Khamis, 26 November 2009

Pemuda Umno Sg Burung Sedia Untuk Gempur

"Saya dan rakan-rakan akan pastikan calon BN akan menang," itulah janji Naib Ketua Pemuda Umno Sg Burung, Sdr Abd Wahab Mat Darus ketika ditanya bagaimana persiapan sayap parti itu bagi menghadapi pilihanraya. Menurut beliau, sungguhpun PRU-13 masih jauh namun Pemuda cawangan telah mengatur strategi dan persiapan awal untuk mengekang taktik politik parti pembangkang.

Menurut Abd Wahab, Pemuda Umno Sg Burung tidak akan duduk diam dan hanya menunggu tarikh pilihanraya diumumkan sebaliknya telah merancang dan menjalankan pelbagai program untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno terutamanya sokongan dari golongan muda.
"Usaha kami mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak tetapi segala kelebihan yang kami ada akan digunakan untuk membantu parti," katanya.
Apabila ditanya tentang kegemaran pakatan  pembangkang menggunakan pilihanraya kecil (PRK) sebagai strategi politik untuk meraih populariti beliau berkata tindakan seumpama itu lebih menyusahkan rakyat dan merugikan wang rakyat.
"Buat apa nak jadi wakil rakyat jika tidak tahan dengan tekanan atau tidak mampu
menjalankan tugas?," soal beliau.
"Sekarang kita sedar kecenderungan parti lawan berulang kali mengheret rakyat terlibat dalam pilihanraya kecil. Jadi kita (Pemuda Umno) tidak akan tertumpu kepada pilihanraya umum sahaja kerana PRK boleh berlaku bila-bila masa dan di mana saja," katanya.
Semenjak PRU-12 lalu, sebanyak 9 PRK telah diadakan dengan negeri Pulau Pinang merupakan negeri terbanyak mengadakan pilihanraya. Keputusan meletak jawatan oleh wakil rakyat parti pembangkang merupakan penyebab terbanyak berlakunya PRK.
"Perkembangan politik di Parlimen Balik Pulau sentiasa dipantau oleh jawatankuasa Pemuda cawangan. Segala maklumat dan isu diperbincangkan agar kami dapat menjangkakan gerak langkah parti lawan," tambahnya lagi.
Menurut Abd Wahab, senario politik tempatan agak panas apabila semakin ramai penyokong pakatan pembangkang mengadu berlaku usaha 'mencantas' pemimpin tertentu di dalam PKR Balik Pulau. Malahan sumber terdekat PKR mendakwa telah berlaku gerak saraf untuk mengenepikan beberapa individu di dalam parti itu ekoran tercetusnya perebutan 'kerusi'. Menurut sumber itu lagi, ada individu yang akan disingkirkan kerana semakin tidak popular dan sudah tidak disukai oleh pucuk pimpinan tertinggi PKR.
Disamping itu beberapa individu turut mendedahkan bahawa wujud sentimen berpuak di dalam pimpinan PKR Balik Pulau sehingga memecah-belahkan cawangan-cawangan pemuda PKR kepada dua kem penyokong.
"Kami akan memantau krisis dalaman PKR dan jika isu ini semakin merugikan penduduk tempatan maka kami akan pastikan Pemuda Umno turun ke padang berkempen untuk kepentingan BN," ujar Abd Wahab.
"Pemuda Umno akan pastikan penduduk tidak akan lupa isu-isu yang telah melanda PKR atau PR dan biarlah pengundi sendiri menilainya. Yang pasti kami akan terus berkempen dari sekarang sehingga PRU-13," tambah beliau lagi.

