Isnin, 21 Disember 2009

Ahli Parlimen Balik Pulau Dimalukan?

Jika melihat sepanduk ucapan menyambut Hari Natal dan Tahun Baru yang dipasang di pekan Ginting sukar untuk didakwa sebagai kesilapan teknikal kerana jelas tindakan meletakkan pelekat permit MPPP menutupi muka Mohd Yusmadi boleh dianggap sebagai perbuatan yang dirancang dan mempunyai niat tertentu. Apabila diperiksa lebih dekat, pelekat tersebut mempunyai ciri keselamatan mudah rosak jika cuba ditanggalkan sama seperti ciri yang digunakan untuk pelekat cukai jalan. Ramai responden yang ditemui tertanya-tanya mengapa sebahagian gambar muka Ahli Parlimen itu 'ditutup' sedemikian. Apapun jawapan atau tanggapan mereka hanya si pelaku yang lebih mengetahui. Seperti kata Nabil, "Lu fikir la sendiri..".

Konsep Gagasan 1Malaysia

APAKAH YANG DIMAKSUD DENGAN GAGASAN 1 MALAYSIA?

Gagasan `1 Malaysia` adalah satu gagasan kesinambungan agenda pembangunan negara yang diperkenalkan oleh YAB Dato` Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri apabila beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara.Ia berteraskan beberapa nilai–nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Gagasan ini adalah digagaskan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.


ADAKAH GAGASAN 1 MALAYSIA MERUPAKAN SATU DASAR BARU KERAJAAN?
Gagasan 1 Malaysia bukanlah satu gagasan yang mendukung atau memajukan satu dasar baru. Sebaliknya, ia adalah satu gagasan pelengkap atau kesinambungan kepada pendekatan terdahulu yang diamal dan diterapkan untuk terus mengukuhkan perpaduan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan supaya terus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara supaya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Matlamat 1 Malaysia adalah untuk melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang harus menganggap diri mereka sebagai satu keluarga besar dan sekaligus mencapai perpaduan yang jati antara berbilang kaum.


APAKAH INTIPATI UTAMA YANG TERKANDUNG DALAM GAGASAN 1 MALAYSIA?
Gagasan 1 Malaysia menekankan sikap penerimaan kelainan atau kepelbagaian yang wujud di kalangan rakyat sebagai satu realiti hidup rakyat Malaysia. Rakyat berbilang keturunan dan etnik di Malaysia perlu menerima keunikan kaum yang lain tetapi tetap mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malah, mereka perlu bersedia hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati nilai-nilai dan kepercayaan kaum yang lain.


APAKAH GAGASAN 1 MALAYSIA AKAN MELENYAPKAN HAK KEISTIMEWAAN KAUM BUMIPUTRA (MELAYU) DAN LEBIH MEMENTINGKAN KEPENTINGAN RAKYAT BUKAN MELAYU?
Tidak benar. Gagasan 1 Malaysia bukanlah merupakan satu usaha mengapuskan hak keistimewaan kaum bumiputra yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Gagasan 1 Malaysia adalah dimajukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara. Ini bermakna dasar-dasar kerajaan dan program-program pembangunan yang disediakan bagi meningkatkan kedudukan sosial dan ekonomi orang Melayu supaya setanding dengan lain-lain kaum akan terus disediakan berdasarkan peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, lain-lain kaum dan etnik juga terus mendapat pembelaan dan bantuan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal berteraskan semangat kontrak sosial.Gagasan 1 Malaysia mendukung prinsip keadilan untuk semua kaum. Ini bermakna, nasib dan kepentingan semua kaum dibela dan mana-mana kaum atau kumpulan masyarakat pun tidak dipinggirkan.
Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia menegaskan bahawa tidak siapapun rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai rakyat kelas 2 atau dipinggirkan dalam arus pembangunan perdana negara ini. Malah setiap kaum, bumiputra ataupun bukan bumiputra, yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masing-masing akan dibantu oleh kerajaan.


