Pada petang hari tersebut seramai 143 orang ahli berdaftar telah hadir untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ahli dan mendengar amanat yang telah disampaikan oleh Ketua Umno cawangan, Dato' Seri Dr Hj Hilmi.

Sebelum itu, Pergerakan Wanita Umno cawangan turut mengadakan persidangan yang sama selepas Pemuda Umno cawangan yang telah bersidang pada 27 Mac 2011 dan seterusnya diikuti oleh sayap Puteri Umno .                                                        

Rabu, 6 April 2011

Sukan Rakyat Sungai Burung

   Bertempat di Kuala Sg Burung pada 04 April lalu, Umno cawangan telah berjaya menghimpunkan hampir 500 orang penduduk kampung Sg Burung di mini Sukan Rakyat 2011. Program itu khusus untuk anak-anak qariah turut dihadiri oleh YB Dato' Seri Dr Hj. Hilmi dan isteri serta YB Sr Muhd Farid Saad telah mendapat penyertaan hangat dari penduduk yang setia menunggu sejak jam 08.30pg sehingga perasmian penutupan program pada jam 06.00ptg. 

Jawatankuasa Umno cawangan mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato' Seri Hilmi, YB Farid Saad, mantan Adun Pn Siti Faridah dan orang perseorang yang memberi sumbangan bagi meralisasikan program pemimpin bersama rakyat ini.

Juga ucapan penghargaan turut diberikan kepada penduduk Sg Burung yang sentiasa memberi sokongan kepada Umno cawangan dan membelakangkan ideologi politik bagi mengukuhkan pemuafakatan sesama jiran. Semoga pada program yang lain, Umno cawangan akan terus bersama penduduk bagi memimpin pendapat rakyat dan menjayakan semangat 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaikan Diutamakan.