Rabu, 25 November 2009

Sukan Gempadah 2009

 Bagi menyedarkan masyarakat tentang kesan buruk penyalahgunaan najis dadah, Pemuda Umno Sg Burung menganjurkan program bersama masyarakat kampung dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Belia 4B Sg Burung dan beberapa syarikat swasta pada 15 November lalu. Selain dari acara sukaneka untuk warga dewasa, pihak AADK turut mengadakan pameran dan pengedaran risalah maklumat kepada para pengunjung.
Adun Pulau Betong, YB Muhd. Farid ketika berucap merasmikan Sukan Gempadah berharap generasi muda Melayu sentiasa bersaing untuk maju lebih kehadapan dan tidak terlalu mencari keseronokan sehingga melampaui batasan yang boleh merugikan diri sendiri dan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno cawangan, Sdr Roslan Sahib telah memaklumkan bahawa tapak Kursus Jentera Berat ini akan dijadikan padang sementara untuk sukan Futsal pantai. Menurut beliau, permohonandan perbincangan telah dibuat bersama pemilik tanah untuk menggunakan tapak tersebut dan telah mendapat persetujuan dari mereka.
Sukan Gempadah diusahakan ekoran permintaan dari penduduk yang mahukan diadakan satu sukaneka khusus untuk orang dewasa setelah Pemuda Umno berjaya menganjurkan sukaneka untuk kanak-kanak dan mendapat sambutan ramai. 



 

 






















Jumaat, 13 November 2009

Program Gotong Royong Pemuda UMNO Sg Burung

   Pada hari Ahad, 08/11/2009, Pemuda UMNO cawangan Sg Burung telah mengadakan gotong royong membersihkan sisa-sisa kebakaran kediaman En .Suliman, bapa mertua kepada Ketua Biro Agama Pemuda Umno Sg Burung, Sdr Amran Din.
Rumah En. Suliman telah musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 19hb. September, di hari terakhir bulan Ramadhan lalu.
Pemuda UMNO cawangan mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan dan penduduk kampung yang hadir pada hari itu. Program ini turut dihadiri oleh YB Dato' Seri Hilmi bersama isteri, YB Mohd Farid, Sdr. Aziaan dan rakan-rakan dari jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian.








