Jumaat, 30 Oktober 2009

Penjelasan Isu: Kes Kematian Teoh Beng Hock

1. Siapakah Teoh Beng Hock dan kenapa Teoh disiasat oleh SPRM?
Teoh Beng Hock (30) adalah Setiausaha Politik kepada YB Ean Yong Hia Wah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) yang menjawat potfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram.
YB Ean Yong Hian Wah adalah antara Exco dan ADUN yang disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor. Teoh Beng Hock (30) dilaporkan ditemui mati di perkarangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Plaza Masalam pada pada 16 Julai 2009, hari Khamis jam 1.30 tengah hari.

2. Kenapa pelbagai dakwaan timbul berkaitan dengan kematian Teoh Beng Hock?
Kematian Teoh Beng Hock telah mendatangkan pelbagai reaksi masyarakat. Pelbagai dakwaan di lemparkan oleh pihak-pihak tertentu yang kononnya membela kematian Teoh Beng Hock.
Dakwaan yang tidak berasas itu telah menimbulkan pelbagai andaian di kalangan rakyat terhadap kematian Teoh Beng Hock. Malah ada pihak yang menjadikan kematian Teoh Beng Hock sebagai modal untuk meraihkan sokongan politik.

3. Kronologi Kematian Teoh Beng Hock Berdasarkan laporan Media:
Menurut sumber media, Teoh Beng Hock (30) dilaporkan ditemui mati di perkarangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Plaza Masalam pada Khamis jam 1.30 tengah hari, 16 Julai 2009.
Pada 15 Julai 2009, jam 5 hingga 6 petang: Teoh Beng Hock dan tiga lagi pegawai yang bertugas di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dilaporkan berada di tingkat 15 SPRM bagi membantu siasatan kes salah guna peruntukan kerajaan negeri. Mereka dibawa ke Pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.
8 hingga 12 malam: Tiga pegawai yang ditahan bersama Beng Hock dibenarkan pulang sebaik selesai dirakam percakapan mereka tetapi Beng Hock masih ditahan kerana percakapan beliau masih belum selesai dirakamkan.
3.45 pagi (Khamis): Beng Hock didakwa dibenarkan pulang selepas kenyataannya diambil tetapi beliau meminta agar dibenarkan berehat dan tidur seketika diruang tamu pejabat SPRM.
6 pagi: Beng Hock dilihat masih tidur di ruang tamu pejabat SPRM dan inilah kali terakhir beliau dilihat.
1.30 petang: Mayat Beng Hock ditemui di koridor di luar bangunan tingkat lima Plaza Masalam.
9 malam: Mayat Beng Hock telah dibawa keluar dari Plaza Masalam dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Sehubungan itu, insiden kematian Teoh Beng Hock dijadikan isu politik. Malah parti pembangkang mengkritik SPRM sebagai satu institusi kerajaan yang memihak BN, kurang cekap dan kurang ketelusan dalam menyiasat kes yang melibatkan Teoh Beng Hock. Malah mereka mendakwa SPRM bersikap pilih-memilih dalam penyiasatan dan tangkapan kes rasuah.

4. Apa motif atau agenda sebenar pembangkang mengekploitasi isu kematian beng Hock?
Parti-parti pembangkang menimbulkan sentimen anti SPRM di kalangan rakyat supaya rakyat percaya kononnya SPRM terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock.
Namun, rakyat harus ingat bahawa sebelum SPRM memulakan penyiasatan terhadap dakwaan tersebut, YB Wee Choo Keong (MP Wangsa Maju) pernah membuat kenyataan umum bahawa salah seorang ahli EXCO kerajaan negeri Selangor menggunakan pejabatnya untuk tujuan perniagaan bagi ahli-ahli kongsi gelap.
Apakah kenyataan YB Wee Choo Keong mengambarkan amalan yang kurang sihat sedang menular di kalangan ahli-ahli parti politik tertentu, malah menimbulkan keraguan dikalangan rakyat terhadap intergriti ahli-ahli dari Pakatan Rakyat?

5. Apakah response kerajaan terhadap tohmahan pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengenai kredibiliti dan integeriti SPRM?
Kerajaan BN pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak dan SPRM terus berusaha mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dengan penuh tanggungjawab dan komitmen bagi menegakkan keadilan kepada keluarga Teoh Beng Hock.
Pihak kerajaan BN tidak berlengah-lengah dalam membentuk inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock. Suruhanjaya DiRaja dibentuk bagi menyiasat dan mempastikan kesahihan prosedur-prosedur siasatan SPRM. Penubuhan Suruhanjaya DiRaja adalah berdasarkan peruntukan seksyen 2 dalam Commissions of Enquiry Act 1950.