APAKAH GAGASAN 1 MALAYSIA AKAN LENYAPKAN IDENTITI PELBAGAI KAUM DI MALAYSIA?
Usaha melahirkan satu generasi rakyat 1 Malaysia bukanlah merupakan satu proses asimilasi yang mampu melenyapkan identiti kaum atau etnik seperti diamalkan di negara-negara lain. Sebaliknya, gagasan 1 Malaysia menghargai dan menghormati identiti dan keunikan kaum dan etnik masing-masing selaras dengan kerangka persetujuan yang telah dicapai dan dipersetujui dalam kontrak sosial oleh pelopor-pelopor kemerdekaan tanah air dan kemudiannya menyerlah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, gagasan 1 Malaysia memajukan konsep bahawa keunikan dan kelainan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia sebagai satu aset yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia kerana keunikan itu membantu dalam usaha meningkatkan pembangunan Negara kepada tahap yang lebih tinggi.


APAKAH NILAI-NILAI UTAMA YANG DIMAJUKAN OLEH GAGASAN 1 MALAYSIA?
Gagasan 1 Malaysia adalah pemangkin kepada kesinambungan sebuah negara bangsa yang mementingkan sikap kesamaan dan kekitaan (togetherness) di kalangan rakyat. Malah, rakyat perlu memahami dan menghayati nilai-nilai utama yang digolongkan dalam nilai teras 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Sesungguhnya, semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah rakyat jati Malaysia di mana segala hasil pembangunan perlu dinikmati secara bersama. Rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia sebagai negara ibunda atau negara kita bersama, di mana semua kaum atau masyarakat dapat hidup aman dan sentosa.


APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1 MALAYSIA ADALAH SAMA DENGAN KONSEP `MALAYSIA MALAYSIA` YANG DILAUNGKAN OLEH PARTI DAP DALAM TAHUN 60`AN?
Konsep `Malaysian Malaysia` yang dimajukan oleh parti PAP dari Singapura yang kemudiannya diperjuangkan oleh DAP dalam politik Malaysia bertujuan melenyapkan hak keistimewaan yang diperuntukkan untuk kaum bumiputra dalam Perlembagaan Persekutuan dan bermatlamatkan menegakkan hak samarata bagi semua kaum tanpa memperhitungkan atau mengetepikan peruntukan-peruntukan utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Konsep Malaysian Malaysia juga didapati bertentangan dengan semangat kontrak sosial yang merupakan asas dan tonggak kepada pemerintahan negara ini sejak merdeka.
Sebaliknya, Gagasan 1 Malaysia merupakan satu penerusan agenda melahirkan sebuah negara bangsa bersandarkan Perlembagaan Persekutuan. Malah, gagasan 1 Malaysia lebih memfokuskan kepada menyediakan peluang-peluang yang samarata, membantu kumpulan dan golongan rakyat yang masih tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara, mendorong kumpulan yang lebih kaya membantu kumpulan dan golongan yang masih berkurangan dan memerlukan bantuan. Ini bermakna Gagasan 1 Malaysia lebih menterjemahkan semangat keadilan sosial kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya.


APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1 MALAYSIA ADALAH SATU SLOGAN `LIP-SERVICE` ATAU STRATEGI POLITIK UNTUK MEMUJUK WARGA BUKAN MELAYU MEMIHAK BN?
Gagasan 1 Malaysia adalah satu proses penerusan pendekatan kerajaan BN bagi mengukuhkan perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat Malaysia. Perpaduan rakyat adalah matlamat utama dasar dan program kerajaan sejak merdeka. Mantan Perdana Menteri seperti YTM Tunku Abdul Rahman, Tun Razak,Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamed dan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengasaskan dasar-dasar tertentu untuk mengukuh perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan keturunan. YAB Mohd.Najib Tun Razak yang mengambil alih teraju pentadbiran negara pada bulan April 2009 meneruskan tradisi menyatupadukan rakyat dengan pendekatan Gagasan 1 Malaysia.


APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1 MALAYSIA MERUPAKAN SATU RETORIK POLITIK SEMATA-MATA?
Kerajaan BN yang dipimpin oleh PM, YAB Mohd.Najib Tun Razak amat komited terhadap merealisasikan gagasan 1 Malaysia sejak diumumkan. Dasar-dasar dan program-program pembangunan yang diumumkan oleh Najib selaku Perdana Menteri dengan jelas menunjukkan keiklasan beliau dalam menterjemahkan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Program-program pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat diberi perhatian dan keutamaan dalam pendekatan 1 Malaysia. Maka, kaum yang dianggap tertinggal dalam bidang ekonomi-sosial berbanding dengan kaum lain, kini diberi pertimbangan khusus dalam sektor sosio-ekonomi mereka. Hasrat ini jelas digariskan dalam Bajet 2010 yang dibentang oleh PM pada 23 Oktober 2009.
Pada masa yang sama, kerajaan telah memperkenalkan Petanda Utama Pencapaian atau Key Performance Indicator(KPI) untuk mengukur dan menilai prestasi perkhidmatan kerajaan malah menggerak dan mendorong sektor perkhidmatan awam meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatannya kepada rakyat. KPI bagi 6 Jabatan kerajaan juga telah ditetapkan baru-baru ini dalam merealisasikan gagasan 1 Malaysia.
Ini jelas menunjukkan bahawa gagasan 1 Malaysia bukan satu retorik politik semata-mata, malah kerajaan komited dan bersungguh-sungguh dalam menterjemahkan hasrat `1 Malaysia`.

Trend Sistem Dua Parti di Malaysia: Satu Analisa Wacana Intelek Negara

Adakah senario politik negara kini memungkinkan wujudnya sistem dua parti?

Berdasarkan pada situasi etnik di negara kita, mustahil sistem dua parti akan wujud. Yang mungkin wujud ialah sistem dua gabungan iaitu dua ikatan yang terdiri daripada beberapa parti politik.
Gabungan yang sedia ada, yang memerintah di peringkat nasional, yang berakar umbi dalam politik dasawarsa lima puluhan, Barisan Nasional sedang menghadapi masalah-masalah tertentu berkaitan dengan parti-parti komponennya.
Dalam persoalan-persoalan yang berhubungkait dengan kaum juga, gabungan BN tercabar. Namun, BN masih mampu memerintah di peringkat nasional mahu pun di peringkat negeri.

Bolehkah Pakatan Rakyat disifatkan sebagai gabungan?
Lawan politiknya, Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh disifatkan sebagai gabungan. PR tidak didaftarkan sebagai gabungan, tidak memiliki perlembagaan yang sama, tidak menggunakan lambang yang sama, tidak berkongsi kepercayaan-kepercayaan politik, tidak mempunyai struktur kepimpinan yang didukung bersama dan dalam beberapa isu semasa, berbeza pandangan dan pendekatan sepertimana terbukti di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.
Faktor-faktor ini adalah antara faktor yang menghambat perwujudan kabinet bayangan PR di Parlimen. Itulah sebabnya, PR lebih tepat disifatkan sebagai suatu peraturan politik yang longgar dan anti-BN. Oleh kerana PR bukan gabungan, saya enggan membuat kesimpulan bahawa trend dua gabungan wujud kini.

Apakah ciri-ciri sistem dua parti itu?
Lazimnya sistem dua gabungan atau sistem dua parti di negara-negara lain berjaya kerana mereka sama-sama menyokong asas-asas identiti nasional, perlembagaan negara dan sistem pemerintahan. Di Britain umpamanya, parti Buruh dan parti Konservatif tidak bertelingkah tentang identiti negara atau sistem perundangan atau sifatnya sistem pemerintahan Britain. Tetapi, apakah PAS di negara kita dengan cita-citanya mendirikan negara Islam yang menegakkan syariah dan hudud, menerima sistem perundangan sivil yang terkandung dalam perlembagaan kita?
Apakah DAP selesa dengan hakikat sejarah bahawa negara ini berkembang dari negeri-negeri Melayu dan ciri-ciri keMelayuan ini adalah sebahagian daripada perlembagaan negara kita? Sudah tentu orientasi PAS dan DAP dalam persoalan-persoalan asas ini jauh berbeza dari UMNO yang menerajui BN. Jelas bahawa dalam persoalan-persoalan asas tentang identiti negara dan sifat pemerintahannya, PR dan BN belum membuktikan kemuafakatan. Tanpa kemuafakatan ini, adalah sukar untuk menjayakan sistem dua gabungan.