Selasa, 10 November 2009

KAMPUNG BUAH PALA TINGGAL JANJI

Kenapa timbul isu Kampung Buah Pala juga dipanggil ‘High Chapparal’?
Kampung Buah Pala adalah sebuah kampung tradisi di Pulau Pinang yang didiami oleh hampir 65 keluarga, warisan pekerja Ladang Buah Pala. Pada asalnya kampung tersebut adalah hak milik seorang pedagang British pada zaman penjajahan British.
Kampung Buah Pala yang juga dikenali sebagai High Chaparral oleh rakyat Pulau Pinang kerana kampung ini terletak di atas sebuah bukit kecil di Bukit Gelugor. Penduduk Kg. Buah Pala sudah menetap di kampung tersebut sejak 5 generasi atau hampir 200 tahun.
Siapakah pemilik asal tanah Kg. Buah Pala?
Kampung ini pada asalnya adalah penempatan untuk pekerja ladang yang bekerja dengan keluarga Mr. Brown. Apabila keluarga Brown meninggalkan Pulau Pinang, tanah Kampung Buah pala telah dijanjikan kepada penduduk-penduduk di sana melalui penubuhan Amanah Perumahan (Housing Trust).
Apakah sebab yang membawa kepada kemarahan penduduk?
Penduduk Kampung Buah Pala memohon Kerajaan Negeri untuk mewartakan tanah mereka sebagai tanah sebuah kampung tradisi pada tahun 1999. Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh BN ketika itu adalah ke arah menukar hak milik kepada pihak Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga membincang mengenai pampasan dan ganti rugi kepada penduduk Kampung Buah Pala dalam mesyuarat pada 18 Ogos 2004 dan 8 Jun 2005.
Apakah harapan penduduk Kampung Buah Pala?
• Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat seharusnya memberhentikan segala proses pindah milik kepada pihak pemaju;
• Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat seharusnya membatalkan pindah milik tanah kepada pihak Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang;
• Kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya mencari tanah alternatif untuk pihak pemaju BUKANNYA pampasan kepada penduduk Kampung Buah Pala, kerana mereka sepatutnya adalah pemilik yang sah untuk tanah tersebut seperti yang dijanjikan oleh Amanah Perumahan;
• Mewartakan tanah Kampung Buah Pala sebagai tanah warisan budaya kerana Kampung Buah Pala adalah satu penempatan bersejarah mengukirkan pengorbanan golongan pekerja kepada pembangunan negeri Pulau Pinang dan sememangnya ia adalah satu warisan yang patut dilindungi; dan
• Sekiranya Kampung Buah Pala diwartakan dan dikekalkan sebagai kampung warisan tradisi, tempat ini akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan yang bakal membantu pembangunan ekonomi setempat.
Benarkah Kerajaan pimpinan DAP meluluskan tanah ini kepada Nusmetro Venture Sdn.Bhd?
Kerajaan BN tidak meluluskan penukaran hak milik Kampung Buah Pala. Sebenarnya, kerajaan DAP yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008 yang meluluskan dokumen tukar hak milik Kampung Buah Pala. Kerajaan kepimpinan Pakatan Rakyat meluluskan cadangan projek oleh Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Nusmetro Venture Sdn Bhd untuk membina kondominium mewah di tapak tanah Kg. Buah Pala.
Apakah keputusan Mahkamah terhadap kes Kg. Buah Pala?
Penduduk-penduduk Kg Buah Pala telah menang dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan berjaya menghalang pencerobohan oleh pihak pemaju untuk sementara waktu. Namun, keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2009 dan Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun 2009 tidak berpihak kepada penduduk-penduduk Kampung Buah Pala. Kes rayuan Kampung Buah Pala ditolak di Mahkamah Rayuan atas sebab teknikal. Mahkamah Persekutuan pula menolak permohonan para penduduk untuk kes ini dibicarakan. Pada 2 Julai 2009, penduduk Kampung Buah Pala menerima perintah mahkamah untuk mengosongkan tanah tersebut pada 3 Ogos 2009.
Apakah benar DAP bersikap dingin terhadap nasib penduduk Kampung Buah Pala?
Parti-parti pembangkang terutamanya DAP dan PKR berjanji bahawa sekiranya menang dalam PRU-12, semua perbincangan mengenai tukar hak milik Kampung Buah Pala akan dibiarkan terus menetap di situ. Manakala, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR juga berjanji sekiranya Pakatan Rakyat menang dan menubuhkan kerajaan negeri, maka Kampung Buah Pala akan dikembalikan kepada penduduk asal kampung tersebut dan kampung berkenaan akan dijadikan warisan kaum India. Jelas Pakatan Rakyat tidak menepati janji mereka untuk membantu menjadikan Kampung Buah Pala sebagai kampung warisan India.
Mana dia janji DAP yang tidak mempedulikan Kampung Buah Pala?
Pada 12 Mac 2008, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jawatankuasa Pertubuhan Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala telah berjumpa dengan YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang), untuk meminta Kerajaan menyelesaikan masalah Kampung Buah Pala. Namun, pihak Kerajaan Negeri tidak mengambil tindakan untuk memberhentikan atau membekukan proses pindah milik tanah, sebaliknya berpihak kepada pemaju dalam mengusir penduduk dari Kampung Buah Pala. Kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya membela rakyat dan bukannya berdegil dan mendahulukan kepentingan pemaju.
Apakah tujuan sebenar DAP di Pulau Pinang?
Rakyat harus sedar bahawa Pakatan Rakyat lebih ghairah dalam menimbulkan emosi perkauman dalam meraih sokongan politik semata-mata dan bukan ikhlas dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat terutamanya kaum India.
Pemimpin-pemimpin HINDRAF seperti P.Wyathamoorthy (Pengerusi HINDRAF) yang kini menetap di London, K.Vasantha Kumar dan P.Uthayakumar (bekas tahanan ISA dari Pertubuhan HINDRAF), menyelar Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pulau Pinang, khususnya Ketua Menteri Lim Guan Eng gagal menunaikan janji-janji pilihan raya ke-12 iaitu mempertahankan Kampung Buah Pala daripada bertukar hak milik dari penduduk kepada pemaju. Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab serta ’bersandiwara’ dalam kes Kampung Buah Pala.
Lim Guan Eng (DAP) yang bermati-matian dalam menyelamatkan Bukit Cina di Melaka pada tahun 1984, tidak menghiraukan untuk menyelamat Kampong Buah Pala, malah berkerjasama dengan pemaju bagi mengusirkan penduduk India dari kampong halaman mereka.
Kaum India kini sedar bahawa Pakatan Rakyat tidak komited dan ikhlas dalam membantu menyelesaikan masalah Kampung Buah Pala seperti dijanji dalam pilihan raya umum ke-12, malah lebih mementingkan kepentingan pemaju.
"Buah pala terus bergolek, isinya diperah, hanya sisa hampas sahaja yang ditinggalkan”

Kiriman 1Baiklah