6. Apakah langkah Suruhanjaya Di Raja seterusnya ?
Langkah-langkah yang diambil dengan cepat dan pantas oleh Kerajaan dalam kes Teoh Beng& Hock adalah berdasarkan kepada bidang kuasa yang ditetapkan dalam perundangan Malaysia, iaitu seksyen 333 dalam Criminal Procedure Code (CPC).
Suruhanjaya DiRaja yang ditubuh khas oleh kerajaan diberi kuasa oleh perundangan negara bagi menyiasat prosedur-prosedur siasatan SPRM. Ini adalah wajar dan berpatutan selaras dengan undang-undang semasa ynag wujud dalam negara.
Bagi inkues pula, ramai saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuklah mereka yang terdiri daripada SPRM, Polis, Jabatan Kimia, ahli keluarga Teoh Beng Hock dan beberapa pemimpin politik/ADUN dari Pakatan Rakyat. Tindakan kerajaan disini adalah mengikut peruntukan yang sedia ada dalam undang-undang negara iaitu Criminal Procedure Code atau Kanun Peraturan Jenayah - Seksyen 328 hinggalah Seksyen 341A.
Untuk makluman, Amerika Syarikat, juga didapati menggunakan peraturan yang lebih kurang sama di mana Coroner dan Pathologists dilantik menyiasat kematian Michael Jackson, penyanyi popular ini di Amerika Syarikat.
Dengan itu jelas bahawa Suruhanjaya DiRaja yang ditubuhkan adalah mengikut Akta tertentu bagi menjalankan tugas-tugasnya yang tertentu. Maka orang ramai tidak perlu ragu terhadap kewibawaan SDPRM dan kebolehan kerajaan menangani kes ini.

Isu SELCAT: Adu Domba Pakatan Pembangkang

APA ITU SELCAT?


Selcat (Select Committee on Competency, Accountability and Transparency) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan yang dipengerusikan oleh Teng Chang Khim (DAP), Speaker DUN adalah bertujuan untuk mempastikan segala perbelanjaan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah berteraskan akauntabiliti.

Selcat boleh memanggil sesiapa jua untuk membuat penjelasan mengenai apa yang dianggap perlu. Ini bukanlah satu perkara baru tetapi dalam keadaan sekarang Selcat telah dianggap tidak menepati terma-terma Selcat apabila memaparkan penjelasan dalaman kepada media sehingga berlakunya tuding-menuding di antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat Selangor.


MENGAPA SELCAT MENJADI ALAT PEMBANGKANG?

Majoriti rakyat Selangor tidak berpuas hati tentang cara Selcat dikendalikan oleh pengerusinya, Y.B.Teng. Apa yang berlaku dalam Selcat baru-baru ini melibatkan siasatan berhubung wang peruntukan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Selangor) dari Januari hingga Mac 2008 dan 2009. Dalam hubungan ini Pegawai Daerah Klang, pegawai-pegawai daerah lain dan penjawat-penjawat awam berkaitan telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi mengenai penggunaan peruntukan tahunan berjumlah RM500 ribu dalam dua bulan pertama 2008 oleh ahli DUN Barisan Nasional (BN). Peruntukan ini adalah diagih-agihkan melalui pejabat-pejabat daerah.

Menurut laporan dari sumber-sumber tertentu, prosedur sesi soal jawab pegawai-pegawai Kerajaan bertentangan dengan perintah am di samping cara dijalankan adalah sangat keras sehingga mengaibkan mereka.


APAKAH REAKSI RAKYAT BERHUBUNG HAL INI?

Rakyat Selangor menganggap bahawa Pengerusi Selcat tidak berlaku profesional dan menuduh Pengerusi membuli pegawai-pegawai berkenaan. Beliau juga tidak bersetuju bahawa pihak media juga digunakan untuk mendedahkan sesuatu yang dianggap sebagai perkara dalaman.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid pula memperkecilkan kontroversi ini dan menganggapnya sebagai isu dalaman parti serta perlu diselesaikan oleh parti sendiri. Beliau seterusnya mengatakan terdapat salah faham antara Selcat, Exco dan Pegawai-pegawai Daerah.