Mampukah sistem dua parti menjadi penyelesaian mutlak kepada segala masalah ?
Dalam konteks ini, kita juga harus memahami bahawa sistem dua gabungan atau sistem dua parti bukan penyelesaian mutlak kepada segala masalah yang mencabar sistem politik moden. Memang benar sistem dua gabungan pada keseluruhannya membawa kepada kestabilan politik dan perubahan sosial yang lebih teratur. Namun, pengkritik-pengkritiknya berhujah bahawa kerana wujud ciri-ciri persamaan antara dua parti atau dua gabungan ini. Lambat laun politik mereka mengundang pada politik statik, yang meminggirkan pelaku-pelaku lain yang mungkin ingin pada perubahan yang lebih mendalam. Ini berlaku di Amerika Syarikat, Britain, Australia, dan beberapa negara lain yang mengamalkan politik dua parti. Akibatnya, sistem dua parti juga mengalami perubahan sekarang dan pelaku ketiga muncul di negara-negara tertentu seperti Kanada dan Britain.


Apakah yang sepatutnya diutamakan oleh parti-parti politik kita?
Pada hemat saya, lebih penting daripada dua gabungan ialah pengamalan keadilan dan kesaksamaan pada semua lapisan dan dalam semua sektor masyarakat. Prinsip akauntabiliti harus dipraktikkan dengan ikhlas dan nilai-nilai urus tadbir yang baik harus ditegakkan. Penyalahgunaan kuasa harus dicegah dan rasuah harus dibenteraskan. Perbezaan pendapat harus dihormati dan kritikan dan teguran diterima sebagai suatu usaha yang membina untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam lain perkataan, semua golongan masyarakat khususnya BN dan PR harus memberi tumpuan kepada cabaran yang jauh lebih besar daripada perwujudan dua gabungan iaitu mengembangkan budaya politik yang lebih sihat dan memuliakan serta memartabatkan insan.

Petikan dari: Penjelasan Isu Semasa oleh Dr Chandra Muzaffar

Sabtu, 12 Disember 2009

Peniaga Kesal Tindakan Penguatkuasa MPPP


Para peniaga di Pasar Awam Balik Pulau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan keterlaluan penguatkuasa MPPP ketika melakukan serbuan mengejut di pasar tersebut pagi 9 Disember lepas. Peniaga yang ditemui menceritakan bagaimana sekumpulan anggota penguatkuasa telah menyerbu kedai mereka dan merampas barangan jualan yang diletak di luar kedai kerana didakwa menganggu laluan orang ramai.
"Kami terpaksa meletak barang jualan di luar kerana ruang kedai yang dibina terlalu kecil berbanding sewa antara RM100-RM160 sebulan. Jika mereka boleh 'tutup mata' di Pasar Awam Air Itam dan Jalan Tujuh mengapa kami pula sering diganggu?", komen seorang peniaga buah yang hanya mahu dikenali sebagai Alex.
"Semua orang tahu setiap pagi di pekan Air Itam jalannya sesak kerana ada penjaja berniaga di pinggir jalan tapi tiada tindakan dari MPPP".
"Mereka tak peduli aduan kami tentang ruang untuk berniaga yang sempit tapi datang bertindak macam penyamun besar", tambahnya lagi.
Sementara itu seorang peniaga sayuran berkata, "Kami akur dengan tindakan penguatkuasa merampas barangan jualan tetapi cara mereka lakukan tak ubah seperti penyamun. Sudahlah barangan kami dirampas tetapi mengapa perlu segala meja dan peralatan lain hendak dimusnahkan?".
"Hendak tebus semula barangan pun kena hadapi macam-macam birokrasi yang menyusahkan. Kena berurusan di merata pejabat MPPP, itupun selepas kena 'bancuh' dengan pegawai MPPP baru boleh ambil semula barangan", komen beliau lagi. 

Seorang suri rumah yang ditemui turut kesal dengan tindakan penguatkuasa memecahkankan meja dan rak kayu milik peniaga. Beliau mempersoalkan bidang kuasa penguatkuasa MPPP sehingga berani bertindak sedemikian.
"Jika beginilah sikap penguatkuasa MPPP sekarang maka bernasib malanglah kami (rakyat). Kerajaan negeri dan PBT sepatutnya tunjuk teladan baik sebaliknya dah mula tunjuk belang", katanya.
"Pasar sini tak ada kemudahan stor jadi apa salahnya peniaga meletakkan troli mereka di dalam kedai yang kosong daripada terbiar di kaki lima kedai. Mungkin kerana tak bayar untuk simpan barang..sebab tulah trolipun mereka pecah-pecahkan", komen seorang pengunjung.
Hasil tinjauan mendapati pekerja kebersihan MPPP telah membuang sisa-sisa peralatan yang dimusnahkan dan hanya seorang peniaga sahaja yang masih menyimpan sisa rak sebagai bukti kekejaman penguatkuasa MPPP.

