Selasa, 28 Julai 2009

Majlis Penutupan Kursus Jentera Berat

Pada 17/07/2009 lalu , YB Tn Hj Farid (Adun Pulau Betong) telah merasmikan majlis penutupan kursus jentera berat anjuran bersama Pemuda Umno Sungai Burung dan ABM (Akademi Binaan Malaysia).

Seramai 30 orang peserta telah berjaya menamatkan kursus memandu jentera berat menerusi Program ABM Masuk Kampung bagi sessi ke-2.
Pemuda Umno Sg Burung mengucapkan taniah dan terima kasih kepada para peserta kerana bersabar dan tekun menghadiri kelas yang diselia oleh tenaga pengajar dari ABM selama hampir 90 hari.
Di majlis tersebut, YB Tn Hj Farid turut menyampaikan sijil tamat kursus kepada para peserta dan cenderahati kepada dua tenaga pengajar dari ABM.
Menurut Sdr Roslan Sahib, kursus yang sama akan diteruskan lagi pada masa hadapan namun akan dilaksanakan selepas bulan Ramadhan ini. Beliau sekali lagi mempelawa kepada mereka yang berminat untuk menyertai kursus-kursus yang ditawarkan supaya mendapatkan maklumat lengkap di Pusat Operasi Pemuda Umno Sg Burung atau menghubungi beliau sendiri.
ABM menawarkan pelbagai jenis kursus jangkamasa pendek dengan mengenakan yuran penyertaan yang terendah menerusi Program ABM Masuk Kampung.




Rabu, 15 Julai 2009

Lawatan Ke Pulau Langkawi

Belia 4B Cawangan Sg Burung dengan kerjasama Biro Sukan Pemuda Umno cawangan akan menganjurkan program lawatan sambil belajar ke Pulau Langkawi pada 01-02hb. Ogos nanti. Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan para peserta kepada pembangunan jati diri bagi memperkasa keperibadian golongan belia.

Menurut Setiausaha Pemuda Umno cawangan, Sdr Amiruddin, , para peserta juga akan berpeluang melihat projek pembangunan ekonomi setempat bagi merangsang minat golongan belia untuk menceburi bidang usahawan.

Seramai 40 orang peserta telah dipilih dan mengesahkan kehadiran mereka ke program ini. Setiap peserta hanya dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM20.00 seorang.
"Kita memberi keutamaan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan pemilihan berdasarkan siapa yang mendaftar dan membayar wang pernyertaan awal. Kepada yang berminat tetapi penyertaan mereka telah ditolak kerana lewat mengesahkan penyertaan, bagi pihak penganjur saya memohon maaf dan berharap mereka dapat turut serta dalam program lain."
Para peserta dinasihatkan membawa kelengkapan peribadi sendiri dan pihak penganjur ada menyediakan tempat penginapan di salah sebuah hotel di Pantai Cenang.
"Kami akan menempatkan empat orang peserta bagi setiap bilik dan mereka boleh memilih rakan-rakan sebilik bagi memudahkan pergerakan dan keselamatan peserta. Namun bagi bayaran tiket masuk ke pusat pameran dan peranginan yang bercaj akan ditanggung oleh peserta.
"Bas pelancong akan disewa khas untuk mengambil dan menghantar para peserta ke Jeti Kuah serta membawa peserta melawat tempat-tempat menarik di sekitar pulau. Sebelum bertolak pulang mereka akan berpeluang membeli-belah di pekan kuah dan saya menasihatkan para peserta agar menjaga masa supaya kita tidak membazirkan peluang yang diberikan."
Beliau turut memaklumkan bahawa bas akan mengambil semua peserta di hadapan Pejabat Kemas Sg Burung dan bertolak pada jam 06.45 pagi hari Sabtu.
Program lain yang akan diadakan ialah sukan pantai yang melibatkan semua peserta dan jawatankuasa kerja bagi merapatkan lagi hubungan dan kerjasama dikalangan golongan belia.