Pemimpin-pemimpin PR di negeri-negeri lain kelihatan tidak mahu campur tangan dalam isu Selangor ini kerana mereka mempunyai masalah dalaman di negeri masing-masing terutamanya di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Dalam hal ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri masih belum dapat menyelesaikan desakan kaum India di Kampung Buah Pala.


APAKAH REAKSI UMNO?

Seperti dijangkakan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang mengadakan sidang mereka sejak minggu lalu hanyalah bertujuan memburukkan Umno tanpa berminat mencari kebenaran mahu pun kesalahan.

Sidang Selcat yang asalnya hanya bertujuan melihat sumbangan anak syarikat kerajaan negeri kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (BALKIS). Aneh sekali tidak pula dipantau keseluruhan kewangan PNSB tetapi diambil bahagian-bahagian tertentu sahaja dengan niat jahat memburukkan Umno.

Selcat dipanggil untuk menghalalkan tindakan Kerajaan pembangkang menyalahguna kuasanya menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri untuk kepentingan politik beliau di Bandar Tun Razak (Skandal lembu korban) dan tindakan beliau membuat tuntutan wang kerajaan negeri untuk ”tinted” kereta peribadinya.

Selcat patut menjaga integriti Dewan Undangan Negeri bukannya menjadi alat politik semata-mata sehinggakan pertanyaan yang dikemukakan berunsur memburukkan orang bukannya mencari kebenaran.

Sepatutnya Selcat selepas ini membuat pendengaran awam mengenai kes lembu korban Tan Sri Khalid dan isu kereta Lexus beliau? Bagaimana pula dengan isu YB Ronnie Liu yang terbabit menghalang polis dan MPSJ menjalankan undang-undang menutup pusat pelacuran?

Selcat pasti tidak berani mengadakan sesi tersebut tetapi apakah Selcat akan mendapat kebenaran pemimpin Kerajaan campurtangan yang lain? Jangan kerana mencari kuman di seberang laut, bangkai gajah di depan mata disembunyikan.


PERCAKARAN PAS DAN DAP BERTERUSAN, RAKYAT MERANA

Kelihatan bahawa anggota-anggota PR (PAS, PKR dan DAP) masih belum dapat menyelesaikan kes Selcat ini. Niat Tan Sri Khalid untuk mengatasi perkara ini masih menemui jalan buntu dan beliau belum lagi dapat membendung kegelisahan pegawai-pegawai kerajaan yang sentiasa bersikap profesional dalam menjalankan tugas.

Pengerusi Selcat pula berpegang kepada prinsip dan egonya dalam melaksanakan tugas yang sebenarnya mudah sahaja. Tetapi beliau sebagai Pengerusi telah melampaui batas apabila mendedahkan perkara dalaman kepada media. Cara beliau menjalankan sesi soal jawab terhadap saksi-saksi juga tidak disenangi dan menjadikan kemelut ini semakin sukar untuk diakhiri.

Di sini jelas bahawa pemimpin PR di Selangor masih tidak faham proses-proses dalam mentadbir negeri. Ahli-ahli Selcat juga tidak dapat membezakan apa itu prosedur dan apa itu substantif. Minda mereka adalah lebih mementingkan mencari publisiti murahan tanpa mengambil kira sensitiviti pegawai-pegawai kerajaan. PR perlu sedar bahawa mentadbir negeri bukanlah seperti mengendalikan sebuah syarikat perniagaan.

Apa yang dibuat oleh kerajaan PR ini hanya merosakkan imej dan menyulitkan pentadbiran negeri. Kurangkanlah cari penyakit tetapi memberi tumpuan kepada keperluan dan kebajikan rakyat. Ikutlah perjuangan BN iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.


KRONOLOGI TINDAKAN SONGSANG SELCAT

Pada Mac 2009 : Selcat bermula dengan pendengaran awam berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (BALKIS). Wartawan-wartawan yang membuat liputan bebas merakam sesi 2009 jawab antara ahli panel dan saksi-saksi yang dipanggil.

Pada Julai 2009 : Mantan Menteri Besar tidak hadir sebagai saksi kerana BALKIS tiada kena mengena dengan pentadbiran negeri. Speaker memanggil Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bincang kes mantan MB dan empat (4) lagi ADUN. Pada Julai 2009, DUN meluluskan hukuman gantung ke atas ke lima-lima ahli DUN.