Selasa, 8 Disember 2009

Taklimat Isu Semasa

Seramai tiga orang wakil AJK Pemuda UMNO Sg Burung telah menghadiri taklimat isu-isu semasa yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Balik Pulau pada 06hb. Nov 2009 lalu. Taklimat isu yang disampaikan oleh penceramah bebas En Mehat Hanafiah, dihadiri hampir seramai 50 orang wakil dari cawangan-cawangan Pemuda UMNO di dalam Kapar Balik Pulau.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau Sdr Aziaan Ariffin, senario politik terkini lebih dipengaruhi oleh isu-isu sehingga membawa kepada perpecahan di kalangan orang Melayu. Tambah beliau lagi, perkembangan politik di negeri Pulau Pinang terutamanya di Kapar Balik Pulau wajar dipantau dengan teliti oleh ahli Pemuda UMNO bagi memastikan kuasa politik orang Melayu dapat dipertahankan.
Sementara itu, En Mehat Hanafiah mengingatkan ahli Pemuda UMNO agar lebih bersedia menghadapi strategi politik pakatan pembangkang (PR) yang 'menghalalkan' setiap tindakan mereka agar tercapai cita-cita untuk menumbangkan kerajaan Pusat. Menurut beliau lagi , setelah berjaya menipu rakyat ketika PRU-12, PR semakin berani mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempertikai hak-hak keistimewaan orang Melayu. Justeru itu beliau menyeru setiap ahli Pemuda UMNO agar lebih perihatin dengan pelbagai isu dan berani memperjuangkan amanah yang diwarisi dari pejuang Melayu dahulu.

Selasa, 1 Disember 2009

Lim Guan Eng Diusir Keluar Dari Pulau Pinang


Hampir 150 orang penyokong dan ahli Pemuda BN Pulau Pinang mengadakan demontrasi mengutuk Lim Guan Eng di luar Bangunan DUN tengahari 30 November lalu. Perhimpunan aman yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO P Pinang Sdr Norman Zahalan, mendesak Guan Eng meletak jawatan berhubung kenyataan putar belit dan penipuan Ketua Menteri itu semasa persidangan DUN lalu. 
Menurut Setiausaha Pemuda UMNO Balik Pulau Sdr Firdaus, demontrasi ini dibuat susulan dari pendedahan oleh Adun Pulau Betong berhubung keputusan kerajaan negeri meluluskan permohonan status hak milik kekal ke atas sebidang tanah kepada PDC Heritage Hotel Sdn Bhd. Sebelum ini Guan Eng didalam jawapan bertulis kepada soalan YB Mohd Farid memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang permohonan untuk menukar tempoh pegangan secara pajakan kepada pegangan kekal.  
Apabila menyedari berlaku demontrasi di luar dewan Guan Eng bersama anggota Exconya segera mengadakan sidang akhbar diperkarangan Bangunan DUN tetapi dilihat terganggu ketika menjawab soalan wartawan apabila terdengar laungan meminta beliau meletak jawatan dan diusir keluar dari negeri ini.  
Pada masa yang sama, sekumpulan penduduk dan penyokong Kg Buah Pala turut mengadakan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Guan Eng. Beberapa orang wakil penduduk Kg Buah Pala turut mendesak Guan Eng dan Adun Sri Delima supaya menunaikan janji mereka ketika kempen pilihanraya lalu. Mereka yang menuduhnya sebagai Ketua Menteri penipu turut memijak dan membakar sekeping poster Guan Eng.




Ucapan Takziah




Pada 29hb. Nov 2009 lalu, bapa kepada Naib Ketua Pemuda Umno Cawangan Sg Burung, Abd Wahab Mat Darus telah meninggal dunia di wad Hospital Besar P Pinang.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Lang Darus telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung Sg Burung selepas solat Asar pada hari tersebut.
Allahyarham merupakan seorang individu yang banyak berbakti kepada penduduk dan kampung Sg Burung.
Seluruh ahli dan jawatankuasa Pemuda Umno mengucapkan takziah kepada Sdr Abd Wahab dan ahli keluarga.