Selasa, 14 Julai 2009

Rukun Negara

Bahawasanya Negara Kita Malaysia
mendukung cita-cita hendak:

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya,

Memelihara cara hidup domokratik,

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak,

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden,

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan Dan Kesusilaan

"Toleransi beragama, semangat muhibah dan hidup bermasyarakat dengan harmoni sentiasa wujud dalam kalangan rakyat dan penduduk berbilang kaum dan berlainan agama di Malaysia. Inilah rahsia kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara kita."
-Tun Hussein Onn

Khamis, 2 Julai 2009

Kembali Hayati Perjuangan Umno

Ketua Pemuda Umno cawangan Sg Burung, Sdr Roslan Sahib menegaskan bahawa beliau lebih mengutamakan semangat kerjasama dan bertanggungjawab terhadap tugas bagi merealisasikan hasrat memantapkan kembali parti agar rakyat semakin yakin kepada kerajaan BN. Menurut beliau lagi, adalah menjadi kewajipan kepada setiap ahli dan pemimpin Pemuda Umno atau mana-mana pertubuhan yang menyokong BN saling mempercayai antara satu sama lain dan berani menghadapi tomahan parti lawan.

"Kita perlu kikis sikap mementingkan diri sendiri. Kita harus bertindak sepantas yang mungkin dan sedia menerima kritikan dari orang lain. Nasihat saya kepada rakan-rakan lain supaya jangan terlalu mengharapkan pujian atau imbuhan untuk diri sendiri", tambah beliau.
Sehubungan itu beliau menaruh harapan kepada ahli dan jawatankuasa Pemuda Umno cawangan serta orang-ramai untuk terus menegur dan membantu beliau memperkasakan Umno demi menjaga maruah orang Melayu.

Ditanya apakah tindakan Pemuda Umno bagi mengekang tindakan parti lawan yang semakin giat memanipulasikan isu-isu, Roslan menjawab:
"Pemuda Umno sedar kehadiran anasir-anasir luar yang menjelajah ke segenap ceruk kampung membawa pelbagai tomahan untuk mengelirukan rakyat. Ada penduduk yang datang mengadu kepada kami berkenaan tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu berkempen dengan menabur fitnah agar rakyat marahkan kerajaan dan Umno. Saya menyarankan kepada ahli Umno dan penyokong parti agar berhati-hati mendengar hujah-hujah agen parti lawan ini, mereka bercakap tanpa fakta,..semuanya berdasarkan andaian.

"Lebih dikesalkan lagi apabila ada ahli Umno sendiri menikam pemimipin mereka dari belakang. Saya tidak suka orang yang berpura-pura menyokong kepimpinan Umno tetapi mencerca mereka apabila bersama penyokong parti lawan. Apa yang mereka takutkan untuk pertahankan Umno?".

Mengulas lanjut, Roslan berkata, AJK Pemuda Umno telah mengarahkan ahlinya memantau aktiviti dan kempen parti lawan.
"Segala laporan yang diterima akan dirumus bersama untuk tindakan susulan. Penyampaian maklumat sebenar amatlah diutamakan. Dengan segala kemudahan yang ada kami akan merujuk segala maklumat bagi menangani fitnah mereka. Apa yang kami harapkan hanyalah penyatuan dikalangan orang Melayu. Kita boleh berpolitik tetapi dalam soal maruah bangsa kita tidak boleh bertolak ansur.

"Saya mungkin baru dalam politik tetapi saya telah melihat bagaimana pentas politik disalahgunakan untuk kepentingan lain sehingga membawa kepada perpecahan. Sehubungan itu saya dan rakan-rakan berusaha untuk membangunkan ekonomi penduduk setempat agar orang ramai sedar yang Umno tidak pernah meminggirkan mereka seperti yang didakwa oleh parti lawan".

"Kita tidak perlu terlalu mengharapkan pemimpin atau wakil rakyat untuk bekerja sendirian. Ini tanggungjawab kita bersama untuk membantu mereka (pemimpin). Barulah wujud kerjasama yang erat antara pemimpin dengan 'grass-root'. Kalau nak berpura-pura sokong (Umno) kerana nak habuan, nasihat saya hentikanlah hasrat ini", tambahnya.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, ahli Umno perlu kembali bersatu agar rakyat dapat melihat yang terbaik dari Umno. Langkah ini akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti justeru itu ahli Umno perlu ikhlas dan lebih mendekati orang ramai.

"Kita perlu buang sikap suka mengambil kesempatan di atas kesilapan orang lain. Semakin banyak kita mengata keburukan orang lain maka semakin banyak kelemahan sendiri kita dedahkan. Lambat laun ia akan makan diri sendiri, jadi berhati-hatilah", nasihat beliau.