Pada 8-14 Sept. 2009 : Selcat mengadakan pendengaran awamnya yang kedua berkaitan perbelanjaan wang peruntukkan ADUN-ADUN bagi tempoh Januari-Mac 2008 dan 2009. Sembilan (9) Pegawai Daerah di Selangor diarah hadir sebagai saksi. Mereka ini juga adalah Pengawal Kewangan Peringkat Daerah di Selangor.

Kiriman: 1Baiklah

Ahad, 25 Oktober 2009

Majlis Perasmian Padang Permainan Kuala Sg Burung

Kuala Sg Burung atau lebih dikenali sebagai Pantai Malindo merupakan tempat tumpuan penduduk kampung dan pengunjung luar untuk membeli hasil tangkapan laut atau bertemu rakan-rakan. Hasil usaha selama beberapa tahun oleh YB Dato Seri Dr Hj Hilmi dan YB Sr Mohd Farid, Pantai Malindo telah berubah dari kawasan berhutan kepada tempat kunjungan yang lengkap dengan segala kemudahan untuk orang ramai dan para nelayan. Kemudahan yang disediakan telah mendorong orang ramai berkunjung ke Pantai Malindo untuk menjamu selera, membeli ikan atau sekadar berehat-rehat bersama ahli keluarga.

Menyedari Pantai Malindo semakin menjadi tumpuan orang ramai, Pemuda Umno cawangan telah mengusulkan kepada YB Adun Pulau Betong agar disediakan sebuah padang permainan untuk kanak-kanak. Cadangan ini telah mendapat perhatian YB Sr Mohd Farid lalu mengusahakan satu peruntukan khas dari Pejabat ICU Pulau Pinang. Hasil usaha Pemuda Umno Sg Burung dan kerja keras YB Sr Mohd Farid sebuah padang permainan telah siap dibina di dalam kawasan berpagar. Pada 25/10/2009 lalu satu majlis perasmian telah dilakukan oleh Datin Jamilah Mohd Zain, isteri kepada Adun Tlk Bahang.

Keprihatinan Pemuda Umno Sg. Burung terhadap keperluan penduduk kampung Sg. Burung sememangnya wajar dicontohi oleh setiap individu, NGO atau parti politik lain yang begitu lantang mendabik dada kononnya sangat peka dengan tuntutan rakyat. Komitmen ahli Pemuda Umno kepada prinsip 'lebih bekerja dari bayak bercakap' telah merealisasikan kewujudan tempat untuk orang ramai beriadah bersama ahli keluarga. Padang permainan yang berpagar dan lengkap dengan meja serta bangku lebih memudahkan para ibubapa untuk memantau aktiviti anak-anak mereka.


Sukaneka Pemuda Umno Sg Burung

Satu program yang ringkas tetapi menceriakan telah dianjurkan oleh Biro Sukan dan Rekreasi Pemuda Umno Sg Burung bersempena majlis perasmian padang permainan kanak-kanak di Kuala Sg Burung baru-baru ini.

Program sukaneka khusus untuk kanak-kanak yang berumur 9 tahun ke bawah telah berjaya dianjurkan oleh jawatankuasa kecil Biro Sukan & Rekreasi dibawah seliaan Sdr Razali Amin Nordin.

Program yang dirasmikan oleh Datin Jamilah turut dihadiri oleh YB Dato' Seri Hj Hilmi, YB Moh Farid dan beberapa pegawai kanan dari Pejabat ICU Pulau Pinang. Turut sama diraikan ialah para pelajar dari Tabika Kemas
Sg Burung.

Selain dari beberapa acara pertandingan untuk kanak-kanak, para ibubapa turut berpeluang menyertai pertandingan kerusi berirama dan cabutan bertuah.

Ketua Pemuda Umno cawangan, Sdr Roslan Sahib mengucapkan taniah kepada Biro Sukan kerana bekerja keras menjaya program ini dan berterima kasih kepada wakil rakyat serta Pejabat ICU P Pinang di atas segala bantuan yang disalurkan.

Aksi lucu peserta kanak-kanak lelaki yang menggunakan
strategi menutup mata agar belon lebih cepat ditiup.

