Khamis, 25 Mac 2010

PR Pulau Pinang Menipu Penduduk Balik Pulau

   Baru-baru ini dalam ceramah Penjelasan Isu-isu Semasa anjuran Pas kawasan Balik Pulau seorang penceramah dari pakatan pembangkang (PR) menghentam bekas-bekas Exco Melayu kerajaan negeri yang dituduh terlalu tamakan wang dengan meluluskan projek-projek pembinaan rumah mewah ke kawasan Balik Pulau. Dakwa penceramah itu lagi, mana ada orang Melayu yang berkemampuan membeli rumah yang harganya mencapai ratusan ribu ringgit.

Tambah beliau lagi, projek-projek yang sedang rancak dilaksanakan sekarang merupakan hasil dari kesilapan pentadbiran kerajaan BN selama 50 tahun di Pulau Pinang. Beliau sebaliknya mempertahankan kerajaan DAP sekarang dengan alasan PR hanya baru 2 tahun mentadbir negeri maka mereka tidak berkuasa untuk membatalkan pelan yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri yang lalu.

Kenyataan penceramah tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dari responden yang ditemui di majlis tersebut.

Beberapa penduduk mendakwa masih ada persoalan yang tidak didedahkan atau diperjelaskan kepada orang-ramai. Menurut mereka, projek-projek rumah mewah sekarang dibina oleh pemaju swasta yang pemiliknya adalah usahawan berbangsa bukan Melayu. Malahan bagi setiap permohonan untuk projek rumah mewah kerajaan negeri yang lalu telah mengenakan beberapa syarat sebelum mendapat kelulusan.

"Sungguhpun kami hanya pekerja biasa tetapi semua penduduk tahu bahawa jika ada projek untuk rumah mewah maka pemaju disyaratkan membina dahulu rumah kos murah dan sederhana untuk golongan berpendapatan rendah.
Tetapi sekarang apabila kami menemui pemaju untuk bertanya tentang rumah kos sederhana sebaliknya jawapan yang diterima sungguh tidak adil dan mengejutkan," cerita seorang penduduk.

Menurut beliau, pemaju memaklumkan bahawa syarat tersebut telah digugurkan oleh kerajaan negeri sekarang. Pihak pemaju mendakwa mereka tidak lagi terikat dengan syarat supaya membina rumah kos sederhana yang tidak menguntungkan pemaju.

"Inikah yang didakwa sebagai pentadbiran yang adil untuk rakyat terutamanya kepada orang Melayu?. Malahan saya juga dimaklumkan bahawa kerajaan PR telah menetapkan pelbagai syarat yang ketat kepada Perda jika ingin membina rumah kos sederhana." tambah beliau.

Pendedahan ini telah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu PR berterusan menipu penduduk Balik Pulau dengan pelbagai lakonan dan hanya nampak pada kesalahan kerajaan BN sahaja.Samada mereka tidak sedar atau mereka sendiri terlibat bersama dalam gerakan halus untuk memecahkan monopoli kuasa undi penduduk Melayu di daerah ini. Para penduduk turut mendakwa, kesan dari kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan PR menyebabkan semakin ramai penduduk Melayu yang terpaksa berhijrah ke negeri lain yang masih menawarkan rumah berkos sederhana.  

Malahan terdapat aduan dari beberapa pemilik tanah yang mendakwa mereka telah didatangi oleh beberapa individu dari parti politik PR yang mendakwa mewakili pemaju membuat tawaran untuk membeli tanah mereka pada harga yang tinggi. Penduduk telah ditawarkan dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit sebagai dorongan supaya menjual tanah pusaka untuk dimajukan.

Pas dan PKR Kemaruk Jawatan

   Selepas berjaya menguasai negeri Pulau Pinang ahli-ahli Pas dan PKR mula menghalalkan budaya merampas jawatan di dalam pertubuhan atau persatuan NGO di setiap kampung. Berdasarkan maklumat yang diterima, sebilangan anggota JKKKN berusaha menguasai jawatankuasa organisasi masyarakat yang berkemampuan menjana pendapatan sendiri. Menurut pendedahan sumber dalaman, mereka mensasarkan organisasi seperti unit nelayan, kelompok pertanian dan pertubuhan lain yang berpayung di bawah agensi kerajaan negeri.
"Mereka akan pastikan ahli-ahli pertubuhan yang menyokong mereka hadir beramai-ramai ke mesyuarat tahunan pertubuhan bagi memastikan calon-calon pilihan mendapat undi yang banyak. Malahan terjadi tindakan pengerusi JKKKN dan Qariah berlumba merebut jawatan pengerusi pertubuhan sambil rakan-rakan separti bertanding untuk AJK," dedah sumber yang enggan dinamakan.
Menurut beliau lagi, strategi penyalahgunaan kuasa dan wang pertubuhan merupakan strategi awal yang digunapakai untuk menjatuhkan jawatankuasa lama.
"Kita boleh perhatikan tindakan mereka yang lebih berminat kepada laporan penyata kewangan dengan mengajukan pelbagai persoalan dan dakwaan untuk mengelirukan ahli-ahli," tambah beliau.
Beberapa responden yang ditemui turut mempersoalkan tindakan jawatankuasa JKKKN dan Qariah yang begitu kemaruk untuk memegang jawatan lain sungguhpun sudah memegang jawatan penting di dalam kampung. Menurut mereka ketika pentadbiran kerajaan BN dulu, individu ini sering menghentam jawatankuasa JKKK atau Qariah dengan tuduhan gila kuasa tetapi sekarang mereka pula berebut-rebut bertanding.
"Bukti mereka gila kuasa,.. lihat dalam jawatankuasa JKKKN atau Qariah pasti ada anak dan bapa yang menganggotainya. Jika mahu dilihat adil maka mereka boleh menolak perlantikan tersebut dengan mencadangkan individu lain. Masih ramai yang mempunyai pendidikan agama yang layak," komen seorang responden.
Sementara itu, beberapa penduduk kampung Sg. Burung kesal dengan tindakan jawatankuasa Qariah yang membenarkan penyalahgunaan mimbar masjid untuk menyampaikan khutbah politik. Penduduk kampung berpendapat sekiranya ada pertikaian berkaitan dasar kerajaan pusat maka gunakan saluran yang betul untuk dipersoalkan.
"Jika mereka  mendakwa rakyat tidak senang dengan dasar-dasar yang ada maka segera ajukan kepada wakil rakyat untuk dibahaskan. Apa gunanya ada Ahli Parlimen di dewan jika gagal membawa suara dan kehendak rakyat,..kenapa lontarkan semula persoalan itu kepada orang-ramai di masjid.
"Mereka telah dipilih untuk bekerja untuk orang-ramai maka wajarlah laksanakan tugas itu bukannya menyerah kembali kepada rakyat untuk selesaikan bagi pihak mereka", kata seorang penduduk.
"Yang paling lekeh ialah kegagalan JKKKN dan Qariah mengatur aktiviti di kampung. Mereka suka menumpang program pihak lain tetapi membuat laporan dan tuntutan atas nama mereka." tambah beliau lagi.