YB Mohd Farid turut sama menceriakan pertandingan
meniup belon kategori kanak-kanak perempuan

Kegembiraan yang jelas terbayang di wajah kanak-
kanak ketika menyertai acara mengutip gula-gula.

YB Dato' Seri Hilmi turut sama melapangkan masa
meraikan kanak-kanak.

"Taniah dan bagus Pemuda,.." ucap YB Mohd Farid.
Add Image
Pegawai Kanan ICU menyampaikan hadiah kepada
pemenang pertandingan mewarna.














Jumaat, 23 Oktober 2009

Info Pengundi

Dewan Undangan Negeri Pulau Betong (N.39) terdiri dari 7 daerah mengundi (DM) dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 12,500 orang (2007). DM Sg Kongsi, Ginting dan Pulau Betong mempunyai 4 saluran mengundi manakala DM Pondok Upeh, Balik Pulau, Titi Teras, dan Sg Burung masing-masing mempunyai 3 saluran.

Berdasarkan daftar pemilih tahun 2007 yang diwartakan pada Februari 2008 jumlah pengundi warga emas yang berumur 60 tahun ke atas adalah seramai 2640 pengundi. Bagi kategori pengundi yang berumur 41 - 59 tahun, seramai 201 merupakan pengundi pos daripada jumlah 5080 orang pengundi. Pengundi muda yang mengundi di saluran 3 dan 4 merupakan kumpulan pengundi kedua teramai iaitu sebanyak 4651 orang dan 129 orang merupakan pengundi pos.
Mengikut pecahan kaum, seramai 7454 orang merupakan pengundi Melayu dengan pengundi wanita seramai 3860 orang. Manakala pengundi dari kaum Cina adalah seramai 2319 pengundi lelaki dan 2289 pengundi wanita. Manakala bagi kaum India jumlah pengundi wanita adalah seramai 202 orang daripada jumlah keseluruhan 397 orang pengundi. Terdapat 41 orang pengundi dari kaum lain dengan lelaki seramai 26 orang dan wanita seramai 15 orang.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Takziah Kepada Keluarga Mangsa Bencana

Ahli dan Jawatankuasa Pemuda Umno Sg. Burung mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga dan mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera. Sehingga ke hari ini, angka korban dilaporkan telah mencecah lebih 770 orang dan dijangka akan terus meningkat. Pihak berkuasa tempatan mempercayai ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Gempa bumi dengan kekuatan 7.6 skala Richter telah melanda Padang pada 30/09/2009, jam 05.15 ptg (06.15 ptg waktu Malaysia) dan berpusat 60 km ke barat daya Padang. Gegaran yang kuat itu telah meranapkan hampir 90% rumah dan premis perniagaan. Kerajaan Indonesia mengalu-alukan sebarang bantuan dari negara jiran namun memaklumkan segala usaha mengendalikan operasi menyelamat dibawah kuasa Indonesia.

Seramai 330 pelajar Malaysia yang berada di Padang dilaporkan selamat sungguhpun beberapa orang pelajar tercedera. Kerajaan Malaysia telah menghantar tiga pesawat tentera ke Padang untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang terlibat dengan kejadian gempa bumi itu.

Akhbar-akhbar tempatan dan beberapa syarikat swasta telah melancarkan tabung bencana bagi membantu mangsa. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menderma kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank atau Tabung Bencana NSTP-Madia Prima.

Keduataan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan masih belum menerima laporan berhubung kecerderaan atau kematian rakyat Malaysia namun ahli keluarga boleh
menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bilik Operasi Kementerian Luar, Putrajaya : 03-8889 2746/03-8887 4570
Bilik Operasi Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta : 6221-522 4947/6221-522 4971

Ahli-ahli Pemuda Umno digalakkan menderma kepada tabung-tabung bencana yang dilancarkan sebagai tanda prihatin kita kepada penduduk Padang yang sedang diuji oleh Allah swt.

Sesungguhnya kita di negara ini tidak harus lupa bahawa ujian dari Allah swt berlaku bila-bila masa dikehendakiNya dan kepada sesiapa sahaja. Kita diwajibkan terus berpegang kepada tuntutan Islam dan meninggalkan segala yang diharamkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran di bumi Allah ini. Bermula dengan menegur diri sendiri kemudiannya ahli keluarga, rakan-rakan dan diikuti dengan jiran sekampung. Usaha ini merupakan ibadat yang dituntut dan kita melakukannya demi kepentingan sesama Islam.